Monday, January 6, 2014

MASIHKAH ADA ALIA - Part 1, Chapter 2

"Tahniah Asmara, hasil kerja awak cukup memuaskan!"

Encik Hashim memuji aku apabila aku bersendirian dengannya setelah kami mengucapkan terima kasih kepada delegasi MODESA kerana memberi peluang pada SGE untuk membentangkan cadangan. Aku dan Encik Hashim sama-sama mengiringi mereka ke lif untuk mengucapkan selamat tinggal.

Encik Hashim Hishamuddin, Pengarah Urusan SGE Sdn. Bhd. Juga merangkap Pengerusi Eksekutif. Boss aku. Baru berusia 51 tahun. Tegap, tegas namun adil dan juga periang dengan warga kerja SGE. Tidak ada seorang pun warga kerja, yang seramai hampir 50 orang ni, yang dia tidak kenali nama masing-masing. Dari budak pejabat sampailah ke Pengurus Besar, dia kenal dan panggil dengan nama sebenar, tak pernah “hoi” atau “what’s your name” atau “apa nama apa nama” kedengaran dari mulutnya.

Aktiviti utama SGE adalah dalam pelaburan dan juga memberikan khidmat nasihat dan perundingan kepada pelabur-pelabur asing untuk menanam modal di tempat kita ni. SGE akan mengenalpasti dan menemukan syarikat atau individu tempatan dengan pelabur asing yang mempunyai matlamat yang sama. Matchmaker atau penemu jodohlah bak kata orang kita.

Selalunya orang kita akan menyediakan tanah dan infrastruktur manakala pelabur asing akan menyediakan duit dan teknologi.  Apabila persetujuan dari kedua-dua pihak dicapai, segala kelulusan dan urusan dengan pihak berkuasa diperolehi maka perjanjian pelaburan akan dimeterai. Ada kalanya jika pelaburan yang dikenalpasti didapati akan menjanjikan pulangan lumayan, SGE akan tumpang sekaki, dengan mengambil sedikit share, 5% atau 10%. Dengan cara begini SGE akan memperolehi hasil dari dividen tahunan melalui pelaburan-pelaburan tersebut disamping mendapat ganjaran untuk khidmat nasihat yang diberikan. Kiri kanan makan!

Masa aku mula-mula masuk bertugas, memang aku respect habis pada Encik Hashim ni. Kejayaan dia pun membuat aku rasa ingin berjaya juga sepertinya. Aku membuat Encik Hashim sebagai mentor aku.

Banyak aku belajar dari dia dan aku timba ilmu dan kebolehannya. Aku pula berjaya membuat dia kagum dengan kejayaan aku menyelesaikan dan melengkapkan beberapa projek yang telah menemui jalan buntu kerana kesukaran untuk mendapatkan kelulusan dan sokongan dari jabatan-jabatan kerajaan yang tertentu.

Salah satu budaya yang negatif kat tempat kita ni adalah budaya know who. Sekarang ni, di zaman penuh persaingan, know how sahaja sudah tidak mencukupi. Banyak cara untuk menjayakan sesuatu projek dan banyak cara juga untuk melambatkan, menyukarkan serta membatalkan sesuatu projek. Hendak dengan tak hendak sahaja dan sejauh mana keupayaan untuk belok sana dan sini.

 Mana-mana projek yang menemui jalan buntu atau lambat untuk mendapat kelulusan, maka terpaksalah aku entertain secukupnya kakitangan dan pegawai-pegawai dari jabatan yang berkenaan dari atas ke bawah, gerenti approve!

Pekerja-pekerja bawahan tu senanglah aku nak tackle, tak banyak sangat belanja. Habis kuat dorang ni akan minta handphone, beg tangan, derma kepada persatuan-persatuan penduduk dan benda-benda kecik jer…tidak menjadi masalah. Tang pegawai-pegawai atasan tu yang kena keluar banyak modal. Banyak permintaan dorang ni, lagi tinggi pangkat, lagi tinggi approval authority, lagi tinggilah demand dan permintaan mereka-mereka ni. Maka, aku pun relalah di gelar “lembu” untuk disembelih. Apa boleh buat, kerja punya pasal!

Setelah hampir 3 tahun berkerja di SGE, banyak perkara tentang Encik Hashim yang aku dengar dan juga aku lihat sendiri yang telah merubah pandangan aku terhadapnya, terutama kehidupan peribadinya diluar pejabat.

Secara professional, aku dapat memahami tindak tanduk Encik Hashim sebagai Pengerusi Eksekutif. Encik Hashim mempunyai kuasa yang mutlak dalam sesuatu keputusan. Aku tahu ada 5 orang lagi Ahli Lembaga Pengarah, tapi dorang ni kenkadang untuk cukupkan korum saja bagi memulakan mesyuarat.

Selalunya, keputusan dah pun Encik Hashim buat awal-awal lagi dan Lembaga Pengarah hanya untuk mengesahkan keputusan tersebut. Belum pernah aku dengar ada Ahli Lembaga Pengarah yang membangkang apa-apa keputusan yang Encik Hashim buat.

Lantak dialah, company dia, duit dia dan risiko dia tanggung. Tapi yang tak bestnya, bila nasihat dan recommendation dari Management (termasuk recommendation dari aku) yang dia tak nak dengar, dia buat keputusan sendiri dan apabila things go wrong, siaplah kena bambu setiap orang yang bersangkut-paut. Encik Hashim takkan mengaku dia silap. Part ni kenkadang buat aku angin, bila aku yang kena bambu la. Tak pasal-pasal kena marah, walau dah terang dan jelas, dia yang memandai-mandai ubah keputusan dan nak ikut cara dia.

Lagi satu, bab-bab enjoy. Aku tak kisah sangat kalau setakat enjoy sana, enjoy sini, melanggani karaoke lounge, exclusive massage centre bertujuan untuk entertain pelanggan dan juga orang-orang penting dan atas nama untuk mendapatkan maklumat atau job dan contract. Aku boleh terima lagi dan adakalanya aku sendiri berada bersamanya.

Perkara yang membuat aku tawar hati dan hilang sedikit respect aku pada dia adalah aktiviti lawatan luar negeri untuk mesyuarat yang tak wujud bersama personal assistant yang tidak digaji oleh SGE. Part ni yang aku kurang gemar kerana kredibilitinya boleh dipersoalkan, tapi mana ada yang berani mempersoalkannya! Jadi, semua warga kerja yang tahu diamkan saja, masing-masing jaga periuk nasi sendiri!

Dan, perkara yang amat membuat aku meluat kekadang tu ialah bila dia berpesta, terus tak ingat dunia dan tak sedar diri. Kalah orang muda. Aku punyalah bersusah payah untuk menjauhkan diri dari dunia sebegitu tapi Encik Hashim macam gemar pula berenang dalam tasik kenikmatan kota metropolitan yang dihiasi tubuh-tubuh hangat, bermandikan cahaya suram disertai pula oleh aliran air nafsu yang tiada terhenti. Selagi ada duit, memanglah tak berhenti air tu mengalir! Muda-muda tak cukup enjoy agaknya dia ni!

Namun aku masih boleh dan terpaksa terima itu semua. Aku masih boleh menghormati Encik Hashim sebagai ketua aku. Tidak lebih dari itu. Apa dia buat selepas waktu pejabat adalah hak dia.

“Saya rasa delegasi tu cukup tertarik dengan strategi yang awak rangkakan itu, it’s in the bag, I can just feel it!” Berdegar-degar kata-kata Encik Hashim. Penuh semangat. Aku pun rasa bangga juga dengan kata-kata pujian tu. Kembang jugalah.

Inilah salah satu sikap Encik Hashim yang aku boleh puji. Dia pandai memberi kata-kata perangsang pada pekerjanya. Good motivator.

Dia mempunyai kepandaian dalam memberi pujian pada masa yang tepat dan dalam keadaan yang sesuai. Setiap pekerja akan berasa dihargai dan dihormati. Bab ni aku respek Encik Hashim.Tak kedekut dengan pujian jika ianya setimpal dengan result yang ditunjukkan.

I hope so Encik Hashim, semoga berjaya hendaknya, emmI have to go, ada sedikit perkara yang I nak selesaikan…” aku mula mengorak langkah untuk kembali ke pejabatku.

“Okey!, good job sekali lagi dan jangan lupa, sebelas setengah nanti, ada pegawai baru yang I personally lantik bagi mengukuhkan lagi SGE,” Encik Hashim sekali lagi mengingatkan aku. Penting sangat agaknya pegawai yang baru ni, sampai aku sudah diberi peringatan berkali-kali.

“Jangan khuatir Encik Hashim, tepat sebelas setengah saya tiba.”

Aku terus berlalu. Tak nak aku toleh lagi ke arahnya, makin panjang pula cerita nanti.

Dalam hati, aku berasa sangsi tentang perkataan “kukuh” yang digunakan oleh Encik Hashim. Lebih-lebih lagi pegawai baru tu seorang perempuan. Hmm.…

Ingatan aku terus kepada seorang eksekutif wanita yang terakhir dilantik oleh Encik Hashim lebih setahun yang lalu.  Tidak seorang pun tahu apa fungsi dia di SGE. Apa yang diketahui, dia kerap pergi trip ke luar negara dengan Encik Hashim dan setelah beberapa bulan, dia berhenti mengejut dengan memberi notis 24 jam. Banyak pertanyaan yang timbul tapi tak seorang pun yang berani menghebohkan perkara ini. Ianya dilupai begitu sahaja dan hanya timbul sekali-sekala bila ada staff yang terserempak dengan wanita tersebut bersama anak kecil. Banyak persoalan dari jawapan.

Dan sekarang, seorang lagi pegawai baru, seorang wanita!


Kita tunggu dan lihat

No comments: