Wednesday, May 13, 2015

Diary of A Sugar Daddy

sorry ive taken off the story
ada a few revision
will up the completed work in due course..

MASIHKAH ADA ALIA - Part 4, Chapter 42

Aku hanya sedar yang aku telah sampai ke lokasi yang aku tuju bila diberitahu oleh drebar teksi. Jauh betul renungan aku tadi. Selesai membuat bayaran aku terus ke sarang penyangak yang telah diterangkan oleh Eddy. Memang kawasan ni tempat klasik sarang penyangak.

Siapa yang biasa dengan kawasan Brickfields tu akan tahulah keadaan lorong lorong gelap dan juga rumah rumah separuh gelap di situ. Ramai kutu kutu jalanan, matpet-matpet, gangster tali kasut dan juga mat-mat indon dan bangla berkeliaran.

Di deretan rumah tumpangan murah tu, keluar masuk umat perlbagai ragam mencari kupu-kupu malam dan tempat perlempiasan nafsu dan tak kurang juga tempat tongang arak. Aku doa dalam hati agar matlamat aku tercapai malam ni juga, masa tidak menyebelahi aku.



Destinasi aku, sebuah kelab dangdut, tersorok di tingkat 2 deretan rumah kedai di situ. Sepertimana yang Eddy gambarkan describe, kelab tu tak seberapa, lampu neon yang merangkap papan tandanya pun malap jer tapi pengunjungnya ramai.

Kaki lima menghala ke kelab tu agak sesak dengan orang kerana terdapat sebuah gerai mamak di situ. Aku sedar ramai mata merenung aku, orang asing, muka baru pada yang biasa mengunjungi tempat itu. Topi yang aku pinjam dari Zan memainkan peranan dalam menghalang mata mata yang liar dari melihat muka aku dengan jelas.

Sebelum aku melangkah anak tangga untuk naik ke kelab tersebut, aku lihat deretan kereta yang diletakkan di depan bangunan tu dan aku perhatikan seperti ada sesuatu yang tak kena pada tempatnya.

Mata aku tertumpu pada sebuah kereta – Nissan Fairlady z370, full body kit, warna putih; diantara barisan Satria dan Wira yang dah bikin di situ. Hmm...ada orang kaya baru nampaknya.. Ingin menunjuk kehebatan

Jarang kereta sebegini menjadikan kawasan ini sebagai tempat permainan. Kalau datang pun pasti sekejap, kawasan ni tak selamat. Kesimpulannya amat nyata, pasti yang empunya ni orang baru dan belum mamahami atau mungkin, sengaja untuk menunjuk nunjuk.

Betullah kata Eddy, “orang baru” yang mengambil kontrak mengerat leher aku, masih mentah dan masih amature.



Aku meneruskan langkah menaiki anak tangga ke tingkat 2, melintasi beberapa mamat yang lepak di tepi tangga tu. Cahaya malap membantu aku untuk tidak kelihatan begitu menonjol dan terlalu ketara.

Aku memasuki kelab tu, lagi gelap, cuma downlight suram dan lampu disko yang berkelip kelip tu jer yang memberi sedikit sinaran untuk melihat jalan.

Kelab tu penuh. Aku mencari tempat duduk di bar supaya senang aku memerhatikan keadaan. Tempat duduk paling jauh dari dance floor dan juga pentas menjadi pilihan aku.
Kumpulan dangdut sedang mendendangkan lagu. Bingat telinga, bising ya amat. Berhadapan dance floor adalah sofa-sofa yang disusun berkelompok kelompok dan semuanya ada penghuni.

Mata aku ligat memerhati dan mengamati pengunjung yang hadir. Sukar juga dalam keadaan kelam tu dan cahaya berkelip kelip.

Muncul bartender bertanya apa minuman yang aku mahu. Aku hanya memesan Coke dan bartender tu sengih seolah olah memerli, aku buat tak tau dengan jelingan sinisnya, peduli apa!, dah memang aku tak sentuh air neraka tu.

Coke yang aku pesan sampai dan wajah bartender tu masih dengan lagak sombong. Aku keluarkan duit untuk membayar dan ketika dia ingin mengambil wang tersebut, aku pegang lengannya. Dia tersentak. Aku mengatakan bahawa aku hanya hendak bertanya sesuatu lalu aku lepaskan tangannya semula.

“Rilek brader, aku bukan apa yang kau sangka. Keep the change!” aku jerit di telinganya sambil meletakkan duit 100 ringgit untuk membayar Coke berharga 12 ringgit tu.

Mamat tu pun tunduk ke arah aku.

“Siapa punya Nissan Fairlady kaler putih kat bawah tu?”

Aku nampak dia seakan gugup seketika. Entahlah kenapa. Mungkin dalam tempat ni ada undang-undang tak bertulis mengenai orang yang datang bertanyakan orang lain.

“Tak payah sebut nama, tunjuk mana jer cukup”

“Meja 14, depan sekali, belah kiri stage” ringkas mamat tu membalas dan dia terus belah mengambil order di sudut lain bar tu.




Aku perhati bartender berlalu pergi untuk memberikan sedikit ruang sebelum aku mengalih pandangan aku kat meja yang disebutkan, depan, sebelah kiri stage.

Tersirap darah aku.

Aku tak payah tengok muka dia, tak nampak pun dalam gelap dan samar ketika itu, tapi memang sahih, dari saiz badan dan bentuk rambut, aku kenal benar, dialah mamat yang mula-mula masuk semasa percubaan membunuh aku tu. Cilakak, loaded kau, semua dari duit darah aku.

Memang bertuah aku malam ni dan memang malanglah kau malam ni. Allah tu Maha Pemberi, aku bersyukur kerana Allah menemukan aku dengan bangsat tu malam ni juga. Allah menyebelahi pihak yang benar, doa orang yang teraniaya selalunya dimakbulkan, aminnn!

Aku tak sentuh pun Coke di depanku. Aku terus keluar dari kelab tersebut dan mengambil keputusan untuk lepak di gerai mamak di bawah. Aku order teh tarik dengan nasi goreng mamak satu.

Masa untuk menunggu. Bak kata Pakcik Lamin, “jerat tak pernah lupa pelanduk, pelanduk jer yang lupa kat jerat.”


Aku kena pasang jerat untuk pelanduk sekor ni!!, eh, bukan pelanduk, babi hutan, lagi tepat!! Memang aku dah samakan taraf dia dengan seekor khinzir, malah lebih redah dari tu, cuma aku tak tahu apa jenis binatang lebih jijik dari khinzir.

Friday, May 8, 2015

MASIHKAH ADA ALIA - Part 4, Chapter 41

Bingit telinga aku.

Cilakak!! Amender yang menggangu aku dari tidur ni, bertubi-tubi merejam kelenaan aku. Beberapa detik berlalu barulah aku mengenali bunyi tu adalah dari handphone aku.

Handphone lama!

Alia!

Aku melompat pantas mencapai phone tu yang sedang aku charge setelah bateri dia kong kerana lama tak digunakan.

 “Hello!..” cemas aku menjawab sambil menahan airmata aku dari berderai “Alia, is that you??!!”

“Encik Asmara?”

Ciss!!!!sora jantan!

“Ya!, bercakap. Kau siapa!!?”

“Hidup lagi kau yer, aku ingatkan dah arwah, ha-ha-ha. Okey…okey aku harap kau bertenang dan tak perlu tau aku siapa. Cuma dengar dengan teliti, okey bro?!”

“Okey!” Jawab ku ringkas. Aku kena mengalah. Keselamatan Alia lagi penting dan aku tak mahu kemarahan aku membawa malapetaka pula pada Alia.

Good, lets make this simple and straight to the point. Kau ada apa yang aku nak dan aku ada apa yang kau nak.”

I am listening.”

Don’t be a hero, ikut saja cakap aku and everything will turn out fine, for you and also Alia.”

Cut the bullshit! Alia mana?!!”

Relax, we’ll get to that, aku nak pastikan kau betul-betul faham risiko yang ada dan yang bakal kau hadapi kalau kau tak ikut apa yang aku mahu!”

“Apa yang kau nak sekarang ni?”

“12 juta..”

Done! Tapi bagi aku cakap dengan Alia dulu”

“12 juta dulu”

“Dengar sini lakhanat! Kau bagi aku cakap ngan Alia dulu or you can kiss the money goodbye!”

Aku pasti tuan empunya suara tu mengetahui bahawa tandatangan bersama aku dan Alia diperlukan untuk sebarang pemindahan dana melebihi RM1 juta. Nasib aku tak mati, kalau tak, satu sen pun sesiapa tak merasa duit tu. Sekarang, aku pulak ada kelebihan!

“Hmm…okey, hang on.”

Beberapa saat berlalu. TAlian tu tu senyap. Berdebar-debar hati aku, Ya Allah, kuatkan semangat aku dan Alia menempuh dugaan ni!

“As…” muncul suara Alia lemah.

Yeah, its me. Are you okey? Be strong, I promise, I will get you out of this mess. Trust me Alia!”

“As, I’m okey! Be careful As. Just be ca - ”

Satisfied?” Suara bangsat tu kembali pula.

“Baiklah, kau menang buat masa ni. Cuma aku nak bagi tahu, tempahlah kain kapan kau dari sekarang dan bertaubatlah apa-apa yang patut kalau aku jumpa walau satu calar pun kat badan Alia nanti…sampai ke lubang cacing aku cari kau.”

“Yerlah tusuka hati kau lah…dengar sini…aku nak kau balik ke hotel penginapan kau dan Alia. Ada sampul surat di atas nama kau kat reception dan dalam sampul tu ada borang transfer untuk kau penuhkan dan tandatangan.”

“Kau ingat aku nak percaya kat kau bulat-bulat macam tu saja? Apa alasan yang kau boleh bagi yang ini semua bukan perangkap?!”

“Terpulang kat kau nak percaya aku kat aku atau tak. Yang aku tahu, esok aku nak duit tu ada dalam tangan kau dan kita buat pertukaran. Paham?!”

“Esok? Impossible! Bagi aku tempoh 3 hari.”

Kepala hotak kau tiga hari! Aku bagi kau 48 jam!”

- klik -

Aku save nombor yang membuat panggilan kepada aku tu, satu lagi link terbaik aku ke Alia. Tak mungkin pemanggil tersebut sebegitu bodoh untuk menggunakan nombor talian peribadinya tapi, who knows!



Aku solat Isyak dulu, minta pertolongan dan panduan. Aku berdoa panjang untuk keselamatan Alia, bakal isteri aku tu, jika diizinkan Allah.

Aku keluar dari apartment tempat aku menginap sementara ni lebih kurang jam 9.30 malam. Aku menahan teksi untuk menuju ke lobby hotel aku dan Alia menetap dan tempat kejadian aku ditembak sepertimana yang diarahkan.

Aku tak sedap hati. Pergerakkan aku sekarang ni di bawah arahan orang lain. Keadaan tidak dalam kawalan aku. Ini membuat aku resah.  

Semasa dalam perjalanan keresahan aku makin memuncak. Mengapa aku harus serahkan tengkok untuk mengambil borang tersebut? Terasa macam ayam ternakan yang sedang beratur untuk disembelih dan dijadikan burger dan sausage.

Aku terhidu sebuah perangkap dan jika aku pun berjaya ditawan oleh Harith, that’s it, game over! Siapa lagi yang boleh menolong aku dan Alia?

Setibanya aku di sana, aku minta pemandu teksi tu berhenti di agak jauh luar seketika. Aku tak mahu turun. Aku cuma mahu memerhati keadaan sekeliling.

Aku perhatikan lobi tu dari jauh. Dinding kaca yang digunakan memberikan aku pandangan yang jelas tentang keadaan lobi tersebut. Lengang dan cuma beberapa orang sahaja di situ.

Perangkap!? Mungkin tidak. Aku tak berapa yakin. Selalunya dalam keadaan begini naluri aku akan melaungkan semboyan amaran tapi kali ini tidak. Keadaan 50 : 50. Nak pergi atau tidak.

Aku berperang dengan diri sendiri. Apalah sangat wang 12 juta berbanding dengan nyawa Alia. Tapi, yang menjadi persoalan, adakah nyawa aku dan Alia terjamin setelah wang sebanyak itu bertukar tangan, lebih-lebih lagi jika aku dan Alia sama-sama dalam tahanan Harith.

Aku tak ingin mengetahui jawapannya. Aku perlu usahakan sesuatu. Selagi aku bebas bergerak, pasti ada jalan lain.

Aku diberi tempoh 48 jam. Ini bermakna, aku perlu menyelesaikan masalah ni dalam masa yang kurang dari apa yang diberikan.

Aku menyuruh pemandu teksi tu meneruskan perjalanan. Aku tak perlu mengikut arahan penyangak tu pada masa ini. Aku masih ada masa untuk berfikir. Aku mintak pemandu teksi tu membawa aku ke arah KLCC dan menuju ke Bukit Bintang. Aku perlu masa untuk bertenang dan berfikir.

Sepanjang perjalanan aku memikirkan bagaimana hendak mencari 3 orang dari sejumlah lebih 2 juta orang penduduk Kuala Lumpur ni.

Like looking for a needle in a haystack.

Tepat sungguh peribahasa Inggeris tu. Namun, aku berfikir kembali. Aku imbas kembali amanat dan pengalaman Pakcik Lamin aku.

Dia selalu berkata, kalau menghadapi masalah yang rumit, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah – ketepikan perkara-perkara atau unsur yang tidak berkaitan.

Jadinya, dalam 2 juta orang, berapa ramai yang terlibat dengan jenayah? Kalau mengikut statistic, nisbah purata di negara kita ni ianya adalah kurang dari 2 peratus atau bersamaan 40,000 orang dari 2 juta tu.

Dalam reramai tu, berapa sangat yang terlibat dalam jenayah berat dan gangsterism dan sanggup menerima upah untuk bunuh orang, mungkin 10% saja.  Dah jadi 4,000 orang. Kalau dipecahkan lagi mengikut bangsa, aku perlu fokus pada 20% yang berbangsa Melayu oleh kerana tiga orang yang menyerang aku tu Melayu, dah tinggal 800 orang.

Katakanlah, 50% dalam penjara atau lain-lain pusat tahanan, dah tinggal 400 orang. Ketepikan 40% yang dibuang daerah, dalam persembunyian dan/atau berpindah ke luar pendalaman, tinggal 240 orang dan yang betul aktif mungkin 10% dan kita akan sampai pada jumlah yang agak kecil, iaitu 24 orang. Namun, fakta paling memberi aku semangat adalah -  orang yang kudung jari manis di tangan kanan -  1 orang saja.

Dari 2 juta orang aku telah mengecilkan jumlah tersebut kepada hanya 24 orang. Aku rasa tak susah mencari satu manusia dari kalangan 24 orang. Aku hanya perlu mengetahu tempat untuk mencarinya.

Aku terpikir juga, elok aku cari si Harith, ekori dia dan pasti aku akan bertemu Alia. Tapi, masa tidak menyebelahi aku dan aku perlu mengaitkan ketiga tiga penyangak yang menyerang aku dengan Harith, baru aku ada bukti kukuh ini semua kerja Harith.

Aku tak mahu Harith memunyai peluang untuk menutup langkahnya. Lagipun, memang aku nak belasah 3 orang tu cecukup dulu.




Buat sesuatu kerja tu perlulah mengikut aturan dan berpandu pada kelojikkan, terngiang-ngiang nasihat Pakcik Lamin. Tak guna ikut perasaan. Selesaikan masalah satu persatu - slow and steady.

Inilah tujuan utama aku nak berjumpa Eddy malam ni. Satu satunya mamat yang boleh tulong aku untuk dapat maklumat tentang sarang dan port gangster-gangster yang hardcore ni. Aku cuma nak tahu tempat tempatnya saja, aku boleh pergi cari dan reki sendiri dan aku pasti, gerenti aku buleh jumpa salah sorang atau ketiga-tiga lahanat tu.

Aku turun dari teksi, terus masuk ke lobi dan aku menuju ke sudut belakang coffeehouse di Concorde tu. Ramai mata memerhati aku, mungkin sebab parut kat muka aku ni. Aku buat derk jer, aku berjalan menuju meja di hujung sekali, port Eddy selalunya pada waktu waktu begini.



Si Eddy tiada di situ. Cinabeng!!. Ada sekumpulan 4 orang yang sedang asyik di meja tu, pastinya perihal projek billion-billion, biasa la, usahawan Melayu, cakap jer bedekah dekah, tapi bila dapat projek, jual kat orang lain..

Aku jalan keluar dan menuju ke lounge yang berada di sebelah kanan lobi tu dan aku terus ke HRC melalui pintu tepi. Pintu depan tu jangan cerita la, orang dah beratur macam nak beli tiket bas ke Seremban di Puduraya.

“Weeyyy As..lama tak nampak, bertapa ker...apahal muka lu bai?” si Zan, bouncer kat situ tegur aku.

Memang aku nak cari dia pun dan memang lama aku tak jumpa mamat ni. Nama samaran punyalah manja, Zan; tapi orangya, ya rabbi, punya besar dengan kepala botak, tak sajak betul dengan nama samaran tu.

“Yo Zan, biasa la bang, carik ilmu skit...he-he...” aku sambut tangan Zan yang dia hulur dan aku sengaja tak melayan persoalan dia tentang muka aku. Chiss...huduh sangat ke muka aku ngan parut ni?

Bai..masuk...minum ke dulu, jap lagi kita citer panjang lepas aku settle keje kat sini...ok?” Zan pelawa aku.

Tak leh la bro..aku nak cepat, aku nak carik Eddy...kau ada nampak dia?”

“Eddy kat ataslah bai...tempat biasa, tengah layan...baru dalam setengah jam dia naik, aku rasa ada lagi situ”

Hmmm!!! Aku kena decide, samada nak cari si Eddy di atas atau tunggu hingga Eddy datang sambil melayan si Zan.

Aku malas nak lepak sini, pengunjung semakin ramai dan aku pasti ada kutu-kutu lain yang kenal aku akan datang menjengah dan dengan parut di muka aku ni, mesti mereka akan banyak tanya. Aku takde mood nak melayan.

Aku buat keputusan untuk naik ke atas, tempat istirehat eksklusif.

Aku keluar lift, menempuhi koridor dilimpahi lampu suram dan terus menuju ke penghujung hingga bertemu seorang bouncer menjaga pintu. Ada 3 atau 4 orang lain yang belegar kat situ, mungkin tengah kira duit cukup atau tak cukup.

Aku melalui pintu masuk yang dibuka oleh bouncer yang menjaga pintu tu setelah dia mendapat “kata laluan” 50 ringgit dari aku. Terseragam meja reception, canggih dan dah berwajah baru pulak, ikut peredaran zaman.

Dua tiga orang pekerja kat situ berlari mendapatkan aku, tanya aku nak apa. Aku minta dorang beritahu aku Eddy berada di bilik yang mana.

Dorang tak mau bagi tau atau memang tak tau.

Di KL ni dan kat tempat tempat macam ni, dua benda jer yang laku; duit dan pistol. Kalau ada salah satu benda tu, memang mintak apa saja pasti dapat.

Aku ke kaunter reception dan bertanyakan OKT atau kapten yang bertugas. Seorang mamat berwatak jinjang joe muncul mendapatkan aku. Tanpa banyak soal, aku letakkan 100 ringgit kat tangan dia dan aku sebut yang aku nak jumpa Eddy.

Aku terus dibawa ke sebuah bilik setelah dua tiga kali membelok kiri kanan melalui koridor yang agak sempit dan suram tu.

Mamat tu belah, aku ketuk pintu, aku pusing tombol pintu dan aku masuk.

Siutnye Eddy!!, relek jer dia duk atas katil bawah selimut dan sedang menghisap rokok. Kat bilik air aku dengar bunyi shower terpasang.


Info dari Eddy cukup mantap dan berguna, aku bagi dia 300 ringgit, dia tak nak, info dia bagi free jer, kawan-kawan punya hal; tapi aku kata bukan nak bayar dia tapi aku belanja dia malam ni. Barulah dia ambil.

Aku keluar dari Hotel Concorde dah dekat tengah malam. Singgah dulu jumpa Zan, ambil nombor handphone dia dan aku berjanji akan kembali dan kemungkinan besar memerlukan bantuan yang amat besar darinya.

Aku pinjam topi  baseball si Zan yang tersangkut di pinggangnya untukku pakai agar dapat aku sorokkan sedikit sebanyak muka aku yang berparut ni.

Aku mengambil teksi terus menghala ke Brickfields, tempat yang terkenal sebagai sarang kumpulan gangster-gangster pelbagai kaum.

Di dalam teksi, aku kaji balik info dari Eddy. Memang dia dengar desas desus ada orang kaya tengah carik hitman, bayaran dalam 350 ribu ringgit dan target dia orang Melayu. Memang jarang Melayu cari hitman untuk balun Melayu lain.

Selalunya kalau Melayu tu, cari bomohlah untuk santau atau hantar hantu atau jin. Itu sebabnya berita ni tersebar luas di kalangan rangkaian gangster-gangster. Eddy kata gangster Cina ngan gangster India tak berani menghampiri kontrak ni sebab mereka rasa seakan perangkap polis kerana terlalu besar jumlahnya. Too good to be true.

Akhirnya, ada kedengaran yang kontrak tersebut diambil oleh orang luar dan juga mereka ini adalah “orang baru”.

Pihak polis telah mengenal pasti beberapa orang yang disyaki terbabit dan telah pun membuka fail. Namun tiada siasatan usulan dilakukan kerana tiada kes yang berbangkit, tiada laporan pembunuhan atau sebarang aduan diterima.

Aku kaji timeline yang dinyatakan oleh Eddy. Ianya bersesuaian dengan jangkasa masa aku dan Alia tiba di KL. Tidak hairan bagiku kenapa pihak polis tak meneruskan siasatan untuk menjejak orang yang disyaki mengambil kontrak tersebut kerana aku masih hidup lagi dan hotel penginapan aku dan Alia  pun pandai cover kejadian tepoh hari tu.

Tak sesia aku belanja Eddy, memang maklumat yang dia berikan amat mantap dan berguna. Berbaloi juga kenal anggota undercover macam Eddy ni.


Destinasi aku seterusnya akan membawa aku ke kawasan yang dikenalpasti selalu dikunjungi oleh orang orang yang disyaki. Terima kasih bebanyaklah Eddy.

MASIHKAH ADA ALIA - Part 4, Chapter 40

Ubat sinseh yang aku baru saja telan tu adalah untuk menguatkan darah dan juga otot-otot. Pakcik Lamin selalu cakap, darah kalau sihat, badan pasti sihat, jadi jaga makan, makanan jadi darah dan daging. Ubat yang aku ambil tu kira seperti service semula darah aku dan memang, tidak lama setelah aku telan, berpusing dunia aku rasakan.

Jantung aku berdenyut laju. Segala pembuluh dan urat-urat aku terasa bagai terbuka luas untuk memberi laluan kepada perjalanan darah yang semakin lancar. Peluh mula keluar dari setiap liang rongga badan aku.

Aku kena rehat sebentar untuk memberi ruang bagi badan aku menerima proses baikpulih yang sedang dijalankan oleh ubat sinseh yang baru aku telan. Aku masuk McDonalds di The Mall dan terus memesan makanan.

Sambil menikmati makan dan minuman, aku perhatikan keadaan sekeliling dan dalam keadaan tenang tu otak aku pun mula menayang kembali imej-imej yang berlaku di dalam bilik hotel semasa aku dipukul dan hampir menemui maut tu.

Imbasan muka lelaki yang berdiri di depan pintu ketika aku membuka pintu sudah terpahat di dalam memori aku, tidak akan aku lupa muka lakhanat tu.

Memori aku beralih ke lelaki kedua yang menghempuk aku dengan kerusi tu dan kemudian akhir sekali, lelaki ketiga yang mengacukan pistol kea rah aku.

Otak aku berlegar agak lama pada imbasan tersebut. Aku fikir, aku kaji, aku renung dan aku fokus pada saat aku menerkam lelaki itu. Ada satu perkara yang tak kena pada tangan dia yang memegang pistol tu.

Aku ulang memori aku berkali kali, ada keganjilan pada tangan dia. Tidak, bukan tangan. Jari dia! Apa dia? Persoalan tu berulang. Cincin ke? Parut ke? Tattoo ke? Puas aku memikir.

Aku ulangan lagi ingatan tersebut, aku fokus pada jari-jari dia yang memegang pistol tu. Terlampau laju imbasan tu. Aku perlu perlahan sedikit. Aku tarik beberapa nafas panjang untuk mengawal minda aku. Aku perlahankan irama jantungku sebentar. Aku perlu bertenang. Ketenangan akan membawa ketajaman pemikiran. Aku pejam mata. Aku buangkan jauh-jauh bunyi-bunyi persekitaran yang boleh menggangu konsentrasiku. Perlahan aku mulakan imbasan imej-imej terakhir yang aku ingat. Kesemua butir-butir terperinci ada dalam otak aku, aku hanya perlu mencarinya.

Terdapat berbilion sel yang ada di dalam otak kita yang mencatit setiap peristiwa yang dilalui. Setiap satu merakamkan pengalaman yang kita tempuhi, terutama perkara yang membawa kesan mendalam keapada diri seseorang, dengan jelas bagai sekeping gambar.

Adalah satu fakta saintifik bahawa komputer yang paling berkuasa adalah otak manusia dan jika manusia dapat membina sebuah komputer yang dua kali ganda besarnya dari bangunan KLCC pun belum tentu dapat menandingi keupayaan pemprosesan otak manusia. Sekarang, aku kena semak satu persatu fail-fail di dalam komputer yang  terletak di dalam tengkorak aku ni. Proses yang agak rumit tapi tidak mustahil. Ada caranya.

Dalam aku memejamkan mata, aku mula ber-Istighfar, aku sebut nama Allah berulang kali dan aku minta agar diterangkan hati ini dan aku niatkan kesemua untuk kebaikkan dan demi menyelamatkan Alia.

Aku melalui semula saat dan detik ketika aku menerkam pemuda yang mengacukan pistol kepadaku. Mukanya, tangannya, jarinya dan kemudian…Cilakak! Dia tak ada jari manis! Jari kecil tangan kanannya yang memegang pistol tu kudung.

Padanlah gengaman pada pemegang pistol tak kemas dan ditambah dengan terkaman aku, dia boleh tersasar pada jarak yang sebegitu dekat.



Aku membuka mata dan kembali ke alam nyata semula. Aku tidak pasti entah berapa minit telah berlalu sejak aku memejamkan mata tadi. Orang di sekeliling yang perasan perbuatan aku tu pasti akan tertanya-tanya kenapa aku begitu. Tidur ke atau mereka akan menyangka aku mat gian tengah layan stone. Tak mungkin kut, tubuh sesasa aku ni, takkanlah orang boleh sangka aku mat gian. Mustahil!

Tanpa aku sedari, meja disebelah aku telah dihuni oleh satu keluarga. Sepasang suami isteri yang agak muda bersama seorang kanak-kanak perempuan berumur dalam lingkungan tiga tahun dan juga seorang bayi yang digendong oleh si isteri.

Bahagia nampaknya mereka. Si suami sibuk melayan keletah anaknya yang comel itu dan si isteri duduk dengan bayi yang tidur lena di pangkuannya.

Aku perhatikan si isteri tersebut, ibu muda, bertudung dan berwajah lembut. Terbayang kebahagian dari sinar matanya. Cara dia memerhatikan suaminya dan anaknya tu. Ishh! Bolehkah aku menemui kebahagian yang sama? Mampukah aku membahagiakan Alia sebegitu?

Alia…terpisah juga aku dengannya buat kali kedua. Kali ni dengan situasi yang amat berbeza dari pertama kalinya, lebih kritikal lagi keadaannya. Alia dalam bahaya dan aku pula bagaikan tidak mampu menolongnya. Tidak mungkin! Hatiku bertempik. Selagi aku bernafas, selagi itu aku akan berusaha mendapatkan Alia semula!

Sia-sia sajalah ilmu yang aku tuntut, kepandaian yang aku ada jika aku putus asa. Kalau arwah Pakcik Lamin masih hidup, pasti dia dah duku kepala aku kerana berfikiran negatif sebegitu.

Tidak…demi cinta, demi maruah dan demi masa depan aku dan Alia, aku tidak akan mengalah…tapi…masihkah ada Alia? Soalan bodoh apa yang aku tanya pada diri sendiri ni! Alia masih ada, aku yakin, aku pasti kerana tiada kesimpulan lain yang boleh aku capai…kerana Alia adalah segala-galanya padaku.

Otak aku mula mengkaji beberapa senario. Pertamanya, berapa kerat saja gangster di Kuala Lumpur ni yang ambil upah bunuh orang. Kedua, lelaki yang memegang pistol tu mungkin budak baru, kerana tidak menggunakan silencer (atau mungkin susah nak dapatkan silencer kat sini) dan cepat panik bila ada orang terjerit-jerit di luar bilik tu.

Tapi, bila aku fikirkan balik tentang motif mereka, aku merasa sangsi yang tujuan sebenar adalah untuk membunuh aku. Ada sesuatu yang tak kena. Harith tidak akan mendapat apa-apa kebaikkan kalau aku mati kerana dia pasti tahu, sebarang urusan kewangan, terutamanya jika melibatkan jumlah yang besar, perlu mendapatkan tandatangan aku dan Alia secara bersama. Tandatangan Alia atau aku berseorang sahaja tidak sah bagi sebarang urusan kewangan yang besar jumlahnya. Harith pun seorang graduan, pasti dia tahu serba sedikit hal-hal pengurusan kewangan.

Harith perlukan aku dan Alia hidup-hidup.

That’s it!

Aku pasti dengan fakta ini. Mereka yang datang tempuh hari mungkin diarahkan untuk mendapatkan aku dengan apa cara pun. Pistol yang dikeluarkan hanya untuk mengancam aku supaya aku mengikuti mereka tanpa banyak soal dan tidak melawan kemahuan mereka. Silap mereka tidak dapat mengawal keadaan dan mungkin silap aku juga memberikan tentangan habis-habisan.

Situasi yang aku sangka rumit kini semakin jelas. Ini menambah keyakinanku bahawa Alia tidak diapa-apakan buat sementara ini. Namun aku tidak ingin mengetahui apa yang Harith sanggup dan boleh buat jika dia tidak dapat apa yang dimahukannya.

Persoalannya sekarang, apakah tindakan selanjutnya bila dia dah dapat duit bapanya kembali. Adakah dia akan membiarkan kami hidup? Inilah soalan cepu mas yang aku tak perlukan tAlian hayat untuk mengetahui jawapannya. Aku yakin, bila dia dah dapat duitnya, dia pasti akan melenyapkan aku dan Alia dari dunia ini.

Aku perlu merangka strategi agar duit itu tidak kembali ke Harith dan aku mendapatkan Alia semula…dan tidak mustahil jika itu bermakna aku harus melenyapkan Harith dari muka bumi ini. Tidak mustahil tapi amat berat untuk aku lakukan. Mungkin ianya perkara yang mudah untuk dilakukan oleh Harith, dia ada orang suruhannya tempuh hari tapi tidak bagi aku. Dosa besar tu bunuh orang! Aku masih waras dan masih ingat Tuhan.

Fikiranku terganggu oleh tangisan bayi yang berada di dalam pangkuan ibunya.

Ibu muda itu mententeramkan bayi tersebut. Ianya diam dari tangisan dan kembali tersenyum. Wajahnya kelihatan aman dan selesa.

Aku juga ingin melihat semula wajah Alia kembali aman, tenang dan dalam keselesaan. Aku juga ingin merangkul Alia dan menyatakan padanya, dia selamat dan selagi aku berada disisinya, tiada apa pun yang dapat mengancam dirinya. Itu janji aku.

Aku sudah mendapat petunjuk terhadap masalah untuk mendapatkan Alia semula. Aku harus balik ke bilik untuk berehat lagi kerana malam nanti, aku akan mula bergerak.

Tapi, sebelum tu, aku ke cawangan Bank Bumiputra (nama lama) di PWTC, keluarkan sedikit duit. Di Kuala Lumpur ni, kena ada wang tunai, senang buat kerja dan bergerak. Aku mengambil keputusan untuk naik teksi sahaja malam nanti untuk memulakan usaha aku, susah kalau sewa kereta.


Bila tiba di bilik, aku buang semua ubat ubat dari hospital, tak perlu lagi pil-pil yang menggunakan bahan kimia yang aku tak tahu asal usulnya dari mana. Aku mandi dan solat sebelum merebahkan diri di atas katil dan aku lelap dengan cincin untuk Alia erat dalam gengaman.

MASIHKAH ADA ALIA - Part 4, Chapter 39

Aku kembali berjalan ke arah The Mall.

Hari dah semakin gelap, hampir nak malam. Sambil berjalan aku beli air mineral dan aku telan sebiji ubat yang baru aku beli tadi. Aku habiskan air dalam botol tadi kerana teringatkan pesan taukeh ubat tu.

Sambil berjalan tu, ingatan aku kembali kepada arwah Pakcik Lamin. Dia adalah abang sulong mak aku dan dia yang mengajar aku dalam ilmu mempertahankan diri. Pakcik Lamin boleh dikatakan jaguh dalam tomoi dan juga handal bermain pisau. Keting kaki dia, punyalah keras, ketuk dengan besi pun dia tak rasa apa. Dialah yang melatih aku dalam seni tomoi ni, hampir tiap tiap hari, dari aku umur 10 tahun.

Sejak aku kecil Pakcik Lamin suka bercerita kepada aku tentang pengalamannya. Aku tertarik dengan cerita-ceritanya. Kisah dia bergaduh, selamatkan anak dara orang, kisah dia mengembara dan bertemu pelbagai perkara dan insiden yang aneh. Pakcik Lamin aku anggap macam Indiana Jones ketika itu.

Cerita-ceritanya memang menarik dan yang paling aku gemar adalah cerita-cerita mistiknya. Ada juga yang tak masuk akal tapi kat kampung aku tu kalau ada budak-budak kena rasuk atau meracau-racau, Pakcik Laminlah yang orang kampung selalu panggil. Selalunya dia nasihatkan bawa ke hospital dan bila begini aku rasa macam anti-klimaks jer. Tapi ada juga masa yang dia akan minta beberapa perkara seperti kemiyan dan sebagainya. Bila macam ni, aku teruja.

Depan mata aku sendiri aku pernah saksikan bagaimana dia mengubat orang kena rasuk. Ish!, macam tak percaya, tapi benda-benda halus dan ghaib ni memang ujud. Terpulanglah kepada penerimaan masing-masing.

Aku juga selalu pasang telinga kalau dia dan pemuda-pemuda kampung (termasuk abang-abang aku) duduk berkumpul. Pelbagai cerita yang aku dengar. Nak kata dia temberang, ramai yang mengesahkan bahawa ilmunya memang tinggi dan apa yang dia cerita, dia boleh buat.

Dia juga tidak kedekut ilmu. Ramai rakan-rakan yang sebaya dengan abang-abang aku yang menuntut dengannya. Tiga orang abang aku juga merupakan anak muridnya. Tak hairanlah, aku juga mula mengikuti apa yang Pakcik Lamin ajarkan. Abang-abang aku pada mulanya melarang tapi aku degilkan diri, aku keraskan hati. Aku ikut juga. Akhirnya, dorang tak kisah dengan kehadiran aku.

Dari aku sekolah rendah lagi sudah memulakan latihan tapi yang ringan dahulu, hingga aku naik sekolah menengah, makin berat latihan latihan yang diberikan, hampir tahap penderaan.

Aku bermula dengan mengetuk keting kaki aku dengan serai, sebatang pada awalnya sehingga hancur. Makin tahun meningkat makin banyak batang serai aku gunakan hingga tahap secekak (mak aku punyalah mengamuk bila rumpun serai dia tanam habis aku kerjakan).

Lepas tu baru graduate ke batang pisang, kemudian tu punching bag (karung guni sebenarnya) berisi pasir, lepas tu kayu beloti berbalut kain guni dan last sekali, batang pokok kelapa yang mengerutu tu.

Bukan nak tunjuk tere la atau cakap besar, tapi pada tahap kemuncak diri aku dengan berbekalkan ilmu yang aku pelajari, kayu beloti 4 inci kali 2 inci tu boleh la patah dengan keting aku. Kalau aku bermain bolasepak pula, ramai kawan-kawan yang mengetahui tak berani tackle aku atau rebut bola 50-50 dengan aku. Mereka tahu kalau berlaga dengan keting aku, mereka yang akan dipapah keluar walhal aku tak rasa apa pun.

Ada juga masa yang aku rasa aku memang jaguh, aku kuat, tapi bila aku mula nak riak, salah seorang abang aku atau anak murid Pakcik Lamin yang lain, yang lebih jaguh dari aku akan mengingatkan aku, secara lembut dan juga secara kasar, bahawa jangan lupa diri dan jangan gunakan ilmu yang ada untuk kepentingan diri sendiri.

Sukar juga untuk aku menerimanya tapi akhirnya aku pelajari nasihat tersebut dengan cara yang menyakitkan. Aku dibelasah oleh seorang budak yang lebih kecil susuk badannya dari aku. Budak dari Siam yang tinggal di kampung yang berdekatan. Berpunca dari perselisihan di padang bola dan terbawa ke luar padang.

Aku tersilap cabar kerana marah sangat akibat kalah dalam perlawanan. Budak yang sahut cabaran aku tu kecil je, aku siap gelak lagi. Aku ingat memang aku boleh makan budak tu tapi pergerakkan dia memang licik, laju dan pantas. Aku tersilap langkah. Aku yang kena belasah petang tu. Tiba di rumah, kena lagi pelempang dengan abang aku dan juga tarbiyah yang panjang lebar. Baru aku tahu, saiz bukan ukuran. Baru aku pelajari, diam ubi berisi dan baru aku faham, resmi padi makin berisi makin tunduk.

Mulai hari itu, aku menjadi berhati-hati. Aku belajar kawal kemarahan aku dan yang paling penting, kawal perasaan bongkak dan riak di dalam diri.

Bila aku pulang dari luar negeri selepas habis belajar dan sebelum aku berhijrah ke Kuala Lumpur, aku sempat dapatkan saki-baki ilmu dari Pakcik Lamin, sebelum dia meninggal dunia beberapa bulan selepas itu. Ketika tu aku rasa umur dia dah lebih sembilan puluh tahun, tapi masih gagah, tak berkaca mata dan tak bertongkat pun bila berjalan ke sana kemari.

Banyak juga ilmu yang aku mintak tapi Pakcik Lamin hanya gelak sahaja. Dia cuma bagi ilmu yang dia yakin aku dapat kawal dan gunakan untuk kebaikkan. Yang lain-lain tu aku tak dapat kerana dia tahu aku tak mampu mengendalikannya dan dia takut aku tersalah bawak. Macamlah aku ni jahat sangat tapi memang jahat pun masa tu.

Bila aku merantau ke Kuala Lumpur dan masa aku jahat, aku terus mengamalkan latihan-latihan dan senaman-senaman yang aku pelajari walau tidak sekerap yang patut, hanya bila ada masa terluang sahaja. Tapi kerana kemahiran yang ada, aku tak gentar berhadapan dengan sesiapa pun. Memang aku yakin dengan diri aku dan kerana skill-skill yang telah diperlajari tak hilang, termasuk beberapa teknik-teknik kebatinan. Kederat sahaja kadang-kadang tidak mencukupi. Cuma aku kawal diri aku untuk mengeluarkan apa yang ada untuk mempertahankan diri sahaja. Aku takkan mulakan pergaduhan. 


Bila aku kerja di SGE, aku mula malas untuk berlatih dan bersenam. Sekali-sekala tu adalah aku praktikkan balik serba sedikit. Itupun kerana kesihatan bukan latihan dari segi mempertahankan diri lagi. Aku sangka dah tamatlah episod pertarungan dan pergaduhan dalam hidupku. Lebih-lebih lagi aku dah tinggalkan bidang mempertahankan diri ni agak lama juga. Tapi sekarang ni aku amat memerlukan semula ilmu-ilmu yang Pakcik Lamin telah turunkan pada aku.

MASIHKAH ADA ALIA - Part 4, Chapter 38

First yang aku beli di The Mall adalah handphone baru dan juga talian baru.

Aku perlu nombor baru untuk berhubungan dengan contact-contact aku bagi membolehkan nombor biasa aku bebas, mana tahu Alia membuat panggilan atau ada panggilan meminta tebusan atau apa-apa panggilan pun. Aku pasti telefon yang aku gunakan sudah menerima puluhan miss call.

Kemudian aku ke kedai stationery, aku beli letter opener, aku pilih yang berat dan tebal. Bermata tajam dan runcing, sepanjang 6 inci dan diperbuat dari besi saduran. Pemegangnya solid, sedap dalam gengaman aku. Imbangannya serata dan kalau dibaling pasti tepat ke sasaran. Sekarang aku dah bersenjata.

Aku masukkan dalam sarung kulit yang datang bersamanya. Jalan bawa pisau salah beb, polis boleh tangkap lu, tapi bawa letter opener masih boleh dipertikaikan lagi (ni bukan pakcik aku ajar, ni member-member seperjahatan dulu yang kasi idea).

Dari situ, aku jalan ke Jalan Tunku Abdul Rahman, menyelinap ke kawasan pasar Chow Kit. Dah lama aku tak menjengah kawasan tu. Tapi aku masih ingat di situ ada sebuah kedai Sinseh.

Di tengah-tengah kemajuan di sekitar kawasan tersebut, yang hampir mengabui mata aku, kedai tu tetap di situ dan tetap berkeadaan lusuh sepertimana yang aku ingat. Dari jauh aku terhidu bau yang aku kenal.

Aku berdiri di hadapan kedai tu. Aku perhatikan ukiran kayu yang bermotifkan tulisan Cina di atas ambang pintu kedai tersebut. Masih seperti dulu juga. Aku melangkah masuk dan aku terpaku seketika. Taukeh kedai tersebut adalah orang yang sama dalam imbasan memori aku belasan tahun yang lalu dan dia sedang duduk di tempat yang sama juga sepertimana yang aku ingat. Macam kembali ke zaman silam pula.

Taukeh tu tak perasan kehadiran aku. Dia sedang tunduk membaca akhbar berbahasa Cina di belakang kaunter. Rambutnya yang putih dan kawasan botak di tengah kepalanya tu mengingatkan aku kepada gaya rambut ala Hulk Hogan. Aku memang cam sungguh gaya tu sejak pertama kali Pakcik Lamin membawaku ke kedai ni.

Taiko aaa...” Aku jerit ke arahnya untuk menarik perhatiannya.

Taukeh tu mengangkat muka untuk melihat aku.

“Taukeh, kasi sama saya ini barang…” dan aku senaraikan beberapa ramuan dalam bahasa Cina yang aku tahu.

Terkejut taukeh tu tengok aku, atas bawah dia tenung. Macam tak percaya saja dengan apa yang aku sebut. Aku pun kurang pasti apa benda yang aku minta tu, aku main hafal saja apa yang Pakcik Lamin aku selalu sebut.

Haiyaaalu ka tu Lamin?”

“Bukan laaa taukeh, itu wa punya pakcik la.”

Nama pakcik aku pula yang dia sebut. Mungkin sebab pakcik aku seorang saja yang selalu guna ramuan yang aku sebutkan tu dan mungkin mereka kawan lama agaknya.

Iyaka? LoorMana dia sikalang, lama wa tatak nampak?”

“Ada kampung sana.” Aku temberang, Pakcik Lamin aku dah lama jadi arwah, malas aku nak explain, nanti panjang pula cerita, aku nak pendekkan saja lawatan aku ni.

Eh! Lu punya muka apa pasat?” Tanya apek tu sebaik sahaja renungan matanya yang mengimbas wajahku menemui kesan kecederaan.

Tarak apa pasat la taukeh, wa jatuh motor saja

Okeh, okeh lornanti sikit jam, itu balang lu mau lalam simpan, lu sini tunggu. Sulah lama olang tarak mintak ini balanglu punya pakcik dulu satu olang saja sulalu mintakhaiyatunggu haa!”
Taukeh tu hilang dari pandangan aku menuju ke arah belakang kedai tu. Mungkin ke stor simpanan bahan-bahan dan ubat-ubatan agaknya. Aku dah terbayang terdapatnya pelbagai benda-benda ganjil dalam stor kedai tu…dinosaur pun ada kut, kambing bertanduk tiga, ular berbulu seperti biri-biri dan banyak lagi binatang-binatang mitos yang muncul dalam ingatan aku.

Fai ti lai taukehhhh!!”aku jerit.

Dalam lima minit lebih juga baru taukeh tu muncul bersama beberapa kotak yang agak lusuh. Dia pun memulakan kerja, menimbang, menyukat, mencincang dan menumbuk ramuan-ramuan yang diambil dari kotak-kotak yang dibawa tadi. Ada yang macam kulit kayu, akar tumbuhan, rumpair laut, cendawan, bunga kering dan sesuatu yang kelihatan seperti cengkerang kura-kura. Betul ke tak ramuan yang apek ni bancuh! Jadi mutant pula aku nanti! Setelah selesai, ramuan tu dijadikan 6 timbunan kecil.

Tetiba dia berhenti dan aku tengok dahi dia berkerut kerut macam tengah memikirkan masalah matematik yang complex.

Soli, soli, wa lupa la, ini balang sulah lama olang talak mintak...”

Lepas tu baru dia teruskan, agaknya lepas teringat semula formula yang perlu digunakan. Taukeh tu mengambil serbuk seakan tepung dan tiga jenis minyak pelbagai warna dan digaulkan dengan timbunan tadi lalu membentuk butiran butiran kecil sebesar buah ceri. Yang menariknya, kesemua 24 butiran kecil yang terbentuk sama besar, tere apek ni. Memang kaki gentel ni! Butiran tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam plastik kecil dan dibungkus dengan kertas.

Lu tau machiam mana mau pakai ini obat ka?” Taukeh tu mengajukan pertanyaan padaku apabila menyerahkan bungkusan tersebut. Seolah-olah tidak yakin yang aku tahu apa yang aku minta.

Wa tau taukeh, pakcik wa sudah ajar.”

Okeh, wa kasi ingat…Lu musti minum air banyak kalu makan ini obat tau, jangan lupa …”

Tarak lupa la taukeh! Musti ingat punya. Berapa?”

Taukeh tu pun mengeluarkan sempoa dari laci dan mula membuat mengira. Kelatak-keletik bunyi sempoa tu. Laju betul jari-jarinya.

Empat ratus ringgit terbang! Cehh! Entah apa yang mahal sangat ramuan-ramuan yang ada dalam ubat tu! Ada air mata ikan duyung agaknya!

Dulu Pakcik Lamin beli dalam seratus ringgit saja, tapi tu dululah, masa taukeh tu naik Vespa lagi, tapi sekarang taukeh tu mungkin dah pakai BMW ke, Merz ke, tentu belanja dia pun dah naik, jadi kena la naikkan harga barangan jualannya.


Aku genggam erat bungkusan yang aku terima dan terus keluar dari kedai sinseh tu.

MASIHKAH ADA ALIA - Part 4, Chapter 37

Pagi-pagi lagi aku dah bersiap. Dah masuk tiga hari aku di hospital ni, banyak masa dah terbuang. Lagi lama aku berdiam diri, lagi bahaya keadaan Alia. Aku tahu, orang-orang yang menculik Alia tidak akan menunggu sampai bila-bila. Habis kuat pun seminggu. Lepas tu…ish…takut aku memikirkan apa tindakan mereka selanjutnya.

Aku kemas aku apa yang patut dan aku terus pergi ke pejabat pentadbiran hospital tu. Tepat jam sembilan pagi aku berjumpa pentadbir hospital tersebut yang baru saja duduk di kerusinya, tak sempat panas pun. Aku lihat name tag yang terpapar di atas kocek kemejanya yang berwarna putih tu - “MURUGAN”. Dia agak terpinga-pinga melihat aku. Terkejut agaknya aku berdiri depannya sedangkan dua hari lalu aku terkujur atas katil.

Aku menyampaikan hajat yang terbuku di hati pada Encik Murugan dengan tenang dan jelas. Aku nak keluar. Dia geleng kepala. Macam susah sangat nak faham apa yang aku minta. Encik Murugan kemudiannya menggunakan telefon yang terletak di atas meja. Pantas jari-jarinya menekan butang. Aku perhatikan sahaja sambil memasang telinga.

Encik Murugan meminta aku tunggu sebentar. Aku pun tunggu. Melangok depannya. Tak sampai beberapa detik, seorang wanita dalam lingkungan usia empat puluhan melangkah mendekati meja di mana aku dan Encik Murugan berada. Dari pakaian seragamnya yang berwarna biru muda, aku dah agak, pasti Ketua Jururawat! Tu dia! Tergamam juga aku sebentar melihatnya. Kembar Yusni Jaafar! Sasa sungguh susuk badannya. Dia berjalan dengan teratur. Mukanya agak serious sambil mengepit papan carta di bawah tangannya.

“Encik Asmara…” Lembut suara yang terpacul. Macam bukan keluar dari mulut dia pula. “Betul ke nak minta discharge hari ni juga?” Dia meneruskan kata sambil berdiri di depanku. Sebelah tangan memegang carta dan sebelah lagi mencekak pinggang. Comelnya cara dia berdiri.

“Betul kak..eh..misi…eh..matron…” Aku konfius nak panggil dia ni apa. Bukan apa, konsentrasi aku terganggu oleh tahi lalat yang terletak di pipi kanannya, sebaris dengan hujung hidungnya. Besar pula tu.

“Tapi encik baru sahaja sedar dari koma.” Tambah Ketua Jururawat tu sambil membelek carta di tangannya yang merekodkan perkembangan aku sepanjang aku di sini.

“Bukankah elok tinggal dalam sehari dua lagi, hingga dah betul-betul sembuh.” Pujuknya lagi.

“Saya dah sihat ni. Kecederaan saya pun tidaklah parah sangat. Saya rasa Doktor Hussein boleh confirm yang saya dah okey, dia yang datang rawat saya hari-hari.”

“Doktor Hussein tak ada hari ni. Nanti saya panggil doktor yang bertugas. Kes encik ni tak boleh main lepas macam ni saja. Nanti pihak hospital pula yang akan bertanggung jawab jika berlaku apa-apa.”

Ketua Jururawat tu berjalan meninggalkan aku dan Encik Murugan tanpa menoleh kebelakang. Macam marah je cara dia cakap tu. Aku tak sempat nak tengok siapa namanya.

Betul ke hospital ni begitu mengambil perhatian atas kesihatan dan keadaan aku ataupun mahu mengelak dari sebarang saman jika terjadi apa-apa padaku kalau aku dibenarkan keluar. Satu lagi kemungkinan ialah, jika aku tinggal beberapa hari lagi, pasti bayaran yang mereka akan dapat dariku juga bertambah.

Hampir tengahari juga aku berjaya meloloskan diri. Macam nak keluar dari penjara pula. Menunggu doktor yang bertugas pun hampir dua jam. Ketua Jururawat tu setiap setengah jam datang meminta maaf kerana membuat aku menunggu lama. Tak terbilang berapa kali dia dan Encik Murugan mempelawa aku untuk menunggu di bilik tapi aku enggan. Bilik tu mengingatkan aku kepada kesakitan, untuk orang sakit, aku dah sihat, aku tak sakit, jadi aku tak perlukan bilik tu.

Akhirnya doktor bertugas datang juga. Seorang doktor wanita. Dia pun terus membelek carta kesihatan aku. Aku lihat dia sekejap geleng kepala, sekejap angguk. Entah apa agaknya yang dia faham dari carta tersebut. Aku malas nak tanya. Apa yang aku perlukan adalah dia memberikan kebenaran untuk aku keluar.

Aku tak pernah menandatangan begitu banyak borang sebelum ni. Inilah kali pertama aku tandatangan pelbagai borang. Tak kisah, janji aku dapat bebaskan diri aku. Aku bayar bil hospital yang hampir mencecah sepuluh ribu ringgit, nasib wallet aku tak hilang. Time-time macam inilah, kad kredit aku rasa amat berguna sekali.

Aku tak risau kalau duit kena kebas atau kad kredit aku hilang. Soal kecil bagiku, tapi cincin yang aku beli untuk Alia tu yang lebih bermakna. Cincin itulah yang menjadi penyambung semangat aku. Cincin itulah yang mula-mula aku cari bila wallet aku diserahkan padaku tempuh hari.




Keluar sahaja aku dari hospital, aku mengambil teksi ke SGE untuk menemui Yusuf. Dia telah berjaya mendapatkan tempat aku menginap untuk sementara. Sebuah apartment yang dia dah sewa untuk aku, terletak di belakang The Mall. Cantik juga, 1 bilik dan fully furnished. Aku tak kisah sangat tentang perkakas atau peralatan rumah, sofa atau katil, yang penting aku ada tempat berteduh, berehat dan berfikir. Bagi aku tidur atas simen pun tak jadi masalah.

Yusuf menemani aku di apartment tu sehingga dia lihat aku dah settle down. Setelah Yusuf meninggalkan aku berseorangan, aku mula mengkaji barang-barang aku dan Alia dari hotel yang telah Yusuf bawa ke apartment tu. Susah payah Yusuf mengemas dan membawa kesemuanya.

Banyak betul jasanya kepada aku, tak tahu macam mana aku nak balas. Nantilah aku fikirkan, buat masa ni, biar Allah sahaja yang membalasnya. Sekarang masa untuk aku merangka strategi bagi mendapatkan Alia semula.

Aku yakin Alia masih di dalam negeri lagi sebab passport Alia dan aku serta berberapa barang berharga dan dokumen penting masih tersimpan di dalam peti keselamatan di hotel tempat kami menginap. Aku sorang sahaja yang ada kuasa untuk access peti tu.

Banyak persoalan yang perlu aku fikirkan. Banyak benda yang aku perlu beli, terutamanya berkaitan dengan keadaan tubuh aku. Aku terlihat bungkusan yang berisi ubat-ubatan dari hospital.

Loya tekak aku. Entah apa jenis kimia yang terkandung dalam setiap jenis ubat tu. Aku tak yakin sangat dengan bahan kimia buatan manusia ni. Untuk demam-demam biasa tu bolehlah telan panadol ke apa ke, tapi untuk tubuh aku, urat-urat aku dan darah aku, aku lebih yakin dengan persedian herba. Natural ingredients! Asal dari tanah dan diproses oleh tumbuhan. Semula jadi dan beratus kali lebih berkhasiat dari bahan-bahan kimia ciptaan manusia.

Dengan perlahan aku mengemas semula barangan Alia. Aku lipat baju-bajunya satu-persatu dan aku simpan rapi. Setiap helai yang aku pegang mengingatkan aku saat-saat kami bersama. Setiap helai menggamit memori yang berlainan, membawa cerita yang dapat aku bayangkan seolah-olah aku berada pada saat dan ketika ianya berlaku. Sebak dadaku. Aku rindu pada Alia!

Tak tahan rasanya aku berjauhan dengan Alia sebegini, dengan aku tak tahu keadaan diri dia. Sihat ke, luka ke, makan ke? Arrggh!! Tersentap setiap urat dalam badanku memikirkan kut-kut ada tangan-tangan durjana menyentuh Alia. Memang aku kerat-kerat tangan mereka tu kalau terdapat walau sehelai pun roma Alia yang tercela.

Setelah selesai berkemas, aku pun bersiap. Aku recharge bateri handphone aku yang dah lama mati. Aku biarkan saja di apartment.

Hari sudah semakin petang bila aku mula mengorak langkah. Ada beberapa benda yang perlu aku beli untuk mempersiapkan diri aku. Destinasi pertama adalah kompleks The Mall yang bersebelahan dengan apartment aku ni.


Harith! You want a war, you’ll get one hell of a war.

MASIHKAH ADA ALIA - Part 4, Chapter 36

“Alia belum dijumpai lagi!?” Berdesing soalan aku dalam kamar hospital tu.

Aku rasa nak baling saja dulang di depan aku yang ada bekas berisi bubur nasi yang tawar tu. Aku rasa aku dah buat pesanan makanan penuh protin untuk memberi aku tenaga dan kekuatan tapi yang sampai lain pulak! Terus hilang selera aku dan ditambah lagi dengan kehilangan Alia, lagilah bertambah kerunsingan aku, lagilah aku tak lalu makan.

Masuk dua hari aku berada di hospital termasuk duapuluh empat jam yang aku dalam keadaan koma, tak sedar diri antara hidup atau mati. Sepanjang masa aku koma, Yusuf dan Rizman dan kekadang Ina bergilir-gilir menemani aku. Tapi selalunya Yusuflah, dia yang paling rapat dengan aku.

Dalam sehari yang aku sedar ni, aku sempat luahkan pada Yusuf dari A sampai Z  tentang apa yang terjadi. Yusuf tak menunjukkan sebarang tanda dia terkejut dengan apa yang aku ceritakan.

Aku dah agak dah!” Itulah apa yang dia beritahu aku.

Macam dia perli aku je. Bualan terakhir aku dengan dia semasa pulang dari makan tengahari sebelum aku menghilangkan diri jelas bermain di ingatan, seolah-olah dia tahu yang aku terlibat dengan apa yang berlaku pada waktu itu.

Yusuf kemudiannya memberitahu aku apa terjadi selepas aku kena tembak tu. Dia dapat korek cerita dari beberapa orang pegawai polis yang dikenalinya dan dan juga dari apa yang diceritakan oleh Floor Manager hotel tersebut.

Menurut turutan kejadian yang Yusuf dapat tahu, ketika aku sedang bergelut dan bertumbuk dalam bilik aku tu, ada bellboy yang sedang membawa pelancong-pelancong ke bilik melintas di hadapan pintu bilik itu.

Bunyi barang-barang terhempas dan tembakan yang meledak mengejutkan pelancong-pelancong dan bellboy tersebut lalu mereka panik dan menjerit-jerit. Ketika itu ketiga-tiga penyanggak yang menyerang aku dikatakan meluru keluar mungkin ketakutan atau terkejut dengan jeritan dari luar. Mereka dilaporkan memapah rakan mereka yang aku cederakan.

Hmmdapat gak aku rasa darah salah seorang!

Tapi dah dua hari Alia hilang ni. Tak lojik kalau kehilangan Alia masih tidak dilaporkan kepada polis dan polis mengambil masa yang lama untuk menyelesaikannya.

Aku bingung sebentar…sehingga jawapannya merempuh benak aku seperti sebuah lori terbabas dan melanggar tembok - tiada siapa yang tahu Alia hilang kecuali aku dan mereka yang menculiknya. Keluarga Alia pasti ingat aku dan Alia dan terbang ke luar negara dan dalam perjalan ke destinasi kami yang tidak diketahui oleh sesiapa pun.

Aku mula merasa sangsi. Aku tidak pasti samada, jika perkara ini diberitahu kepada keluarga Alia, akan mendatangkan kebaikkan atau menambahkan masalah yang perlu aku tanggung. Sekarang ini, aku hanya perlu memberikan tumpuan pada satu perkara sahaja, iaitu, mendapatkan Alia semula.

Sekali fikir, keluarga Alia patut diberitahu…tapi...kalau difikirkan semula, mungkin tidak perlu lagi buat masa ini. Aku adalah sasaran mereka sekarang ni. Aku kena pastikan tiada orang lain terlibat. Aku tak mahu ada pihak yang memandai-mandai. Mungkin niat mereka hendak menolong tetapi mungkin juga mereka akan merumitkan keadaan.

Aku lebih senang bergerak berseorangan. Sasaran mereka adalah aku. Aku tak mahu ada orang lain campur tangan dalam hal ini.

Aku kena tangani dilemma ini berseorangan. Aku, bersama akal dan kederat aku sahaja.



Doktor Hussein datang lagi pada sebelah malamnya. Sepanjang aku sedarkan diri, dialah yang datang merawat dan membuat pemeriksaan. Ini dah masuk tiga kali dia buat pemeriksaan. Bukan buat apa pun, belek sana belek sini, check tekanan darah, suluh mata aku, ketuk lutut aku dan duduk berborak.

Aku dah bertambah segar sekarang, otot-otot aku semuanya baik, tak ada sebarang cacat cela. Kepantasan reaksi pantulan dan pergerakkan aku sudah mencapai tahap seperti dulu. Cuma kepala aku ada rasa sedikit kesakitan yang datang dan pergi akibat bengkak di belakang tengkuk aku.

Doktor Hussein agak kagum dengan jangkamasa yang aku ambil untuk pulih. Singkat sangat! Selalunya, dia mendapati pesakit-pesakit yang sedar dari koma akan berkeadaan lesu dan keliru, tapi aku lain pula. Tahap keaktifan aku serta vital signs aku semuanya dalam keadaan normal dan tidak menunjukkan tanda-tanda seperti aku telah mengalami trauma perubatan yang serious.

Penerangan yang dapat aku berikan hanyalah tahap kesihatan dan kecerdasan aku yang agak tinggi hasil dari senaman yang aku lakukan serta beberapa ubatan tradisional yang aku pernah amalkan.

Doktor Hussein pun mengaku yang darah aku kuat, tekanan darah aku stabil, degupan jantung pun normal, paru-paru aku masih lapang dan tiada sekatan. Kemungkinan besar juga aku cepat pulih disebabkab usia aku yang boleh dikatakan muda lagi. Masih at the prime!

 Di pipi kanan aku ada parut sepanjang 3 sentimeter dan agak dalam sebab daging pipi aku tu disagat keluar oleh peluru. Aku terpaksa menjalani skin graft untuk menggunakan kulit dari peha dan ditampal ke luka tersebut. Sempat aku berjenaka dengan Doktor Hussein, bertanya kenapa dia tak ambik kulit dari punggung aku, jadi sesiapa cium pipi aku samalah macam cium punggung aku. He-he-he!

“Kau boleh bernafas lagi ni pun kira syukurlah.” Kata Doktor Hussein. “Kalau peluru tu menghala satu sentimeter jer lagi ke kiri, tentu  ianya dah menjelajah ke dalam otak kau melalui belakang hidung dan mata kau tu...”

Mak ai! Berderau juga darah aku bila dia cakap macam tu. Ngeri juga mengenangkan apa yang boleh berlaku pada diriku. Aku bernasib baik peluru tu hanya mencium pipi aku sahaja dan terus melintas betul-betul di cuping telinga aku yang juga berbekas sedikit.

“…dah pasti otak kau akan berada dalam balang dan disimpan di makmal untuk menjadi bahan ujikaji.” Sambungnya. Aku anggap sebagai jenakalah, tapi dari nada suaranya, macam dia serious jer.

Disebabkan dia dah datang merawat dan memantau tahap kesihatan aku sepanjang hari, perbualan aku dengan Doktor Hussein dah guna “aku-kau” jer, tak pakai encik-encik atau tuan doktor, habis kuat aku akan memanggil dia “doc”, dia pun nampak selesa, aku pun selamba sajalah.

Aku berani bebual dengan cara ni pun kerana aku lihat Doktor Hussein macam muda lagi orangnya. Macam baru graduate tapi bila aku selidik dan bertanya, rupanya dah hampir 40 tahun juga umurnya. Awet muda tu! Entah apa vitamin dia makan. Mula-mula dia masuk aku ingatkan pelatih dari mana datang. Nasib aku tak halau dia keluar.

Abis tu, kenapa aku koma lama sangat? Bukan luka parah pun akibat tembakan tu.” Aku tanya Doktor Hussein.

“Memanglah, kecederaan dari tembakan tu memang tak serious, kira macam luka kecil je…,” Doktor Hussein mula menerangkan, “…perkara yang menyebabkan  kau koma adalah kesan hentakkan di belakang kepala kau tu…retak sedikit tempurung kepala kau dan otak kau bengkak Bila dah bengkak, perjalanan darah terhalang dan otak kau pun switch off sekejap. Bila bengkak tu dah surut dah darah mula berjalan betul, barulah otak kau berfungsi semula dan membuat kau sedar dari koma.”

“Ooohh…”

“Kau tahu ke benda apa yang menghentak kepala kau tu?”

“Kerusi!”

“Kepala kau ni jenis kepala batu agaknya ni..ha-ha..” Doktor Hussein ketawa kecil, “aku rasa kalau kepala orang biasa, mau dah terbelah!”

Banyaklah kau ni doc!!”

Selepas Doktor Hussein selesai menjalankan tugasnya, aku pergi mandi untuk menyegarkan diri. Sedap terasa satu badan bila dah kena air. Betullah kata Pakcik Lamin, air ni bagai baja untuk badan kita, mesti kena mandi, kalau tak, lesu seluruh badan. Bila otot-otat berasa segar, baru sedap nak tidur.

Aku keluar jer dari bilik air, si Yusuf dah tercongok dalam bilik aku tu. Cantek!

Memang aku nak mintak tolong dari dia pun. Dia memang dah janji nak datang malam ni sebelum aku tidur dan aku pun suruh dia balik rumah tengok anak bini. Tak pasal-pasal dia bercakaran pula dengan isterinya nanti kerana aku.

“Suf, tak boleh jadi macam ni, kau kena usahakan supaya aku boleh keluar dari sini, aku kena carik Alia, tulong Suf!” aku merayu kat Yusuf yang sedang duduk di atas kerusi yang ada di sebelah katil aku.

“Kau dah gila atau dah hilang akal, As!? Kau tu lemah lagi, apa kau boleh buat? Biarlah polis yang handle benda ni, mereka lagi pakar dari kau.” Yusuf membalas.

Sengaja aku sorok fakta dari Yusuf yang pihak polis tidak akan handle perkara ni sebab seorang pegawai polis dari Bukit Aman telah datang lewat petang tadi untuk mengambil kenyataan dari aku dan bertanyakan samada aku nak buat sebarang laporan atau pengaduan.

Aku cakap, “leave it be la Tuan”, sebab aku dah beransur pulih dan pihak hotel tu pun enggan buat lapuran polis. Bila aku tanya bagaimana dia tahu aku dah sedar dari koma dan begitu cepat pihak polis sampai, ASP tu memberitahu yang Doktor Hussein yang melaporkan bagi pihak hospital kerana kes aku termasuk dalam kes jenayah.

ASP tu pun kata memandangkan tiada laporan dan pengaduan, tiada kematian dan tiada kecurian, kes terpaksa ditutup.

Lantaklah!!, nak tutup atau nak buang, aku sendiri akan menyelesaikan perkara ini. Ini antara aku ngan Harith.

“Aku dah sihat ni! Kau jangan risau pasal aku sangat, aku tahu keadaan diri aku.” Aku tukar strategi pula. Memang sukar untuk Yusuf menolong aku untuk keluar dari hospital ni, aku sendiri kena uruskan.

“Aku tahu kau dah sihat tapi, pada pandangan aku, biarlah perkara ni disiasat oleh pihak polis.” Yusuf masih mempertahankan hujahnya supaya perkara ni diuruskan oleh pihak polis.

Hmm….perlukah aku bagi tahu si Yusuf yang pihak polis dah cuci tangan tentang perkara ni? Tak perlu kut! Aku dah banyak susahkan dia, cukup sudah pertolongan yang dia berikan.

“Okeylah, camni…esok kau tolong cari apartment untuk aku. Aku akan minta discharge samada doktor bagi atau tidak!”

“Kau biar betul As!” Yusuf masih berkeras. Tidak mahu berganjak dengan keputusannya supaya aku membiarkan perkara ini diuruskan oleh pihak polis.

“…dan Suf, thanks for not telling this to my brothers and sisters.” Aku cuba alih perhatian dia pula, kasi sejuk hatinya,

No sweat la As, aku kenal kau bukan sehari dua, aku taulah nak cover benda ni semua…mulanya aku risau juga kalau-kalau kau tak bangun terus, tapi, doktor kata keadaan kau stabil dan tak dalam bahaya, so aku decide to wait and see, dan nampaknya kau dah semakin sembuh, Alhamdullillah.”

“Bukan apa Suf, aku cuma risaukan mak aku kat kampung tu sahaja, kalaulah dia tahu apa terjadi, i don’t think she can handle it, memandangkan usia dia tu. Terima kasih bebanyak Suf”

“Aku faham, jangan risau As, cuma satu aku minta dari kau, bila perkara ni dah settle, kau bawalah Alia jumpa bakal mak mertua dia tu” ujar Yusuf dengan senyuman penuh erti.

“Aku janji Suf, aku janji! Tapi, kau tolonglah aku. Soal keluar dari sini, biar aku uruskan, aku tahu apa nak buat. Kau tolong cari apartment untuk aku jer, okey!”

Yerlah!...Yerlah!” Akhirnya Yusuf termakan juga pujuk rayuku.

Yusuf tahu aku dilanda rasa bersalah dalam situasi ni. Aku cuai dan kecuaian aku menyebabkan Alia berada dalam kesusahan. Mungkin ini yang membuat Yusuf bersetuju menolong aku dan menerima hakikat aku perlu keluar dari hospital dengan kadar segera.

Aku dan Yusuf meneruskan perbualan sehingga lewat malam. Aku banyak bertanya tentang Encik Hashim dan juga tentang Harith. Yusuf tahu bahawa Harith adalah orang yang bertanggunjawab dalam kemelut ini. Memang tiada orang lain, namun tidak banyak maklumat yang dapat diberikan kerana dia pun tidak mengenali Harith dengan rapat.

Tak mengapa! Aku sendiri akan mencari jalan untuk menyelesaikan perkara ni. Segala maklumat yang aku perlukan ada diluar sana. Aku hanya perlu mencarinya. Aku yang bertanggungjawab terhadap apa yang terjadi dan semestinya akulah yang harus memperbetulkan keadaan.


Yusuf pulang setelah malam bertambah lewat dan aku mendapati amat sukar untuk tidur di kamar yang sunyi tu. Hatiku gusar, tidak tenteram namun akhirnya aku terlena juga dengan penuh tekad dan azam mendapatkan Alia semula, dengan apa cara pun!