Thursday, May 7, 2015

MASIHKAH ADA ALIA - Part 3, Chapter 33

Dan berdiri depan aku, seorang lelaki muka macam lanun.

Belum sempat aku memberitahu yang dia salah bilik, penumbuk dia dah sampai, aku tak sempat nak tepis atau mengelak. Aku alpa dan leka seketika kerana kerisauan pada Alia membuat aku tidak memberikan tumpuan kepada bahaya yang datang. Tersungkur juga aku di tepi meja. Mamat tu melangkah masuk.

Aku pantas bangun dan terlihat di belakang mamat tu ada dua orang lagi penyangak. Tiga lawan satu! Sukar tapi tidak mustahil. Mungkin payah sikit sebab bilik hotel ni agak kecil, pergerakkan aku terhad.

Ni pasti kerja Harith!

Ingatan aku terus kepada Alia. Apa yang mereka telah buat padanya. Alia seorang sahaja yang tahu dimana kami menginap di Kuala Lumpur. Nama yang digunakan untuk mendaftar juga bukan nama betul. Pasti Alia sudah ditangan mereka! Tiada cara lain untuk maklumat ni diketahui. Darah aku terus mendidih. Kenapalah Harith tidak ada sama mereka bertiga ni, sedap sikit aku nak belasah!

Mamat pertama tu cuba nak terajang aku, aku tepis, tangan aku mencapai sebuah tablelamp yang berada di situ dan aku hempuk mamat tu. Berderai lampu meja tu di kepala mamat tu.

Saat tu juga, salah seorang dari mereka menghentak aku dari belakang dengan kerusi.

Hentaman itu membuat aku terlanggar dinding. Aku terasa darah panas mengalir di bahagian belakang kepala aku. Aku gagahkan juga semangat dan aku tidak hiraukan kesakitan yang aku rasai.

Aku berpaling dan mamat ke tiga tu sudah mengeluarkan pistol dan mengacu ke arah aku. Aku kerah segala tenaga aku dan aku terkam kearahnya.

Aku genggam tangannya yang memegang pistol tu. Kuat dia melawan dan lagi kuat aku memulas tangannya itu.

Ada tangan pula sedang memegang dan menekan bahuku dari belakang. Aku biarkan, aku tahan kesakitan yang aku rasa. Perhatianku tertumpu pada tangan yang memegang pistol yang sekarang ini tepat diacukan di mukaku!

Tidak! Not like this!

Aku tak rela menemui ajal dalam keadaan begini…jauh dari Alia!

Tekanan di belakang aku makin kuat, aku makin terdesak. Tangan aku makin tidak berdaya memegang dan menghalang pergerakkan mamat yang memegang pistol tu. Hanya satu cara sahaja yang tinggal. Aku pusingkan badan dengan sekuat tenaga yang ada. Kedua-dua penyanggak yang menyerang aku pun turut beralih arah dan hilang imbangan.

Dalam kekalutan tu, belum sempat aku membuat tindakan selanjutnya, pistol tu meledak dengan desingan yang memekakkan telinga aku.

Kemudian, aku nampak diriku jatuh.

Aku nampak diriku longlai kelemahan dan jatuh tersembab di bucu katil.

Aku nampak titisan darahku yang menyembur keluar.


Akhirnya, aku tak nampak dan tak mendengar apa-apa lagi melainkan jeritan yang hanya bergema di dalam diriku melaungkan Allahuakbar... 

No comments: