Friday, May 8, 2015

MASIHKAH ADA ALIA - Part 4, Chapter 38

First yang aku beli di The Mall adalah handphone baru dan juga talian baru.

Aku perlu nombor baru untuk berhubungan dengan contact-contact aku bagi membolehkan nombor biasa aku bebas, mana tahu Alia membuat panggilan atau ada panggilan meminta tebusan atau apa-apa panggilan pun. Aku pasti telefon yang aku gunakan sudah menerima puluhan miss call.

Kemudian aku ke kedai stationery, aku beli letter opener, aku pilih yang berat dan tebal. Bermata tajam dan runcing, sepanjang 6 inci dan diperbuat dari besi saduran. Pemegangnya solid, sedap dalam gengaman aku. Imbangannya serata dan kalau dibaling pasti tepat ke sasaran. Sekarang aku dah bersenjata.

Aku masukkan dalam sarung kulit yang datang bersamanya. Jalan bawa pisau salah beb, polis boleh tangkap lu, tapi bawa letter opener masih boleh dipertikaikan lagi (ni bukan pakcik aku ajar, ni member-member seperjahatan dulu yang kasi idea).

Dari situ, aku jalan ke Jalan Tunku Abdul Rahman, menyelinap ke kawasan pasar Chow Kit. Dah lama aku tak menjengah kawasan tu. Tapi aku masih ingat di situ ada sebuah kedai Sinseh.

Di tengah-tengah kemajuan di sekitar kawasan tersebut, yang hampir mengabui mata aku, kedai tu tetap di situ dan tetap berkeadaan lusuh sepertimana yang aku ingat. Dari jauh aku terhidu bau yang aku kenal.

Aku berdiri di hadapan kedai tu. Aku perhatikan ukiran kayu yang bermotifkan tulisan Cina di atas ambang pintu kedai tersebut. Masih seperti dulu juga. Aku melangkah masuk dan aku terpaku seketika. Taukeh kedai tersebut adalah orang yang sama dalam imbasan memori aku belasan tahun yang lalu dan dia sedang duduk di tempat yang sama juga sepertimana yang aku ingat. Macam kembali ke zaman silam pula.

Taukeh tu tak perasan kehadiran aku. Dia sedang tunduk membaca akhbar berbahasa Cina di belakang kaunter. Rambutnya yang putih dan kawasan botak di tengah kepalanya tu mengingatkan aku kepada gaya rambut ala Hulk Hogan. Aku memang cam sungguh gaya tu sejak pertama kali Pakcik Lamin membawaku ke kedai ni.

Taiko aaa...” Aku jerit ke arahnya untuk menarik perhatiannya.

Taukeh tu mengangkat muka untuk melihat aku.

“Taukeh, kasi sama saya ini barang…” dan aku senaraikan beberapa ramuan dalam bahasa Cina yang aku tahu.

Terkejut taukeh tu tengok aku, atas bawah dia tenung. Macam tak percaya saja dengan apa yang aku sebut. Aku pun kurang pasti apa benda yang aku minta tu, aku main hafal saja apa yang Pakcik Lamin aku selalu sebut.

Haiyaaalu ka tu Lamin?”

“Bukan laaa taukeh, itu wa punya pakcik la.”

Nama pakcik aku pula yang dia sebut. Mungkin sebab pakcik aku seorang saja yang selalu guna ramuan yang aku sebutkan tu dan mungkin mereka kawan lama agaknya.

Iyaka? LoorMana dia sikalang, lama wa tatak nampak?”

“Ada kampung sana.” Aku temberang, Pakcik Lamin aku dah lama jadi arwah, malas aku nak explain, nanti panjang pula cerita, aku nak pendekkan saja lawatan aku ni.

Eh! Lu punya muka apa pasat?” Tanya apek tu sebaik sahaja renungan matanya yang mengimbas wajahku menemui kesan kecederaan.

Tarak apa pasat la taukeh, wa jatuh motor saja

Okeh, okeh lornanti sikit jam, itu balang lu mau lalam simpan, lu sini tunggu. Sulah lama olang tarak mintak ini balanglu punya pakcik dulu satu olang saja sulalu mintakhaiyatunggu haa!”
Taukeh tu hilang dari pandangan aku menuju ke arah belakang kedai tu. Mungkin ke stor simpanan bahan-bahan dan ubat-ubatan agaknya. Aku dah terbayang terdapatnya pelbagai benda-benda ganjil dalam stor kedai tu…dinosaur pun ada kut, kambing bertanduk tiga, ular berbulu seperti biri-biri dan banyak lagi binatang-binatang mitos yang muncul dalam ingatan aku.

Fai ti lai taukehhhh!!”aku jerit.

Dalam lima minit lebih juga baru taukeh tu muncul bersama beberapa kotak yang agak lusuh. Dia pun memulakan kerja, menimbang, menyukat, mencincang dan menumbuk ramuan-ramuan yang diambil dari kotak-kotak yang dibawa tadi. Ada yang macam kulit kayu, akar tumbuhan, rumpair laut, cendawan, bunga kering dan sesuatu yang kelihatan seperti cengkerang kura-kura. Betul ke tak ramuan yang apek ni bancuh! Jadi mutant pula aku nanti! Setelah selesai, ramuan tu dijadikan 6 timbunan kecil.

Tetiba dia berhenti dan aku tengok dahi dia berkerut kerut macam tengah memikirkan masalah matematik yang complex.

Soli, soli, wa lupa la, ini balang sulah lama olang talak mintak...”

Lepas tu baru dia teruskan, agaknya lepas teringat semula formula yang perlu digunakan. Taukeh tu mengambil serbuk seakan tepung dan tiga jenis minyak pelbagai warna dan digaulkan dengan timbunan tadi lalu membentuk butiran butiran kecil sebesar buah ceri. Yang menariknya, kesemua 24 butiran kecil yang terbentuk sama besar, tere apek ni. Memang kaki gentel ni! Butiran tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam plastik kecil dan dibungkus dengan kertas.

Lu tau machiam mana mau pakai ini obat ka?” Taukeh tu mengajukan pertanyaan padaku apabila menyerahkan bungkusan tersebut. Seolah-olah tidak yakin yang aku tahu apa yang aku minta.

Wa tau taukeh, pakcik wa sudah ajar.”

Okeh, wa kasi ingat…Lu musti minum air banyak kalu makan ini obat tau, jangan lupa …”

Tarak lupa la taukeh! Musti ingat punya. Berapa?”

Taukeh tu pun mengeluarkan sempoa dari laci dan mula membuat mengira. Kelatak-keletik bunyi sempoa tu. Laju betul jari-jarinya.

Empat ratus ringgit terbang! Cehh! Entah apa yang mahal sangat ramuan-ramuan yang ada dalam ubat tu! Ada air mata ikan duyung agaknya!

Dulu Pakcik Lamin beli dalam seratus ringgit saja, tapi tu dululah, masa taukeh tu naik Vespa lagi, tapi sekarang taukeh tu mungkin dah pakai BMW ke, Merz ke, tentu belanja dia pun dah naik, jadi kena la naikkan harga barangan jualannya.


Aku genggam erat bungkusan yang aku terima dan terus keluar dari kedai sinseh tu.

No comments: