Friday, May 8, 2015

MASIHKAH ADA ALIA - Part 4, Chapter 35

Aku cuba bangun tapi terhalang oleh kesakitan yang meledak dibelakang kepala aku. Aduhhh!! Aku kembali terbaring. Tangan aku pula terasa bagai dicucuk besi panas…arghh!!...jarum I.V. drip yang mengalirkan cecair ke dalam tubuhku tu amatlah halus tapi aku rasakan bagai sebesar paku yang telah diketuk menembusi lenganku.

Aku dapat merasakan tangan memegang bahuku dan dengan perlahan memujuk supaya aku kembali baring. Mata aku masih kabur lagi dan bila kekaburan itu berlalu, objek pertama yang aku nampak adalah muka si Yusuf. Laju otak aku memproses data tu dan memadankan muka tu dengan nama Yusuf dan SGE. Confirm otak aku tiada mengalami kerosakan yang kronik!

Aku senyum sebagai pengakuan yang aku mengenalinya. Aku melihat mulutnya kumat-kamit tengah berkata sesuatu dan dalam beberapa detik baru aku dapat tangkap dan fahami yang dia sedang melafazkan “Alhamdullillah” tidak henti-henti. Sudah sah sekarang yang otak aku dah mencapai efficiency mutlak.

Kemudian, dalam keadaan terbaring tu aku memalingkan muka ke arah pintu dan memerhatikan seorang doktor dan beberapa orang jururawat meluru masuk. Berdentam-dentum bunyi pintu, bunyi meja dan kerusi berlanggar bila doktor dan jururawat yang bertugas kelam-kabut berlari mendapatkan aku. Yusuf pula disuruh keluar.

“Alia mana, Suf…!!?? Alia mana…??” Aku berteriak sepenuh hati pada Yusuf. Aku rasa aku berteriak, menjerit dengan kuat tapi tak tahulah samada ada suara aku keluar atau tidak dari kerongkong aku.

Dalam kesibukkan para doktor dan jururawat membuat pemeriksaan pada diriku, kesemuanya kembali kepada aku. Segala memori dan segala kejadian yang berlaku ke atas diriku. Aku risaukan Alia. Alia pasti dalam kesusahan dan aku terlantar di sini tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantunya. Aku rasa begitu lemah, tak guna hidup, tak guna jadi lelaki macam ni kalau tak dapat membantu Alia.

Aku tercari-cari mana Yusuf yang seakan-akan telah hilang begitu saja. Aku perlu kehadirannya. Aku perlu pertolongan darinya. Doktor dan jururawat masih melakukan sesuatu pada badanku, belek sana belek sini. Aku rasa nak halau je mereka keluar tapi aku perlukan mereka, aku perlu pulih, aku perlu sihat dan kembali kuat kerana Alia perlukan aku.

Dari saat singgahnya penumbuk yang dihayunkan oleh penyanggak yang aku sangka tersalah bilik, sudah terdetik di dalam hatiku yang Alia dalam bahaya dan memerlukan aku. Mereka dah dapat Alia kerana Alia sahaja yang tahu di mana kami berada, hotel mana dan bilik mana. Tiada orang lain yang tahu.

Kini aku perlukan kekuatan, kesihatan dan kewarasan aku semula. Aku perlukan segala kemahiran yang ada, segala ilmu yang aku pelajari dan juga segala kepintaran dalam diriku.

Tapi, buat masa ni, biar orang lain tolong aku dulu, biar doktor dan jururawat, yang aku rasa menyibuk je, membetulkan apa yang tak betul dengan badan aku ni.

No comments: