Friday, May 8, 2015

MASIHKAH ADA ALIA - Part 4, Chapter 36

“Alia belum dijumpai lagi!?” Berdesing soalan aku dalam kamar hospital tu.

Aku rasa nak baling saja dulang di depan aku yang ada bekas berisi bubur nasi yang tawar tu. Aku rasa aku dah buat pesanan makanan penuh protin untuk memberi aku tenaga dan kekuatan tapi yang sampai lain pulak! Terus hilang selera aku dan ditambah lagi dengan kehilangan Alia, lagilah bertambah kerunsingan aku, lagilah aku tak lalu makan.

Masuk dua hari aku berada di hospital termasuk duapuluh empat jam yang aku dalam keadaan koma, tak sedar diri antara hidup atau mati. Sepanjang masa aku koma, Yusuf dan Rizman dan kekadang Ina bergilir-gilir menemani aku. Tapi selalunya Yusuflah, dia yang paling rapat dengan aku.

Dalam sehari yang aku sedar ni, aku sempat luahkan pada Yusuf dari A sampai Z  tentang apa yang terjadi. Yusuf tak menunjukkan sebarang tanda dia terkejut dengan apa yang aku ceritakan.

Aku dah agak dah!” Itulah apa yang dia beritahu aku.

Macam dia perli aku je. Bualan terakhir aku dengan dia semasa pulang dari makan tengahari sebelum aku menghilangkan diri jelas bermain di ingatan, seolah-olah dia tahu yang aku terlibat dengan apa yang berlaku pada waktu itu.

Yusuf kemudiannya memberitahu aku apa terjadi selepas aku kena tembak tu. Dia dapat korek cerita dari beberapa orang pegawai polis yang dikenalinya dan dan juga dari apa yang diceritakan oleh Floor Manager hotel tersebut.

Menurut turutan kejadian yang Yusuf dapat tahu, ketika aku sedang bergelut dan bertumbuk dalam bilik aku tu, ada bellboy yang sedang membawa pelancong-pelancong ke bilik melintas di hadapan pintu bilik itu.

Bunyi barang-barang terhempas dan tembakan yang meledak mengejutkan pelancong-pelancong dan bellboy tersebut lalu mereka panik dan menjerit-jerit. Ketika itu ketiga-tiga penyanggak yang menyerang aku dikatakan meluru keluar mungkin ketakutan atau terkejut dengan jeritan dari luar. Mereka dilaporkan memapah rakan mereka yang aku cederakan.

Hmmdapat gak aku rasa darah salah seorang!

Tapi dah dua hari Alia hilang ni. Tak lojik kalau kehilangan Alia masih tidak dilaporkan kepada polis dan polis mengambil masa yang lama untuk menyelesaikannya.

Aku bingung sebentar…sehingga jawapannya merempuh benak aku seperti sebuah lori terbabas dan melanggar tembok - tiada siapa yang tahu Alia hilang kecuali aku dan mereka yang menculiknya. Keluarga Alia pasti ingat aku dan Alia dan terbang ke luar negara dan dalam perjalan ke destinasi kami yang tidak diketahui oleh sesiapa pun.

Aku mula merasa sangsi. Aku tidak pasti samada, jika perkara ini diberitahu kepada keluarga Alia, akan mendatangkan kebaikkan atau menambahkan masalah yang perlu aku tanggung. Sekarang ini, aku hanya perlu memberikan tumpuan pada satu perkara sahaja, iaitu, mendapatkan Alia semula.

Sekali fikir, keluarga Alia patut diberitahu…tapi...kalau difikirkan semula, mungkin tidak perlu lagi buat masa ini. Aku adalah sasaran mereka sekarang ni. Aku kena pastikan tiada orang lain terlibat. Aku tak mahu ada pihak yang memandai-mandai. Mungkin niat mereka hendak menolong tetapi mungkin juga mereka akan merumitkan keadaan.

Aku lebih senang bergerak berseorangan. Sasaran mereka adalah aku. Aku tak mahu ada orang lain campur tangan dalam hal ini.

Aku kena tangani dilemma ini berseorangan. Aku, bersama akal dan kederat aku sahaja.



Doktor Hussein datang lagi pada sebelah malamnya. Sepanjang aku sedarkan diri, dialah yang datang merawat dan membuat pemeriksaan. Ini dah masuk tiga kali dia buat pemeriksaan. Bukan buat apa pun, belek sana belek sini, check tekanan darah, suluh mata aku, ketuk lutut aku dan duduk berborak.

Aku dah bertambah segar sekarang, otot-otot aku semuanya baik, tak ada sebarang cacat cela. Kepantasan reaksi pantulan dan pergerakkan aku sudah mencapai tahap seperti dulu. Cuma kepala aku ada rasa sedikit kesakitan yang datang dan pergi akibat bengkak di belakang tengkuk aku.

Doktor Hussein agak kagum dengan jangkamasa yang aku ambil untuk pulih. Singkat sangat! Selalunya, dia mendapati pesakit-pesakit yang sedar dari koma akan berkeadaan lesu dan keliru, tapi aku lain pula. Tahap keaktifan aku serta vital signs aku semuanya dalam keadaan normal dan tidak menunjukkan tanda-tanda seperti aku telah mengalami trauma perubatan yang serious.

Penerangan yang dapat aku berikan hanyalah tahap kesihatan dan kecerdasan aku yang agak tinggi hasil dari senaman yang aku lakukan serta beberapa ubatan tradisional yang aku pernah amalkan.

Doktor Hussein pun mengaku yang darah aku kuat, tekanan darah aku stabil, degupan jantung pun normal, paru-paru aku masih lapang dan tiada sekatan. Kemungkinan besar juga aku cepat pulih disebabkab usia aku yang boleh dikatakan muda lagi. Masih at the prime!

 Di pipi kanan aku ada parut sepanjang 3 sentimeter dan agak dalam sebab daging pipi aku tu disagat keluar oleh peluru. Aku terpaksa menjalani skin graft untuk menggunakan kulit dari peha dan ditampal ke luka tersebut. Sempat aku berjenaka dengan Doktor Hussein, bertanya kenapa dia tak ambik kulit dari punggung aku, jadi sesiapa cium pipi aku samalah macam cium punggung aku. He-he-he!

“Kau boleh bernafas lagi ni pun kira syukurlah.” Kata Doktor Hussein. “Kalau peluru tu menghala satu sentimeter jer lagi ke kiri, tentu  ianya dah menjelajah ke dalam otak kau melalui belakang hidung dan mata kau tu...”

Mak ai! Berderau juga darah aku bila dia cakap macam tu. Ngeri juga mengenangkan apa yang boleh berlaku pada diriku. Aku bernasib baik peluru tu hanya mencium pipi aku sahaja dan terus melintas betul-betul di cuping telinga aku yang juga berbekas sedikit.

“…dah pasti otak kau akan berada dalam balang dan disimpan di makmal untuk menjadi bahan ujikaji.” Sambungnya. Aku anggap sebagai jenakalah, tapi dari nada suaranya, macam dia serious jer.

Disebabkan dia dah datang merawat dan memantau tahap kesihatan aku sepanjang hari, perbualan aku dengan Doktor Hussein dah guna “aku-kau” jer, tak pakai encik-encik atau tuan doktor, habis kuat aku akan memanggil dia “doc”, dia pun nampak selesa, aku pun selamba sajalah.

Aku berani bebual dengan cara ni pun kerana aku lihat Doktor Hussein macam muda lagi orangnya. Macam baru graduate tapi bila aku selidik dan bertanya, rupanya dah hampir 40 tahun juga umurnya. Awet muda tu! Entah apa vitamin dia makan. Mula-mula dia masuk aku ingatkan pelatih dari mana datang. Nasib aku tak halau dia keluar.

Abis tu, kenapa aku koma lama sangat? Bukan luka parah pun akibat tembakan tu.” Aku tanya Doktor Hussein.

“Memanglah, kecederaan dari tembakan tu memang tak serious, kira macam luka kecil je…,” Doktor Hussein mula menerangkan, “…perkara yang menyebabkan  kau koma adalah kesan hentakkan di belakang kepala kau tu…retak sedikit tempurung kepala kau dan otak kau bengkak Bila dah bengkak, perjalanan darah terhalang dan otak kau pun switch off sekejap. Bila bengkak tu dah surut dah darah mula berjalan betul, barulah otak kau berfungsi semula dan membuat kau sedar dari koma.”

“Ooohh…”

“Kau tahu ke benda apa yang menghentak kepala kau tu?”

“Kerusi!”

“Kepala kau ni jenis kepala batu agaknya ni..ha-ha..” Doktor Hussein ketawa kecil, “aku rasa kalau kepala orang biasa, mau dah terbelah!”

Banyaklah kau ni doc!!”

Selepas Doktor Hussein selesai menjalankan tugasnya, aku pergi mandi untuk menyegarkan diri. Sedap terasa satu badan bila dah kena air. Betullah kata Pakcik Lamin, air ni bagai baja untuk badan kita, mesti kena mandi, kalau tak, lesu seluruh badan. Bila otot-otat berasa segar, baru sedap nak tidur.

Aku keluar jer dari bilik air, si Yusuf dah tercongok dalam bilik aku tu. Cantek!

Memang aku nak mintak tolong dari dia pun. Dia memang dah janji nak datang malam ni sebelum aku tidur dan aku pun suruh dia balik rumah tengok anak bini. Tak pasal-pasal dia bercakaran pula dengan isterinya nanti kerana aku.

“Suf, tak boleh jadi macam ni, kau kena usahakan supaya aku boleh keluar dari sini, aku kena carik Alia, tulong Suf!” aku merayu kat Yusuf yang sedang duduk di atas kerusi yang ada di sebelah katil aku.

“Kau dah gila atau dah hilang akal, As!? Kau tu lemah lagi, apa kau boleh buat? Biarlah polis yang handle benda ni, mereka lagi pakar dari kau.” Yusuf membalas.

Sengaja aku sorok fakta dari Yusuf yang pihak polis tidak akan handle perkara ni sebab seorang pegawai polis dari Bukit Aman telah datang lewat petang tadi untuk mengambil kenyataan dari aku dan bertanyakan samada aku nak buat sebarang laporan atau pengaduan.

Aku cakap, “leave it be la Tuan”, sebab aku dah beransur pulih dan pihak hotel tu pun enggan buat lapuran polis. Bila aku tanya bagaimana dia tahu aku dah sedar dari koma dan begitu cepat pihak polis sampai, ASP tu memberitahu yang Doktor Hussein yang melaporkan bagi pihak hospital kerana kes aku termasuk dalam kes jenayah.

ASP tu pun kata memandangkan tiada laporan dan pengaduan, tiada kematian dan tiada kecurian, kes terpaksa ditutup.

Lantaklah!!, nak tutup atau nak buang, aku sendiri akan menyelesaikan perkara ini. Ini antara aku ngan Harith.

“Aku dah sihat ni! Kau jangan risau pasal aku sangat, aku tahu keadaan diri aku.” Aku tukar strategi pula. Memang sukar untuk Yusuf menolong aku untuk keluar dari hospital ni, aku sendiri kena uruskan.

“Aku tahu kau dah sihat tapi, pada pandangan aku, biarlah perkara ni disiasat oleh pihak polis.” Yusuf masih mempertahankan hujahnya supaya perkara ni diuruskan oleh pihak polis.

Hmm….perlukah aku bagi tahu si Yusuf yang pihak polis dah cuci tangan tentang perkara ni? Tak perlu kut! Aku dah banyak susahkan dia, cukup sudah pertolongan yang dia berikan.

“Okeylah, camni…esok kau tolong cari apartment untuk aku. Aku akan minta discharge samada doktor bagi atau tidak!”

“Kau biar betul As!” Yusuf masih berkeras. Tidak mahu berganjak dengan keputusannya supaya aku membiarkan perkara ini diuruskan oleh pihak polis.

“…dan Suf, thanks for not telling this to my brothers and sisters.” Aku cuba alih perhatian dia pula, kasi sejuk hatinya,

No sweat la As, aku kenal kau bukan sehari dua, aku taulah nak cover benda ni semua…mulanya aku risau juga kalau-kalau kau tak bangun terus, tapi, doktor kata keadaan kau stabil dan tak dalam bahaya, so aku decide to wait and see, dan nampaknya kau dah semakin sembuh, Alhamdullillah.”

“Bukan apa Suf, aku cuma risaukan mak aku kat kampung tu sahaja, kalaulah dia tahu apa terjadi, i don’t think she can handle it, memandangkan usia dia tu. Terima kasih bebanyak Suf”

“Aku faham, jangan risau As, cuma satu aku minta dari kau, bila perkara ni dah settle, kau bawalah Alia jumpa bakal mak mertua dia tu” ujar Yusuf dengan senyuman penuh erti.

“Aku janji Suf, aku janji! Tapi, kau tolonglah aku. Soal keluar dari sini, biar aku uruskan, aku tahu apa nak buat. Kau tolong cari apartment untuk aku jer, okey!”

Yerlah!...Yerlah!” Akhirnya Yusuf termakan juga pujuk rayuku.

Yusuf tahu aku dilanda rasa bersalah dalam situasi ni. Aku cuai dan kecuaian aku menyebabkan Alia berada dalam kesusahan. Mungkin ini yang membuat Yusuf bersetuju menolong aku dan menerima hakikat aku perlu keluar dari hospital dengan kadar segera.

Aku dan Yusuf meneruskan perbualan sehingga lewat malam. Aku banyak bertanya tentang Encik Hashim dan juga tentang Harith. Yusuf tahu bahawa Harith adalah orang yang bertanggunjawab dalam kemelut ini. Memang tiada orang lain, namun tidak banyak maklumat yang dapat diberikan kerana dia pun tidak mengenali Harith dengan rapat.

Tak mengapa! Aku sendiri akan mencari jalan untuk menyelesaikan perkara ni. Segala maklumat yang aku perlukan ada diluar sana. Aku hanya perlu mencarinya. Aku yang bertanggungjawab terhadap apa yang terjadi dan semestinya akulah yang harus memperbetulkan keadaan.


Yusuf pulang setelah malam bertambah lewat dan aku mendapati amat sukar untuk tidur di kamar yang sunyi tu. Hatiku gusar, tidak tenteram namun akhirnya aku terlena juga dengan penuh tekad dan azam mendapatkan Alia semula, dengan apa cara pun!

No comments: