Friday, May 8, 2015

MASIHKAH ADA ALIA - Part 4, Chapter 39

Aku kembali berjalan ke arah The Mall.

Hari dah semakin gelap, hampir nak malam. Sambil berjalan aku beli air mineral dan aku telan sebiji ubat yang baru aku beli tadi. Aku habiskan air dalam botol tadi kerana teringatkan pesan taukeh ubat tu.

Sambil berjalan tu, ingatan aku kembali kepada arwah Pakcik Lamin. Dia adalah abang sulong mak aku dan dia yang mengajar aku dalam ilmu mempertahankan diri. Pakcik Lamin boleh dikatakan jaguh dalam tomoi dan juga handal bermain pisau. Keting kaki dia, punyalah keras, ketuk dengan besi pun dia tak rasa apa. Dialah yang melatih aku dalam seni tomoi ni, hampir tiap tiap hari, dari aku umur 10 tahun.

Sejak aku kecil Pakcik Lamin suka bercerita kepada aku tentang pengalamannya. Aku tertarik dengan cerita-ceritanya. Kisah dia bergaduh, selamatkan anak dara orang, kisah dia mengembara dan bertemu pelbagai perkara dan insiden yang aneh. Pakcik Lamin aku anggap macam Indiana Jones ketika itu.

Cerita-ceritanya memang menarik dan yang paling aku gemar adalah cerita-cerita mistiknya. Ada juga yang tak masuk akal tapi kat kampung aku tu kalau ada budak-budak kena rasuk atau meracau-racau, Pakcik Laminlah yang orang kampung selalu panggil. Selalunya dia nasihatkan bawa ke hospital dan bila begini aku rasa macam anti-klimaks jer. Tapi ada juga masa yang dia akan minta beberapa perkara seperti kemiyan dan sebagainya. Bila macam ni, aku teruja.

Depan mata aku sendiri aku pernah saksikan bagaimana dia mengubat orang kena rasuk. Ish!, macam tak percaya, tapi benda-benda halus dan ghaib ni memang ujud. Terpulanglah kepada penerimaan masing-masing.

Aku juga selalu pasang telinga kalau dia dan pemuda-pemuda kampung (termasuk abang-abang aku) duduk berkumpul. Pelbagai cerita yang aku dengar. Nak kata dia temberang, ramai yang mengesahkan bahawa ilmunya memang tinggi dan apa yang dia cerita, dia boleh buat.

Dia juga tidak kedekut ilmu. Ramai rakan-rakan yang sebaya dengan abang-abang aku yang menuntut dengannya. Tiga orang abang aku juga merupakan anak muridnya. Tak hairanlah, aku juga mula mengikuti apa yang Pakcik Lamin ajarkan. Abang-abang aku pada mulanya melarang tapi aku degilkan diri, aku keraskan hati. Aku ikut juga. Akhirnya, dorang tak kisah dengan kehadiran aku.

Dari aku sekolah rendah lagi sudah memulakan latihan tapi yang ringan dahulu, hingga aku naik sekolah menengah, makin berat latihan latihan yang diberikan, hampir tahap penderaan.

Aku bermula dengan mengetuk keting kaki aku dengan serai, sebatang pada awalnya sehingga hancur. Makin tahun meningkat makin banyak batang serai aku gunakan hingga tahap secekak (mak aku punyalah mengamuk bila rumpun serai dia tanam habis aku kerjakan).

Lepas tu baru graduate ke batang pisang, kemudian tu punching bag (karung guni sebenarnya) berisi pasir, lepas tu kayu beloti berbalut kain guni dan last sekali, batang pokok kelapa yang mengerutu tu.

Bukan nak tunjuk tere la atau cakap besar, tapi pada tahap kemuncak diri aku dengan berbekalkan ilmu yang aku pelajari, kayu beloti 4 inci kali 2 inci tu boleh la patah dengan keting aku. Kalau aku bermain bolasepak pula, ramai kawan-kawan yang mengetahui tak berani tackle aku atau rebut bola 50-50 dengan aku. Mereka tahu kalau berlaga dengan keting aku, mereka yang akan dipapah keluar walhal aku tak rasa apa pun.

Ada juga masa yang aku rasa aku memang jaguh, aku kuat, tapi bila aku mula nak riak, salah seorang abang aku atau anak murid Pakcik Lamin yang lain, yang lebih jaguh dari aku akan mengingatkan aku, secara lembut dan juga secara kasar, bahawa jangan lupa diri dan jangan gunakan ilmu yang ada untuk kepentingan diri sendiri.

Sukar juga untuk aku menerimanya tapi akhirnya aku pelajari nasihat tersebut dengan cara yang menyakitkan. Aku dibelasah oleh seorang budak yang lebih kecil susuk badannya dari aku. Budak dari Siam yang tinggal di kampung yang berdekatan. Berpunca dari perselisihan di padang bola dan terbawa ke luar padang.

Aku tersilap cabar kerana marah sangat akibat kalah dalam perlawanan. Budak yang sahut cabaran aku tu kecil je, aku siap gelak lagi. Aku ingat memang aku boleh makan budak tu tapi pergerakkan dia memang licik, laju dan pantas. Aku tersilap langkah. Aku yang kena belasah petang tu. Tiba di rumah, kena lagi pelempang dengan abang aku dan juga tarbiyah yang panjang lebar. Baru aku tahu, saiz bukan ukuran. Baru aku pelajari, diam ubi berisi dan baru aku faham, resmi padi makin berisi makin tunduk.

Mulai hari itu, aku menjadi berhati-hati. Aku belajar kawal kemarahan aku dan yang paling penting, kawal perasaan bongkak dan riak di dalam diri.

Bila aku pulang dari luar negeri selepas habis belajar dan sebelum aku berhijrah ke Kuala Lumpur, aku sempat dapatkan saki-baki ilmu dari Pakcik Lamin, sebelum dia meninggal dunia beberapa bulan selepas itu. Ketika tu aku rasa umur dia dah lebih sembilan puluh tahun, tapi masih gagah, tak berkaca mata dan tak bertongkat pun bila berjalan ke sana kemari.

Banyak juga ilmu yang aku mintak tapi Pakcik Lamin hanya gelak sahaja. Dia cuma bagi ilmu yang dia yakin aku dapat kawal dan gunakan untuk kebaikkan. Yang lain-lain tu aku tak dapat kerana dia tahu aku tak mampu mengendalikannya dan dia takut aku tersalah bawak. Macamlah aku ni jahat sangat tapi memang jahat pun masa tu.

Bila aku merantau ke Kuala Lumpur dan masa aku jahat, aku terus mengamalkan latihan-latihan dan senaman-senaman yang aku pelajari walau tidak sekerap yang patut, hanya bila ada masa terluang sahaja. Tapi kerana kemahiran yang ada, aku tak gentar berhadapan dengan sesiapa pun. Memang aku yakin dengan diri aku dan kerana skill-skill yang telah diperlajari tak hilang, termasuk beberapa teknik-teknik kebatinan. Kederat sahaja kadang-kadang tidak mencukupi. Cuma aku kawal diri aku untuk mengeluarkan apa yang ada untuk mempertahankan diri sahaja. Aku takkan mulakan pergaduhan. 


Bila aku kerja di SGE, aku mula malas untuk berlatih dan bersenam. Sekali-sekala tu adalah aku praktikkan balik serba sedikit. Itupun kerana kesihatan bukan latihan dari segi mempertahankan diri lagi. Aku sangka dah tamatlah episod pertarungan dan pergaduhan dalam hidupku. Lebih-lebih lagi aku dah tinggalkan bidang mempertahankan diri ni agak lama juga. Tapi sekarang ni aku amat memerlukan semula ilmu-ilmu yang Pakcik Lamin telah turunkan pada aku.

No comments: