Friday, May 8, 2015

MASIHKAH ADA ALIA - Part 4, Chapter 37

Pagi-pagi lagi aku dah bersiap. Dah masuk tiga hari aku di hospital ni, banyak masa dah terbuang. Lagi lama aku berdiam diri, lagi bahaya keadaan Alia. Aku tahu, orang-orang yang menculik Alia tidak akan menunggu sampai bila-bila. Habis kuat pun seminggu. Lepas tu…ish…takut aku memikirkan apa tindakan mereka selanjutnya.

Aku kemas aku apa yang patut dan aku terus pergi ke pejabat pentadbiran hospital tu. Tepat jam sembilan pagi aku berjumpa pentadbir hospital tersebut yang baru saja duduk di kerusinya, tak sempat panas pun. Aku lihat name tag yang terpapar di atas kocek kemejanya yang berwarna putih tu - “MURUGAN”. Dia agak terpinga-pinga melihat aku. Terkejut agaknya aku berdiri depannya sedangkan dua hari lalu aku terkujur atas katil.

Aku menyampaikan hajat yang terbuku di hati pada Encik Murugan dengan tenang dan jelas. Aku nak keluar. Dia geleng kepala. Macam susah sangat nak faham apa yang aku minta. Encik Murugan kemudiannya menggunakan telefon yang terletak di atas meja. Pantas jari-jarinya menekan butang. Aku perhatikan sahaja sambil memasang telinga.

Encik Murugan meminta aku tunggu sebentar. Aku pun tunggu. Melangok depannya. Tak sampai beberapa detik, seorang wanita dalam lingkungan usia empat puluhan melangkah mendekati meja di mana aku dan Encik Murugan berada. Dari pakaian seragamnya yang berwarna biru muda, aku dah agak, pasti Ketua Jururawat! Tu dia! Tergamam juga aku sebentar melihatnya. Kembar Yusni Jaafar! Sasa sungguh susuk badannya. Dia berjalan dengan teratur. Mukanya agak serious sambil mengepit papan carta di bawah tangannya.

“Encik Asmara…” Lembut suara yang terpacul. Macam bukan keluar dari mulut dia pula. “Betul ke nak minta discharge hari ni juga?” Dia meneruskan kata sambil berdiri di depanku. Sebelah tangan memegang carta dan sebelah lagi mencekak pinggang. Comelnya cara dia berdiri.

“Betul kak..eh..misi…eh..matron…” Aku konfius nak panggil dia ni apa. Bukan apa, konsentrasi aku terganggu oleh tahi lalat yang terletak di pipi kanannya, sebaris dengan hujung hidungnya. Besar pula tu.

“Tapi encik baru sahaja sedar dari koma.” Tambah Ketua Jururawat tu sambil membelek carta di tangannya yang merekodkan perkembangan aku sepanjang aku di sini.

“Bukankah elok tinggal dalam sehari dua lagi, hingga dah betul-betul sembuh.” Pujuknya lagi.

“Saya dah sihat ni. Kecederaan saya pun tidaklah parah sangat. Saya rasa Doktor Hussein boleh confirm yang saya dah okey, dia yang datang rawat saya hari-hari.”

“Doktor Hussein tak ada hari ni. Nanti saya panggil doktor yang bertugas. Kes encik ni tak boleh main lepas macam ni saja. Nanti pihak hospital pula yang akan bertanggung jawab jika berlaku apa-apa.”

Ketua Jururawat tu berjalan meninggalkan aku dan Encik Murugan tanpa menoleh kebelakang. Macam marah je cara dia cakap tu. Aku tak sempat nak tengok siapa namanya.

Betul ke hospital ni begitu mengambil perhatian atas kesihatan dan keadaan aku ataupun mahu mengelak dari sebarang saman jika terjadi apa-apa padaku kalau aku dibenarkan keluar. Satu lagi kemungkinan ialah, jika aku tinggal beberapa hari lagi, pasti bayaran yang mereka akan dapat dariku juga bertambah.

Hampir tengahari juga aku berjaya meloloskan diri. Macam nak keluar dari penjara pula. Menunggu doktor yang bertugas pun hampir dua jam. Ketua Jururawat tu setiap setengah jam datang meminta maaf kerana membuat aku menunggu lama. Tak terbilang berapa kali dia dan Encik Murugan mempelawa aku untuk menunggu di bilik tapi aku enggan. Bilik tu mengingatkan aku kepada kesakitan, untuk orang sakit, aku dah sihat, aku tak sakit, jadi aku tak perlukan bilik tu.

Akhirnya doktor bertugas datang juga. Seorang doktor wanita. Dia pun terus membelek carta kesihatan aku. Aku lihat dia sekejap geleng kepala, sekejap angguk. Entah apa agaknya yang dia faham dari carta tersebut. Aku malas nak tanya. Apa yang aku perlukan adalah dia memberikan kebenaran untuk aku keluar.

Aku tak pernah menandatangan begitu banyak borang sebelum ni. Inilah kali pertama aku tandatangan pelbagai borang. Tak kisah, janji aku dapat bebaskan diri aku. Aku bayar bil hospital yang hampir mencecah sepuluh ribu ringgit, nasib wallet aku tak hilang. Time-time macam inilah, kad kredit aku rasa amat berguna sekali.

Aku tak risau kalau duit kena kebas atau kad kredit aku hilang. Soal kecil bagiku, tapi cincin yang aku beli untuk Alia tu yang lebih bermakna. Cincin itulah yang menjadi penyambung semangat aku. Cincin itulah yang mula-mula aku cari bila wallet aku diserahkan padaku tempuh hari.




Keluar sahaja aku dari hospital, aku mengambil teksi ke SGE untuk menemui Yusuf. Dia telah berjaya mendapatkan tempat aku menginap untuk sementara. Sebuah apartment yang dia dah sewa untuk aku, terletak di belakang The Mall. Cantik juga, 1 bilik dan fully furnished. Aku tak kisah sangat tentang perkakas atau peralatan rumah, sofa atau katil, yang penting aku ada tempat berteduh, berehat dan berfikir. Bagi aku tidur atas simen pun tak jadi masalah.

Yusuf menemani aku di apartment tu sehingga dia lihat aku dah settle down. Setelah Yusuf meninggalkan aku berseorangan, aku mula mengkaji barang-barang aku dan Alia dari hotel yang telah Yusuf bawa ke apartment tu. Susah payah Yusuf mengemas dan membawa kesemuanya.

Banyak betul jasanya kepada aku, tak tahu macam mana aku nak balas. Nantilah aku fikirkan, buat masa ni, biar Allah sahaja yang membalasnya. Sekarang masa untuk aku merangka strategi bagi mendapatkan Alia semula.

Aku yakin Alia masih di dalam negeri lagi sebab passport Alia dan aku serta berberapa barang berharga dan dokumen penting masih tersimpan di dalam peti keselamatan di hotel tempat kami menginap. Aku sorang sahaja yang ada kuasa untuk access peti tu.

Banyak persoalan yang perlu aku fikirkan. Banyak benda yang aku perlu beli, terutamanya berkaitan dengan keadaan tubuh aku. Aku terlihat bungkusan yang berisi ubat-ubatan dari hospital.

Loya tekak aku. Entah apa jenis kimia yang terkandung dalam setiap jenis ubat tu. Aku tak yakin sangat dengan bahan kimia buatan manusia ni. Untuk demam-demam biasa tu bolehlah telan panadol ke apa ke, tapi untuk tubuh aku, urat-urat aku dan darah aku, aku lebih yakin dengan persedian herba. Natural ingredients! Asal dari tanah dan diproses oleh tumbuhan. Semula jadi dan beratus kali lebih berkhasiat dari bahan-bahan kimia ciptaan manusia.

Dengan perlahan aku mengemas semula barangan Alia. Aku lipat baju-bajunya satu-persatu dan aku simpan rapi. Setiap helai yang aku pegang mengingatkan aku saat-saat kami bersama. Setiap helai menggamit memori yang berlainan, membawa cerita yang dapat aku bayangkan seolah-olah aku berada pada saat dan ketika ianya berlaku. Sebak dadaku. Aku rindu pada Alia!

Tak tahan rasanya aku berjauhan dengan Alia sebegini, dengan aku tak tahu keadaan diri dia. Sihat ke, luka ke, makan ke? Arrggh!! Tersentap setiap urat dalam badanku memikirkan kut-kut ada tangan-tangan durjana menyentuh Alia. Memang aku kerat-kerat tangan mereka tu kalau terdapat walau sehelai pun roma Alia yang tercela.

Setelah selesai berkemas, aku pun bersiap. Aku recharge bateri handphone aku yang dah lama mati. Aku biarkan saja di apartment.

Hari sudah semakin petang bila aku mula mengorak langkah. Ada beberapa benda yang perlu aku beli untuk mempersiapkan diri aku. Destinasi pertama adalah kompleks The Mall yang bersebelahan dengan apartment aku ni.


Harith! You want a war, you’ll get one hell of a war.

No comments: