Wednesday, January 8, 2014

MASIHKAH ADA ALIA - Part 1, Chapter 4

dewi seri bayu
gundah gelana mengenangkanmu
suram kelam dada kelabu
ilham bicara kian syahdu
adakah daku seorang merindu
mengail kasih di lubuk pilu
mendamba sayang di gurun jemu

Puisi itu terus mengisi ruang benak aku secara automatic apabila aku memasuki pejabat dan duduk menghadap komputer sekembalinya dari bersarapan dengan Ina dan Rizman tadi. Dewi Seri Bayu, hmm, siapalah agaknya yang dipuja-puja oleh penulis puisi ini.

Aku tak kisah sangat tentang identiti Dewi Seri Bayu ni. Perkara yang lebih penting dan yang mendatangan kesan adalah rangkap-rangkap dalam puisi tu. Seperti dicipta khas untuk aku. Kebetulan atau karma? Atau Qada’ dan Qadar agaknya. Arrgghh! Kenapa hati aku tak ketentuan begini?

Aku terasa bagai ada tangan yang tak kelihatan yang sedang mengemudikan perjalan diri aku. Sudah dua hari aku berperasaan begini. Sejak semalam, ketika aku melayari internet untuk tujuan penyelidikan, jejari aku terasa bergerak sendiri, bagai dikawal oleh sesuatu untuk terus melawat laman web di mana terdapatnya puisi itu.

Selalunya aku tidak membazir masa untuk membaca puisi-puisi jiwang sebegitu tetapi lain pula yang berlaku semalam, aku hayati setiap baris, setiap perkataan. Siap hafal lagi. Aku pun hairan dengan tindakan aku tu.

It’s probably the rain.

Aku cuba menenangkan diriku. Memberikan alasan pada diri sendiri kenapa aku berperasaan seperti ini. Walaupun hujan awal pagi tadi dah lama berhenti.

Jam dinding di bilik pejabatku menunjukkan waktu sudah hampir 11.27 pagi. 

Jam berbentuk kapal layar yang aku beli kira kira tiga tahun lalu, sewaktu aku mula mula bertugas di SGE. Kapal Layar. Aku tergelak mengenangkan justifikasi aku memilih bentuk kapal layar. Berhijrah kononnya. Macam orang dulu-dulu pergi Haji, naik kapal.

Tapi ada betulnya. Aku berhijrah dari kehidupan yang terumbang-ambing kepada sebuah kehidupan yang teratur dengan kerjaya yang stabil. Secara fizikal aku stabil tapi dari segi emotional, masih tak stabil lagi. Masih hebat ingatan dan kenangan pada Alia. Itulah sebab aku menjerumuskan diri dalam kerjaya aku sebanyak 110%. Aku tidak mahu ada sedikit ruang pun di benak untuk perkara lain selain dari kerja. Kerja, kerja dan kerja!

Siapakah agaknya pegawai yang baru ni. Cantik sangat ke sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh Ina dan Rizman?

Otak aku dah mula bekerja lebih masa. Lebih dari apa yang sepatutnya ia lakukan. Sebahagian dari diriku yang rasional berhujah bahawa aku tak sepatutnya berangan-angan atau membuat spekulasi tak tentu hala kerana ini adalah pembaziran masa dan tenaga…tapi…seperti manusia lain, sebahagian dari diriku ada perasaan ingin tahu.

Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk pergi sahaja ke pejabat Encik Hashim dan bertemu dengan pegawai baru itu. Apa yang akan terjadi selepas itu, aku terima sajalah.

Let’s get this over and done with!

Aku bangun sambil membetulkan tali leher dan terus menuju ke  pejabat Encik Hashim, yang terletak selang tiga bilik dari pejabatku.

“Selamat pagi Encik Asmara,” Apai, pekerja penghantar cepat yang baru pulang dari pejabat pos, menegur aku apabila kami berselisih di antara barisan meja-meja warga kerja di pejabat tu.

Hey! Apai. Pagi! Wah!, banyak surat ni, Pai….kalau awak jumpa surat hutang untuk saya, awak buang jer, okey?”

No problem, Encik Asmara,” balas Apai disertai dengan tawa kecilnya.

Aku meneruskan langkah ke bilik Encik Hashim, melepasi ruang pejabat, terbentang deretan kubikel para kerani dan eksekutif bertugas. Aku atur langkah dengan segaknya agar nampak kemas dan presentable nanti dan aku mencuba beberapa mimik muka untuk mempamerkan ketenangan walau hatiku ada sedikit berdebar, entah kenapa.

Aku melangkah masuk ke pejabat Encik Hashim dan disambut dengan isyarat tangan sahaja oleh Kak Rozi, yang sedang berbicara di telefon. Dia menyuruh aku masuk terus kerana kedatangan aku memang ditunggu.

Aku terus mengetuk daun pintu bilik Encik Hashim yang sentiasa terbuka sepanjang waktu pejabat. Open door concept, kata Encik Hashim.

“Selamat pagi Encik Hashim….” seperti biasa aku memulakan bicara apabila melangkah masuk ke biliknya

Asmara, masuk, come, come, silakan duduk di sofa tu, lebih selesa kita meneruskan perbualan di situ,” pelawa Encik Hashim sambil menunding jarinya ke arah sofa tamu yang berhadapan mejanya.

Sofa kegemarannya. Sudah kebiasaan Encik Hashim berbincang dengan rakan niaga atau pelanggan di sofa tersebut.

Sudah tak terbilang berapa banyak transaksi perniagaan, persetujuan dasar dan juga perjanjian-perjanjian usahasama yang telah dipersetujui di situ. “Ada ong!” Kata Encik Hashim bila ditanya kenapa tak ditukar sahaja sofa yang agak out of date tu kepada model sofa yang lebih moden.

Aku berjalan ke sofa tersebut sambil memerhatikan seorang wanita yang sedang duduk berhadapan Encik Hashim dan membelakangkan aku. Dari sudut pandangan aku, gaya dan penampilannya tampak menarik.

Umm, vogue juga minah ni. Mungkin betul apa yang di kata Ina dan Rizman tadi, lawa pegawai baru ni.” bisik hatiku.

“Okey, mari I kenalkan you dengan Encik Asmara, orang penting dalam syarikat ini dan bakal menjadi rakan sekerja awak,” Encik Hashim mengajukan bicara ke arah wanita yang duduk tu dan menjemputnya ke sofa tempat aku berada.

Wanita itu pun segera mengambil beg tangannya, yang diletakkan di atas lantai di tepi kerusi dan terus mengepit beg itu di lengannya. Sambil berdiri, dia pun terus berpaling ke arahku.

Aku terus tergamam.

Hatiku terus berdebar.

Jantungku terlepas beberapa degupan dan lutut aku mejadi lembik.


Oh my God!”

Tuesday, January 7, 2014

MASIHKAH ADA ALIA - Part 1, Chapter 3

Aku kembali ke bilikku dan meletakkan fail-fail dan presentation materials atas meja.

Waktu baru pukul 10.45 pagi. Pembentangan kepada deligasi MODESA tu bermula jam 9.00 pagi dan berakhir 10.30 pagi. Nasib tiada soalan-soalan yang aku tak dapat jawab.

Tapi aku tidak berserah sepenuhnya pada nasib, aku memang telah membuat persedian dengan terperinci.

Setiap sudut yang boleh mendatangkan kekaburan telah aku kenalpasti terlebih dahulu dan aku sediakan jawapannya. Tak hairanlah segala kemusykilan mereka dapat aku huraikan dan aku jelaskan. Ahhh...tere juga aku yer…aku tertawa sendirian di dalam hati.

Aku terasa lapar betul, tak sempat sarapan tadi.

Aku keluar dari bilik dan berjalan laju menuju ke lif. Melepasi ruang tetamu SGE. Ayu yang sedang sibuk melayan panggilan, sempat mengangkat tangan kepada ku.

Lawa juga Ayu ni, bertudung, putih orangnya dan mempunyai complexion muka yang licin. Redup juga mata memandang dan senyumannya pun manis, infectious, boleh membuat aku tersenyum sama kadang-kala.

Aku hanya mengangguk dan melemparkan senyuman padanya sebagai tanda penerimaan lambaiannya. Jauh di hati, terasa seakan Ayu ada menyimpan rasa terhadap aku. Atau mungkin aku yang perasan. Entahlah. Aku malas nak membuat spekulasi.

Yo, As!!  Y0 !! Tunggulah kejap!”

Aku menoleh ke arah suara yang memanggil aku. Yusuf melambai menyuruh aku menunggunya.

How was the presentation?” Ayat pertama dari Yusuf ketika dia tiba hampir padaku.

Aku leretkan kad kerja di alat pengesan dan terus membuka pintu bila isyarat berbunyi. Yusuf turut keluar mengekori aku.

 Yusuf Fadli, kawan pejabat yang paling rapat dengan aku. Sampai peringkat aku dah menganggap dia macam abang aku sendiri. Yusuflah yang membawa aku masuk ke SGE ni. Nasihat dan kata-kata perangsang dari Yusuf berjaya menjinakkan jiwa aku yang liar, menyalurkan semangat dan kreativiti aku ke arah yang lebih membina.

Aku mengenali Yusuf di meja snooker. Yusuf merupakan kawan kepada salah seorang ahli kumpulan tarik kereta yang aku sertai. Kami bertarung one by one. Main biasa-biasa saja pada mulanya, tapi hampir bergaduh dan hampir bertumbuk juga lama kelamaan tu. Mana boleh tahan asyik aku jer kena sau kiu

Selepas kali pertama tu, aku dan Yusuf terus menjadi sahabat. Aku pun dah lupa kenapa aku boleh jadi rapat dengannya. Mungkin aku menghormati kehebatannya bermain snooker dan aku nak berguru dengan dia. Dari situ, aku dan Yusuf bertemu di meja snooker hampir setiap minggu. Dari pertemuan kami hampir setiap minggu tu, aku tidak menyedari yang dia membuat analisa terhadap diri. Sedikit demi sedikit dia membaca perwatakkan aku.

Yusuf seorang sahaja yang nampak kewibawaan aku dan berjaya membuat kesimpulan bahawa aku ni graduan luar negara. Dia nampak diri aku yang sebenar disebalik topeng garang yang aku pakai. Di sebalik imej macho dan samseng yang aku tampilkan, Yusuf nampak cahaya kecerdasan aku walau tidak pernah sekali pun aku sebut tahap pelajaranku.

Rebellious youth – gelaran yang Yusuf bagi pada aku.

Tepat sekali gelaran itu. Memang aku rebel, memang aku sedang memberontak. Bukan dengan orang lain tapi dengan diriku sendiri.

Ketika aku mula berguru dengan Yusuf dalam permainan snooker, aku telahpun mula sedar bahawa pelbagai kerja jahat serta remeh yang aku lakukan tidak menjamin masa depan.

Aku telah tiba di persimpangan jalan dan perlu memilih kerjaya yang lebih baik. Aku mula merasai yang aku harus menamatkan era karier aku sebagai tukang tarik kereta dan bouncer. Aku tidak dapat apa-apa yang bermakna kerana apa yang aku dapat hanya adalah keseronokkan sementara. Sampai bila aku nak pukul orang dan, yang pasti, satu hari nanti, aku akan bertemu dengan orang yang lebih hebat, lebih tinggi ilmunya dari aku dan pastinya, aku pulak yang kena belasah. Ish....taklah nak aku!

Secara perlahan Yusuf memujuk aku. Banyak kali juga aku dan Yusuf berdebat hebat, hingga tak bertegur sapa. Iyalah, bukan senang nak buang tabiat yang tak elok. Aku masih ada rasa sangsi, rasa rugi dan rasa sayang nak tinggalkan kerja jahat tu. Kuat betul setan yang bergayut pada aku, menghasut dan membisikkan kata-kata dan perkara-perkara yang membawa ke arah kesesatan. Namun Yusuf tak pernah putus asa dan akhirnya, aku sedar dengan sendiri kebenaran hujah-hujah Yusuf.

Selalunya bila selesai bertikam lidah, aku akan angkat kaki macam tu jer. Aku buntu kerana perasaan aku bercelaru. Hati aku akan berperang dengan pilihan.

Di satu pihak kerja-kerja jahat yang aku dah tak suka manakala di pihak yang lain, untuk memulakan kerja baru, aku tak yakin, aku takut gagal.

Ketika saat begini, Yusuf akan membiarkan aku sendirian. Dia tak akan call atau hubungi aku dengan apa cara pun kerana selalunya aku yang akan mencari dia untuk mendapatkan nasihat dan panduan. Meja snooker menjadi tempat pertemuan dan perbincangan.

Yusuf memang pandai membuat aku rasa bersalah. Semuanya untuk membuat aku berfirkir dan memilih jalan yang betul. Dia selalu ingatkan aku kepada emak aku di kampung. Secara perlahan dia cucuk aku dengan mengimbaskan gambaran betapa hancurnya hati emak aku nanti kalau dia tahu aku buat kerja yang tak senonoh ni.

Macam dah tiada kerja lain kat KL ini. Dengan kelulusan aku yang tinggi, takkanlah aku tak boleh cari kerja yang elok! Buat malu nama baik keluarga aku saja nanti! Betapa beratnya beban yang akan aku letakkan pada emak dan keluarga aku jika apa-apa terjadi pada aku. Kalau aku seorang jer yang susah takpe, ini adik beradik aku, mak aku pun akan terbabit dan nama arwah bapak aku pun akan tercemar sama!

Tapi yang paling buat aku tersedar adalah bila Yusuf mengatakan aku sedang menjadi contoh yang buruk kepada anak buah-anak buah aku yang ramai tu dan kemungkinan besar, anak-anak aku sendiri pada satu masa nanti. Sanggupkah aku melihat salah seorang dari mereka mengikut jejak aku. Cair jugak aku!

Hampir setiap minggu bila ada saja sesi snooker dengan aku, Yusuf akan mula menjalankan kempennya. Hujah-hujahnya makin lama makin aku fahami dan aku terima. Hatiku makin tawar untuk memberontak, tidak seperti dulu.

Akhirnya, aku betul-betul sedar dan insaf.

Aku menghantar resume aku kepada Yusuf untuk dipertimbangkan oleh SGE. Yusuf sendiri yang mengolah dan menokok tambah resume aku supaya nampak cantik dan mantap. Aku rasa dia juga yang menyakinkan Pengurus Sumber Manusia SGE untuk memberikan peluang kepada aku. Setelah 2 kali temuduga di SGE, aku memulakan hidup baru tidak lama selepas itu. Aku sendiri tidak menyangka yang aku akan dapat menyesuaikan diri dalam bidang koprat dengan begitu mudah.

Macam itik dicampak ke air.

Setelah lebih setahun berkhidmat dengan SGE barulah Yusuf memberitahu bahawa dia beriya-iya menolong aku keluar dari kerjaya gelap aku tu adalah disebabkan dia pernah kehilangan adik kandungnya yang telah menceburi bidang yang aku tinggalkan tu. Yusuf melihat sendiri betapa hancur hati ibu bapanya dan dia rasa bersalah jika tidak menolong aku. Baginya, kejayaan membawa aku keluar dari kerja-kerja gila tu sedikit sebanyak telah mengubat luka kehilangan adik kandungnya.

As usual la Suf, aku cuma buat yang terbaik, kalau berjaya, maka rezeki SGElah, rezeki kita juga kan?” Jawabku ringkas pada Yusuf.

“Sudahlah kau, As!, merendah diri pula, ha-ha-ha, aku dah tau, budak-budak Project Team dah cakap dengan aku, mat-saleh tu very impressed dengan kertas kerja kau tu.”

Aku menekan butang lif untuk ke bawah, sambil tersenyum.

Memang Yusuf pandai baca kerektor aku. Susah nak sorok apa-apa dari dia. Ya lah, umur dia pun dah lebih 40 tahun, dah matang tapi masih lagi ligat dan masih sifu snooker aku.

“Suf, kita minum dulu kat kantin, aku belanja!”

Next time, okey? Aku ada hal sikit kat Finance.”

“Okey!”

Pantas Yusuf berlalu apabila pintu lif terbuka. Aku melangkah masuk. Tingkat bawah menjadi destinasi aku. Okestra perutku dah pun bermula.



"Abang!, nescafe tarik macam biasa, ya!" Aku menunjuk isyarat tangan kepada pelayan kantin bila aku tiba di gerai biasa tempat aku minum pagi.

Aku terus duduk di sebelah Ina dan Rizman, antara kawan sepejabat yang agak rapat dengan aku dan secara kebetulan sedang sarapan juga. Aku ambil nasi lemak yang berbungkus kertas akhbar dan daun pisang di dalamnya. Sejuk. Aku balun juga, lapar punya pasal

"Asmara, kau dah jumpa pegawai baru kita?” tanya Rizman.

Rizman Rahman adalah seorang yang suka berjenaka. Muda lagi, baru 24 tahun. Orangnya sederhana saja, kulit kuning langsat, rambut lurus dan pakai spek. Aku senang bergaul dengan Rizman dan selalu juga aku dapatkan pertolongan darinya untuk kerja-kerja aku, terutama berkaitan dengan research dan juga data retrieval. Cuma satu saja perangai dia yang aku kurang gemar, iaitu, kalau berjanji, kena tambah 30 minit lagi dari masa yang ditetapkan. Hampeh mamat sorang ni! Tapi kualiti kerja amat memuaskan, itu pasal orang tutup mata sebelah saja bab dia selalu lewat.

"Belum. Pukul 11.30 pagi kejap lagi. Boss dan juga Kak Rozi dah beberapa kali remind aku.” ringkas jawapan aku sambil aku menyuapkan nasi ke mulut.

Laa!....Ketua Jabatan yang lain-lain dah jumpa dah pegawai baru ni, kau sorang saja yang belum jumpa. Kenapa ya?” Rizman menempelak aku. Ish! mamat ni, ada gak kena sekeh dengan aku ni!

Dorang tu ketua jabatan, semua pangkat GM-GM belaka, aku ni siapa!...dol!...Mestilah dorang dulu. Lagi pun aku ada presentation tadi.”

“Cantik tau!” Ina mencelah, “Ada can kau!”

Ina pula kerani di SGE. Roslina Deris. Anak Pak Deris kami selalu mengajuknya. Dah berumur 33 tahun dan mempunyai 2 orang anak. Suaminya seorang pegawai polis yang banyak menolong aku, Rizman dan Yusuf jika kami ada saman yang perlu dibayar. Aku menganggap Ina sebagai kakak. Kadang-kadang aku ada juga minta nasihat dan pandangannya sebagai seorang wanita.

“Ish…!, merepeklah kau ni, Ina! Kau jangan nak buat perangai cam makcik-makcik stampede yang lenlain tu. Keypoh tul la”.

Eh, tolong skit yer, aku bukan stampede, tak penah aku berkejar-kejar kalau ada sale kat mana-mana shopping complex yer!” Ina membalas, marah betul dia kalau aku gelar dia makcik stampede.

Ouh, tau pun marah, dah tu yang kau kecoh sangat kenapa?!”

Ala…Buat-buat malu pulak, anak teruna ni…!” sampuk si Rizman pula, sambil menjuihkan bibir kepadaku. Macamlah dia tu bukan teruna dan macamlah dia tu tua dari aku! Anak dia panggil aku. Macam dia pangkat bapak-bapak pula.

Aku diamkan saja gurauan mereka. Aku hanya senyum.

Begitulah gelagat aku, Ina dan Rizman dan kadang-kala Yusuf, setiap kali berjumpa. Kami bagai satu “clique” di SGE. Walau kami ada bergaul dan berkawan dengan warga kerja yang lain, kami berempat amat rapat dan selesa sesama sendiri. Macam adik-beradik.

Namun, hanya Yusuf saja yang betul-betul mengenali aku dan Yusuf juga tahu serba sedikit tentang kisah aku dan Alia. Pernah aku ceritakan padanya apabila aku tak dapat membendung perasaan.

Korang ni boleh diam sekejap tak, aku nak makan ni, kang bila aku dah jumpa pegawai baru tu, aku buat laporan lengkap pada korang, lawa ke, cantik ke, ayu ke, jelita ke…okey?!,” aku dah geram, nak makan pun susah, sibuk sangat Ina dan Rizman pasal pegawai yang baru nak masuk nanti.

“As, aku dengar dia masih single tau….” Ina masih menyakat aku sambil melepaskan hilai ketawa yang menggelikan tekak aku. “Kalau kau nak merisik ke, apa ke, jangan segan-segan bagi tahu aku tau! Kalau nak meminang nanti, aku boleh tolong gubah barang-barang hantaran.…” Tambah Ina disertai dengan hilai ketawanya. Bingit telinga aku! Mentang-mentanglah dia ahli persatuan isteri-isteri polis, ada ke nak test skill mengubah yang dia pelajari pada aku. Cheh!

“Tadi kau merepek, sekarang kau dah melalut, kejap lagi ke laut agaknya.…amender ler….lagipun, apa kena-mengena dengan aku samada dia single ke, double ke, triple ke?” Suara aku dah mula tinggi.

“Alahai.…janganlah marah cik abang oi!” Ina mencebek.

Nyesal pula aku tinggikan suara.

“Entahlah kau ni As!, kita orang gurau jer.…tapi....kalau jadi, best juga, lama tak makan nasi minyak ni.…ha-ha-ha….” gelak Rizman di sahut oleh Ina dan riuh rendahlah tempat duduk kami tu.

Lahabau si Rizman ni, sempat kenakan aku.

Tapi mereka ni tak tahu bahawa pintu hatiku ini masih tertutup rapat dan belum bersedia untuk menerima sesiapa pun. Kecuali Alia.

“Aku tak marahlah! Aku geram jer. Lagi pun korang tak ingat pada kisah yang telah terjadi sebelum ni, pasal eksekutif pompuan yang Encik Hashim lantik sebelum ni? Aku rasa orang tua tu dah booking awal-awal kut! Ha-ha-ha!”

Giliran aku pula ketawa.


Tapi hati aku tetap muram.

Monday, January 6, 2014

MASIHKAH ADA ALIA - Part 1, Chapter 2

"Tahniah Asmara, hasil kerja awak cukup memuaskan!"

Encik Hashim memuji aku apabila aku bersendirian dengannya setelah kami mengucapkan terima kasih kepada delegasi MODESA kerana memberi peluang pada SGE untuk membentangkan cadangan. Aku dan Encik Hashim sama-sama mengiringi mereka ke lif untuk mengucapkan selamat tinggal.

Encik Hashim Hishamuddin, Pengarah Urusan SGE Sdn. Bhd. Juga merangkap Pengerusi Eksekutif. Boss aku. Baru berusia 51 tahun. Tegap, tegas namun adil dan juga periang dengan warga kerja SGE. Tidak ada seorang pun warga kerja, yang seramai hampir 50 orang ni, yang dia tidak kenali nama masing-masing. Dari budak pejabat sampailah ke Pengurus Besar, dia kenal dan panggil dengan nama sebenar, tak pernah “hoi” atau “what’s your name” atau “apa nama apa nama” kedengaran dari mulutnya.

Aktiviti utama SGE adalah dalam pelaburan dan juga memberikan khidmat nasihat dan perundingan kepada pelabur-pelabur asing untuk menanam modal di tempat kita ni. SGE akan mengenalpasti dan menemukan syarikat atau individu tempatan dengan pelabur asing yang mempunyai matlamat yang sama. Matchmaker atau penemu jodohlah bak kata orang kita.

Selalunya orang kita akan menyediakan tanah dan infrastruktur manakala pelabur asing akan menyediakan duit dan teknologi.  Apabila persetujuan dari kedua-dua pihak dicapai, segala kelulusan dan urusan dengan pihak berkuasa diperolehi maka perjanjian pelaburan akan dimeterai. Ada kalanya jika pelaburan yang dikenalpasti didapati akan menjanjikan pulangan lumayan, SGE akan tumpang sekaki, dengan mengambil sedikit share, 5% atau 10%. Dengan cara begini SGE akan memperolehi hasil dari dividen tahunan melalui pelaburan-pelaburan tersebut disamping mendapat ganjaran untuk khidmat nasihat yang diberikan. Kiri kanan makan!

Masa aku mula-mula masuk bertugas, memang aku respect habis pada Encik Hashim ni. Kejayaan dia pun membuat aku rasa ingin berjaya juga sepertinya. Aku membuat Encik Hashim sebagai mentor aku.

Banyak aku belajar dari dia dan aku timba ilmu dan kebolehannya. Aku pula berjaya membuat dia kagum dengan kejayaan aku menyelesaikan dan melengkapkan beberapa projek yang telah menemui jalan buntu kerana kesukaran untuk mendapatkan kelulusan dan sokongan dari jabatan-jabatan kerajaan yang tertentu.

Salah satu budaya yang negatif kat tempat kita ni adalah budaya know who. Sekarang ni, di zaman penuh persaingan, know how sahaja sudah tidak mencukupi. Banyak cara untuk menjayakan sesuatu projek dan banyak cara juga untuk melambatkan, menyukarkan serta membatalkan sesuatu projek. Hendak dengan tak hendak sahaja dan sejauh mana keupayaan untuk belok sana dan sini.

 Mana-mana projek yang menemui jalan buntu atau lambat untuk mendapat kelulusan, maka terpaksalah aku entertain secukupnya kakitangan dan pegawai-pegawai dari jabatan yang berkenaan dari atas ke bawah, gerenti approve!

Pekerja-pekerja bawahan tu senanglah aku nak tackle, tak banyak sangat belanja. Habis kuat dorang ni akan minta handphone, beg tangan, derma kepada persatuan-persatuan penduduk dan benda-benda kecik jer…tidak menjadi masalah. Tang pegawai-pegawai atasan tu yang kena keluar banyak modal. Banyak permintaan dorang ni, lagi tinggi pangkat, lagi tinggi approval authority, lagi tinggilah demand dan permintaan mereka-mereka ni. Maka, aku pun relalah di gelar “lembu” untuk disembelih. Apa boleh buat, kerja punya pasal!

Setelah hampir 3 tahun berkerja di SGE, banyak perkara tentang Encik Hashim yang aku dengar dan juga aku lihat sendiri yang telah merubah pandangan aku terhadapnya, terutama kehidupan peribadinya diluar pejabat.

Secara professional, aku dapat memahami tindak tanduk Encik Hashim sebagai Pengerusi Eksekutif. Encik Hashim mempunyai kuasa yang mutlak dalam sesuatu keputusan. Aku tahu ada 5 orang lagi Ahli Lembaga Pengarah, tapi dorang ni kenkadang untuk cukupkan korum saja bagi memulakan mesyuarat.

Selalunya, keputusan dah pun Encik Hashim buat awal-awal lagi dan Lembaga Pengarah hanya untuk mengesahkan keputusan tersebut. Belum pernah aku dengar ada Ahli Lembaga Pengarah yang membangkang apa-apa keputusan yang Encik Hashim buat.

Lantak dialah, company dia, duit dia dan risiko dia tanggung. Tapi yang tak bestnya, bila nasihat dan recommendation dari Management (termasuk recommendation dari aku) yang dia tak nak dengar, dia buat keputusan sendiri dan apabila things go wrong, siaplah kena bambu setiap orang yang bersangkut-paut. Encik Hashim takkan mengaku dia silap. Part ni kenkadang buat aku angin, bila aku yang kena bambu la. Tak pasal-pasal kena marah, walau dah terang dan jelas, dia yang memandai-mandai ubah keputusan dan nak ikut cara dia.

Lagi satu, bab-bab enjoy. Aku tak kisah sangat kalau setakat enjoy sana, enjoy sini, melanggani karaoke lounge, exclusive massage centre bertujuan untuk entertain pelanggan dan juga orang-orang penting dan atas nama untuk mendapatkan maklumat atau job dan contract. Aku boleh terima lagi dan adakalanya aku sendiri berada bersamanya.

Perkara yang membuat aku tawar hati dan hilang sedikit respect aku pada dia adalah aktiviti lawatan luar negeri untuk mesyuarat yang tak wujud bersama personal assistant yang tidak digaji oleh SGE. Part ni yang aku kurang gemar kerana kredibilitinya boleh dipersoalkan, tapi mana ada yang berani mempersoalkannya! Jadi, semua warga kerja yang tahu diamkan saja, masing-masing jaga periuk nasi sendiri!

Dan, perkara yang amat membuat aku meluat kekadang tu ialah bila dia berpesta, terus tak ingat dunia dan tak sedar diri. Kalah orang muda. Aku punyalah bersusah payah untuk menjauhkan diri dari dunia sebegitu tapi Encik Hashim macam gemar pula berenang dalam tasik kenikmatan kota metropolitan yang dihiasi tubuh-tubuh hangat, bermandikan cahaya suram disertai pula oleh aliran air nafsu yang tiada terhenti. Selagi ada duit, memanglah tak berhenti air tu mengalir! Muda-muda tak cukup enjoy agaknya dia ni!

Namun aku masih boleh dan terpaksa terima itu semua. Aku masih boleh menghormati Encik Hashim sebagai ketua aku. Tidak lebih dari itu. Apa dia buat selepas waktu pejabat adalah hak dia.

“Saya rasa delegasi tu cukup tertarik dengan strategi yang awak rangkakan itu, it’s in the bag, I can just feel it!” Berdegar-degar kata-kata Encik Hashim. Penuh semangat. Aku pun rasa bangga juga dengan kata-kata pujian tu. Kembang jugalah.

Inilah salah satu sikap Encik Hashim yang aku boleh puji. Dia pandai memberi kata-kata perangsang pada pekerjanya. Good motivator.

Dia mempunyai kepandaian dalam memberi pujian pada masa yang tepat dan dalam keadaan yang sesuai. Setiap pekerja akan berasa dihargai dan dihormati. Bab ni aku respek Encik Hashim.Tak kedekut dengan pujian jika ianya setimpal dengan result yang ditunjukkan.

I hope so Encik Hashim, semoga berjaya hendaknya, emmI have to go, ada sedikit perkara yang I nak selesaikan…” aku mula mengorak langkah untuk kembali ke pejabatku.

“Okey!, good job sekali lagi dan jangan lupa, sebelas setengah nanti, ada pegawai baru yang I personally lantik bagi mengukuhkan lagi SGE,” Encik Hashim sekali lagi mengingatkan aku. Penting sangat agaknya pegawai yang baru ni, sampai aku sudah diberi peringatan berkali-kali.

“Jangan khuatir Encik Hashim, tepat sebelas setengah saya tiba.”

Aku terus berlalu. Tak nak aku toleh lagi ke arahnya, makin panjang pula cerita nanti.

Dalam hati, aku berasa sangsi tentang perkataan “kukuh” yang digunakan oleh Encik Hashim. Lebih-lebih lagi pegawai baru tu seorang perempuan. Hmm.…

Ingatan aku terus kepada seorang eksekutif wanita yang terakhir dilantik oleh Encik Hashim lebih setahun yang lalu.  Tidak seorang pun tahu apa fungsi dia di SGE. Apa yang diketahui, dia kerap pergi trip ke luar negara dengan Encik Hashim dan setelah beberapa bulan, dia berhenti mengejut dengan memberi notis 24 jam. Banyak pertanyaan yang timbul tapi tak seorang pun yang berani menghebohkan perkara ini. Ianya dilupai begitu sahaja dan hanya timbul sekali-sekala bila ada staff yang terserempak dengan wanita tersebut bersama anak kecil. Banyak persoalan dari jawapan.

Dan sekarang, seorang lagi pegawai baru, seorang wanita!


Kita tunggu dan lihat

Thursday, January 2, 2014

MASIHKAH ADA ALIA - Part 1, Chapter 1

akan ku kalung kenangan kita berdua
lalu ku coret kata cinta
dan ku pahat madah asmara
ku sulam rindu membalutnya
ku semat kalung itu di dada
walau segunung emas di depan mata
intan permata dan harta seisi dunia
namun kalung itu ku julang jua
menjadi ikatan di antara kita

Terngiang-ngiang senikata puisi yang aku baca di Internet. Di dalam sebuah laman web yang menghimpunan koleksi penulisan dan karya yang dikirimkan oleh  para penggemar puisi dan cerpen. Aku pun tak tahu entah apa link yang aku click untuk sampai ke laman web tu. Syahdu dan sayu bunyinya. Perkara yang lebih pelik ialah aku melayan pula penulisan karya tersebut dari beribu-ribu hasil tulisan yang lain.

Tidaklah special sangat puisi tu, tapi ianya telah berjaya menambat tumpuanku dan terpahat dalam ingatanku. Aku boleh hafal line by line!

Sudah tiga hari berlalu sejak aku membacanya namun ia terus menghantui diriku. Membuat aku sayu, ditambah kedinginan pagi ini bersama hujan begitu lebat di luar dan cahaya langit yang kelam dan kelabu. Limpahan tempias memenuhi ruang di jendela pejabat aku ini. Setiap titisan hujan itu aku rasakan seolah-olah tepat mengetuk pintu kalbu dan menginjak kenangan lampau.

Kenangan aku dan Alia. Ya! Puisi tu mencetus segala memori yang aku cuba padamkan, yang aku cuba sorok jauh-jauh.

Namaku, Asmara Adriani Muhammad Alwi. Aku tak tahulah apa dalam fikiran bapak aku masa dia nak bagi nama aku tu. Mungkin kerana aku yang bungsu dan dia inginkan kelainan. Segan juga masa aku membesar nama aku jadi bahan ajukkan. Pernah aku bertanya, tapi bapak aku buat derk, dia hanya senyum mengenepikan soalan aku. Tapi bila aku semakin dewasa, aku mula menghargai keunikkan nama aku ni.

Member-member rapat memanggil aku, As, sahaja. Umurku, 27 tahun ketika ini. Gadis dalam anganku itu, Alia Abadi. Gadis yang pernah bertakhta di hatiku, gadis yang pernah menjadi permaisuri dan bidadari dalam hidupku. Sehingga dia pergi meninggalkan aku secara tiba-tiba.

Alia...di mana diri mu sekarang?

Aku berdiri merenung jauh ke luar jendela. Hujan pagi yang membuat suasana agak syahdu, mengingatkan aku tentang kenangan lama sewaktu aku menuntut di luar negeri, sama universiti dengan Alia.

akan ku susun warna pelangi
dan ku lakar dada langit
serta ku semai gugusan bintang
menjadi satu karya
menobatkan namamu
di cakerawala

Nostalgia datang bertalu-talu. Segandingan butir-butir hujan yang menimpa bumi di luar. Menyesal juga aku baca puisi tu. Sekarang dah susah pula hendak dikeluarkan dari memori.

"Kemana kau menghilang, Alia...?" 

Lima tahun telah berlalu selepas warkah terakhir yang aku terima darinya. Terus dirinya menghilang selepas itu, tanpa ucapan selamat tinggal. Tanpa pesan, tanpa belas dan ehsan. Bak embun yang lenyap tika fajar menjelang.

Lima tahun. Bukan waktu yang singkat. Namun tak sehari pun dalam lima tahun yang telah berlalu aku tidak teringatkannya.

Apa salahku?

Kenapa dia sanggup mematahkan ranting cinta yang telah berbunga. Tergamak dirimu Alia!

Cinta pertamaku, cinta agung yang tiada bandingannya. Memang sukar diri ini untuk melupakannya dan selepas Alia, tiada gadis, tiada jelita yang berjaya menakluk hati ku ini. Mungkin belum lagi.

Walau aku pernah cuba menjalinkan hubungan bersama beberapa orang gadis yang aku kenali namun tiada seorang pun yang dapat menandingi kehebatan Alia. Bukan pada paras rupa atau harta, tapi dari segi kecerdasan, perwatakkan, sopan-santun dan yang paling penting, Alia pandai berbicara dan mengeluarkan pendapatnya.

Itu yang membuat aku kagum padanya. Maaf cakaplah, kekadang tu, ramai gadis yang aku jumpa, rupa dah elok, dressing memang cun, tapi IQ - zero! Aku bukanlah nak cari gadis yang tahap genius tapi, at least, boleh layan aku borak, ada pendapat sendiri dan aku boleh duduk depan dia for an intelligent conversation. Ini tidak, bila aku buka topik agak serius atau mendalam, mulalah buat muka blank! Tesyen beb! Takkan nak cerita pasal shopping atau gosip artis-artis je memanjang!

Ramai juga rakan-rakan yang mengatakan aku ni terlalu memilih, cerewet sangat! Aku buat tak endah sahaja tentang apa yang mereka katakan. Ini soal peribadi, soal hidup aku, oleh itu aku ada hak untuk menentukan siapa yang layak untuk menerima cinta dari aku.

Komunikasi amat penting bagi aku dan aku letakkan intelligence sebagai ciri utama yang perlu ada pada seseorang gadis yang ingin aku kenali dengan lebih rapat. Kecerdasan minda penting untuk menjamin kehadiran buah fikiran yang bernas dan memberangsankan. Ini membawa kepada perhubungan dan pertukaran maklumat yang efektif atau dalam ertikata lain, komunikasi. Tiada komunikasi, macam mana nak ada perhubungan, tiada perhubungan, macam mana nak ada kemesraan, so, macam mana nak jalinkan hubungan cinta? Betul tak?!

Satu perkara yang aku telah pelajari ialah : hubungkaitnya adalah begitu mudah – communication brings understanding, understanding brings respect, respect brings trust, trust brings comfort and comfort brings love (takyah aku translatelah, korang pasti faham).

Bagiku, Alia adalah lambang kesempurnaan, keindahan ciptaan Illahi dan menjadi benchmark yang perlu dicapai oleh wanita-wanita lain jika mereka ingin mendekati dan mengenali diriku.

Setakat ini, kesemuanya tidak berjaya memenuhi kriteria yang aku tetapkan. Hmm…mungkinkah aku tersilap kerana menetapkan syarat dan terma yang terlalu ketat?

Entahlah…kadang-kadang aku bosan juga hidup bersendirian. Aku perlu teman penghibur hati, tempat bermanja dan tempat mengadu tapi pada masa yang sama, aku tidak mahu tersalah pilih dan aku takut hati aku dilukai lagi.
Susah aku nak mengimbangi di antara kehendak aku untuk mendapatkan teman hati dan rasa gerun untuk menghadapi kelukaan. Ahh…pening…pening!

Agaknya inilah yang menyebabkan aku melibatkan diri dalam kerja-kerja gila sebaik saja aku pulang ke tanah air. Aku cuba menghilangkan rinduku pada Alia; dan menyangkal kenyataan bahawa hati dan perasaan aku terhiris luka.

Bukan menyangkal atau menafikan tapi aku cuba untuk tidak memikirkan tentang soal tersebut. Aku masih rasakan sakitnya bila teringatkan apa yang aku lalui.

Bodohkah aku ni? Lemahkah aku sebagai lelaki? Masih menunggu dan mengharap sesuatu yang tiada ketentuannya?

Banyak kali aku kena sembur dengan kata-kata dan persoalan tersebut. Sakit hati juga bila digelar “bodoh” dan “lemah”. Bunga bukan sekuntum kata mereka. Cakap senang la beb. Memanglah bunga bukan sekuntum, tapi kuntuman bunga yang lain-lain tu aku tak suka, tak memenuhi citarasa aku, nak buat camna?!!

Aku mengakui bahawa perasaan rindu dan rasa sakit tu boleh dihilangkan, dilenyapkan dan dibuang jauh, namun ianya sia-sia kerana kesemua perasaan itu akan kembali menjengah, menunjukkan diri semula dan bermaustautin di hatiku apabila aku bersendirian.

Aku cuma dapat temporary relief! Begitulah yang aku rasakan kalau aku cuba merapatkan diri dan menjalinkan perhubungan dengan gadis-gadis lain, aku hanya mendapat ketenangan yang sementara sahaja. Aku tak nak benda yang sementara, aku nak yang berkekalan!

Hissh!...Get a hold of yourself Asmara!

Aku perlu memaksa diriku untuk kembali ke alam realiti bila detik-detik syahdu seperti ni datang. Waktu-waktu beginilah yang selalunya mengundang kehadiran emosi-emosi yang aku tidak inginkan. Emosi-emosi yang membuat aku resah, gundah dan tak tentu arah!

Argh…!!!

Aku tarik nafas panjang. Aku mengerling jam tanganku. 8.30 pagi. Aku sebenarnya tiada masa untuk bernostalgia tapi kenapa hari ni lamunan aku amat kuat sekali. Aku kehairanan. Mungkin disebabkan hujan pagi ni, menambah kesyahduan di hati yang memang telah dihantui puisi yang aku baca di internet tu.

Aku menekan intercom, “Ayu, bagi tahu saya sebaik saja delegasi MODESA tu tiba, okey?”

“Baik Encik As.” Pendek jawab Ayu, gadis penyambut tetamu dan merangkap telefonis SGE Sdn. Bhd.

Pejam celik, pejam celik, sedar tak sedar, sudah 3 tahun aku bertugas di SGE. Syarikat bumiputra milik penuh Encik Hashim, salah seorang dari usahawan Melayu yang boleh dikatakan berjaya.

Ingatan aku kembali lagi ke saat aku pulang ke tanah air setelah menghabiskan pengajian. Aku hidup dalam keadaan terumbang ambing. Selama dua tahun aku menghabiskan masa dan tenaga melakukan kerja-kerja gila sebelum aku insaf, kembali ke pangkal jalan dan mengambil keputusan untuk menerima tawaran kerja dari SGE.

Kerja gila pertama yang aku ceburi adalah dalam bidang tarik kereta. Ramai orang yang boleh serta mampu membeli kereta tapi tak mampu nak maintain. Hutang dan ansuran bulanan tak berbayar dan adalah menjadi tugas dan mata pencarian aku untuk mendapatkan kereta itu semula bagi pihak bank.

Kerjanya bukan mudah. Nak mencari kereta sudah satu hal, kemudian nak menghadapi kerenah pemilik yang tak bayar ansuran kereta tu, lagi satu hal. Ada yang sedih, menangis, menjerit dan ada yang garang, ganas dan berkasar.

Cara aku menangani kerenah mereka adalah mengikut tindakbalas yang aku terima, kalau mereka berlembut, aku lembut dan pada yang berkasar, aku terpaksa berkasar. Selama aku menjalankan kerja, tak pernah aku berkasar dahulu. Selalunya aku akan bermula dengan lembut. Aku akan terangkan kepada mereka tujuan aku datang serta apa yang akan aku lakukan dengan tenang dan jelas. Terpulang bagaimana mereka menerimanya.

Aku terjerumus ke dalam bidang ini pun dengan cara tak sengaja. Setelah menghadiri lebih ratusan temuduga yang berkesudahan dengan dukacita, dukacita dan dukacita, aku dah naik malas untuk pergi temuduga. Namun, entah macam mana, aku pergi juga temuduga di sebuah firma kewangan.

Seperti biasa, aku berjanji, inilah temuduga yang terakhir yang akan aku hadiri…sehingga yang berikutnya!

Keluar sahaja dari bilik temuduga tu, aku dah tahu, jawapannya nanti pasti dukacita, gerenti! Bukannya aku tergagap-gagap ketika temuduga atau tidak dapat menjawab soalan yang diajukan, tetapi, entahlah…jauh di dalam hatiku, memang aku menjangka bahawa aku tidak akan terpilih.

Tak mengapalah, aku melangkah keluar dari pejabat tu. Dah selalu sangat kecewa hingga aku dah tak rasa lagi kekecewaan dalam diriku. Dah kebas agaknya urat saraf tu!

Di luar, terdapat sedikit kekecohan. Aku pun buat-buat sibuk. Menjengah untuk mengetahui apa yang berlaku dah apa yang ku lihat membuat darahku menyirap. Seorang kakitangan firma kewangan tu sedang dibelasah oleh 3 orang lelaki. Aku tahu yang kena belasah tu adalah kakitangan kerana kad kerjanya terpampang.

Aku bukannya kaki gaduh atau suka cari pasal. Tidak juga aku suka nak tunjuk jaguh.

Tapi 3 lawan 1 beb. Memang tak adil, kerbau pun boleh tumbang. Dengan dua kali lompat aku dah sampai di tempat kejadian untuk cuba meleraikan pertelingkahan. Kesian aku lihat kakitangan yang kena pukul tu.

Niat aku baik tapi aku pula yang hampir kena belasah. Cipan betul! Nasib aku ada asas mempertahankan diri. Bukan asaslah tapi boleh kira advance jugalah. Mereka yang cuba membelasah aku pula yang kena belasah dengan aku. Alahailetih la! Aku bukan suka sangat pukul orang. Aku bukan nak tunjuk ilmu tomoi yang aku ada. Tapi dalam keadaan tertentu, bila aku rasa yang aku dalam bahaya, maka terpaksalah aku mempertahankan diri. Keluarlah juga bunga-bunga dan skill yang aku ada.

Lelaki yang aku tolong tu mengucapkan terima kasih tak terhingga pada aku. Rupanya dia pegawai di situ dan dia terus membuat tawaran kepadaku sebagai penarik kereta bagi pihak firma tersebut. Mungkin syarat utama untuk layak menjadi penarik kereta adalah kehandalan pukul orang atau paling tidak boleh mempertahankan diri.

Aku tak tahu dan tak nak selidik perkara tu sebab aku malas nak fikir panjang masa tu. Darah tengah muda, tengah menggelegak, habuan pun boleh tahan dan aku tengah tak ada kerja. Mulai hari tu, dengan rasmi, aku jadi budak tarik kereta.

Kerja tarik kereta ni bukannya senang, banyak cabaran dan banyak saingan. Aku pun bukanlah seorang saja yang dilantik oleh firma kewangan tu sebagai kontraktor tarik kereta ni, ada beberapa orang lagi. Aku mula kenal dengan mereka secara perlahan-lahan dan selalunya kami akan bergerak dalam dalam beberapa kumpulan berasingan.

Dari mereka mereka inilah aku terlibat dalam kerja gila aku yang kedua – jadi bouncer atau penjaga “keamanan” di kelab malam dan disko!

Pada mulanya aku hanya tolong cover jer untuk member-member yang perlu bercuti atau memang nak ponteng. Dari tolong punya pasal, sampai aku pun terbabit secara langsung. Selalunya kalau ada port atau club baru nak buka, maka dari recommendation member yang lebih senior dan otai, nama aku akan naik. Ramailah juga tokeh-tokeh club atau orang-orang suruhan mereka yang datang cari aku. Bermula dari situ, aku mengambil keputusan alang-alang tolong, biarlah aku dapat bayaran, berbaloi juga tak tidur malam.

Kalau difikirkan dan dikenang, kadang-kadang tu aku terasa bodoh kerana terlibat dalam kerja gila sebegitu. Bergaduh hampir setiap minggu dan penat jangan ceritalah. Siang duk ronda mencari kereta yang bayaran ansuran tak dijelaskan dan malam pula jadi penjaga “keamanan”. Jika tak meronda, aku akan bantai tidur sampai ke petang. Memang amalan hidup yang tak berkat dan juga tak sehat langsung. Lesu segala sendi, lemah segala urat kalau tidur lama-lama, especially kalau tidur sampai ke petang. Rezeki pun macam segan nak datang dan kalau datang, dia singgah sekejap jer.

Aku pun kadang-kadang kehairanan. Aku rasa aku dapat duit banyak. Berkepul-kepul dalam poket, aku sepah-sepah saja atas dresser kat bilik aku. Belum lagi yang aku selit sana, selit sini. Tapi, kadang-kadang, bukan kadang-kadang, selalunya, aku macam tak cukup duit saja. Sempit rasanya.

Agak lama juga baru aku tersedar kerja bouncer ni tiada berbeza dengan jadi seorang security guard cuma bouncer ni glamour sedikitlah. Itu pun sebab jaga tempat hiburan. Bergelumang dengan arak pula. Mana nak berkat, mana rezeki nak singgah!

Namun apa yang aku amat hargai adalah kenalan-kenalan yang berjaya aku kumpul melalui kerjaya gelap aku tu. Mereka yang aku pilih untuk menjadi kawan rapat adalah yang telah aku perhatikan dan pastikan mempunyai hati baik, boleh dipercayai dan suka menolong orang.

Mungkin muka mereka tu saja bengis dan ganas tapi hati mereka baik. Pada yang memang jahat dan perangai tak senonoh, aku jauhkan diri dari mereka.

Aku dah berjanji dengan diri aku bahawa kerjaya gelap aku ni hanya untuk sementara sehingga sesuatu peluang yang lebih baik datang. Akhirnya, setelah 2 tahun, datang juga peluang untuk aku cuci tangan dan mengubah karier aku. SGE banyak membawa kebaikkan padaku.



Ehem….!”

Tersedar diriku dari lamunan apabila mendengar lontaran suara dari belakangku itu. Aku menoleh. Kak Rozi dah tercegat di muka pintu pejabatku.

“Kak Rozi, hai!, good morning...” aku membuka bicara kepadanya. Pagi-pagi buta dah cari aku ni. Kenapalah agaknya.

Aku bahasakan setiausaha peribadi Encik Hashim sebagai Kak Rozi saja. Dia pun selesa dengan panggilan begitu. Dengan umurnya yang hampir mencecah empat-puluhan, Kak Rozi mengingatkan aku kepada cikgu aku di sekolah dulu. Garang, tegas tapi amat peramah pada waktunya.

Aku rasa panggilan “kakak” amat sesuai dengan kematangan dan sifat professionalismanya dalam melaksanakan tugas. Kalau aku panggil makcik atau aunty, macam tak kena rasanya. Kak Rozi ni anggun dan bergaya, silap pandang macam muda remaja lagi.

Morning As, nervous atau mengelamun?” Lembut bicara Kak Rozi. Berbunga-bunga suaranya dan bagai ada satu irama beralunan yang unik miliknya sahaja.

Aku rasakan soalan dari Kak Rozi tu seolah-olah satu teguran kepada aku. Pasti dia perasan pagi-pagi lagi aku dah berangan. Risau agaknya konsentrasi aku untuk mesyuarat yang akan berlangsung sebentar lagi akan terganggu. Kalah Pengarah Urusan perangai Kak Rozi ni. Nampak saja sedikit kesilapan orang.

Takde apa-apalah Kak, cuma memerhati keadaan saja. Yes!, anything? Dah sampai ke delegasi tu? Masuklah sekejap,” aku mempelawanya secara ajak-ajak ayam, tak larat aku nak layan dia ni lama-lama.

Its okey, kejap jer ni. No!, not yet, delegasi tu belum tiba, I cuma nak remind you tentang appointment selepas presentation nanti,” nada suara Kak Rozi mula bertukar menjadi mendatar dan tegas. Dia masih berdiri diambang pintu sambil berpeluk tubuh.

Aku hanya memandang ke arahnya dengan muka blank seketika dan baru aku teringat,“…oh!, okey, the new guy, I will be there, don’t worry, I pun tak sabar juga nak jumpa pegawai baru tu.”

As!, get it right, its a girl-lah!, 11.30 sharp. See you then!” Perintah Kak Rozi sebelum membuat pusingan dengan badannya bagai aksi seorang penari dan melangkah pergi meninggalkan pejabat aku.

Aku memerhatikan Kak Rozi berlalu.

Intercom aku berbunyi.

Yes, Ayu..”

“Delegasi MODESA dah tiba, Encik As. Saya bawa terus ke bilik mesyuarat?”

“Okey, Ayu, thanks and get them some coffee first, saya dalam perjalanan kesana, call the Project Team, inform dorang kita akan mulakan presentation dalam 5 minit lagi.”

They all dah ada pun berada dalam bilik mesyuarat awal-awal lagi, Encik As.”

“Okey!, good!”

Showtime!

Tuesday, March 6, 2012

Masihkah Ada Alia...

this complete manuscript will be published here..
the whole stock and barrel...

coming soon...

Monday, January 16, 2012

hadirnya...


tamu yg hadir

senyum terukir

seakan hampir

namun jejak tiada akhir

membuat aku terfikir

salahkah aku menafsir

atau aku menentang takdir

tersisip makna disebalik tabir

antara aku dan tamu yg hadir

jauh, walau sedekat sebutan di bibir

dekat, walau sejauh lautan meminggir...