Friday, May 8, 2015

MASIHKAH ADA ALIA - Part 4, Chapter 34

Jauh sayup kedengaran bunyi tu pada ketika ia menjelma. Secara perlahan ia bermula kemudia menjadi ketara dan bertambah kuat, seolah-olah makin hampir kepadaku.

Malar sahaja iramanya, tidak laju, tidak perlahan tapi berterusan. Sekali imbas bunyinya kedengaran seperti bunyi titisan air yang jatuh setitis demi setitis ke dalam sebuah takungan. Semakin lama bunyi titisan tu semakin nyaring, semakin bergema, semakin mendebarkan dadaku.

Kemudian…aku dikejutkan oleh satu letupan yang kuat. Bergegar seluruh anggota aku dek kuatnya letupan tu dan selang seketika…gema letupan itu hilang sepantas ianya menjelma. Kesunyian yang aku alami amat membingitkan, terlalu memekakkan…sehingga bunyi titisan tu muncul kembali.

Tenang, tenteram dan berterusan.

Kemudian, kekosongan.

Aku terasa diriku bagaikan hanyut dalam sebuah perahu yang dilarikan oleh arus deras. Seperti melunsuri sungai  di dalam gua yang gelap. Aku dapat merasakan kehadiran semua anggota aku, cukup dan lengkap, cuma aku tak dapat menggerakkan mereka, walaupun kelopak mata aku. Entah apa yang sedang membelenggu tubuhku. Begitu ketat lilitannya, begitu kemas ikatannya sehingga aku tidak dapat bergerak. Dah kena kapan ke aku ni?

Aku kaku dan dalam keadaan kaku tu, aku bagai dihanyutkan, jauh, jauh dan terus jauh. Sesekali aku terasa arus tu berhenti dan bunyi titisan air tu akan muncul dan sesekali juga ledakan kuat akan menyentap aku, sebelum kekosongan dan kegelapan kembali menyelubungi aku.

Aku tidak mengetahui sudah berapa lama aku berkeadaan begini kerana tiada petanda yang menunjukkan peredaran masa. Tiada terang melambangkan siang atau kegelapan yang mengundang malam…yang ada hanya kelam dan kesunyian yang berterusan. Itu saja yang dapat aku rasakan…dan juga bunyi titisan yang datang sekali-sekala…sehingga arus yang membawa itu berhenti dari menghanyutkan aku dan aku mula terasa haus yang teramat sangat.

Kali pertama aku alami rasa haus sebegini. Kering dan perit tekak aku, macam kerongkong aku dibakar. Aku cuba telan air liur tapi air liur pun tak ada, kering. Pedihnya tak tertahan, aku perlu mendapatkan air untuk membasahkan tembolok ni yang seakan baru sahaja menelan lahar gunung berapi.

Aku cuba membuka mata…tapi aku hanya dapat menggerakkan kelopak mata aku sahaja. Satu pembaharuan, sebelum ini, kelopak mata aku pun tak daya aku menggerakkannya.

Dengan perlahan dan dengan sepenuh tenaga aku cuba membuka mata aku… aku kerahkan seluruh saki-baki kederat yang ada untuk meregangkan kelopak mata yang seakan bertaut rapi…aku rasai pergerakkan…mata aku berkedip-kedipan dan akhirnya tautan rapi tu terurai…aku rasa seperti usaha aku dah berjaya, mata aku dah terbuka, tapi aku tak nampak apa.

Hanya sinaran silau cahaya bewarna putih yang menerpa dan menyilaukan mata aku, putih saja macam layar wayang yang belum bermula ceritanya.

Mata aku berkelip-kelip dengan laju. Pedih melanda, bagai kertas pasir sedang ditenyeh ke mataku. Airmata aku mula bercucuran, melegakan sedikit kepedihan yang aku rasa.

Pendengaran aku mula kembali. Bunyi-bunyian yang aku dengar yang sebelum ini sayup-sayup tapi kini semakin jelas. Ada beberapa bunyi yang mengelirukan juga terutamanya bunyi seakan suara orang tapi aku tidak berapa pasti samada suara orang atau mungkin suara dalam diriku sendiri. Beberapa detik berlalu, setelah aku amati, barulah aku yakin yang aku mendengar memang suara orang bercakap-cakap. Asing bahasa yang dipertuturkan pada pendengaran aku. Ahhh! Sudah!! Munkar Nakir ker ni?

Secara perlahan aku mula sedar terhadap perubahan yang berlaku pada diriku. Paling ketara adalah perjalanan otak aku. Seakan ianya mula berdetik setelah entah berapa lama diam dan statik. Aku membayangkan gear-gear mula berputar, piston-piston mula bergerak, injap-injap mula berfungsi, tersedak-sedak pada mulanya. Seperti enjin kereta yang telah lama tak dihidupkan, otak aku pun mengambil masa yang lama untuk membuat analisa terhadap keadaan diri aku.

Aku cuba menggerakkan anggota-anggota badanku sepertimana yang diarahkan oleh otak aku. Payah juga. Satu-persatu sendi, otot-otot, jari-jemariku mula menggerenyet dan memberikan tindakbalas yang positif! Otak aku mula mengambil alih kembali kawalan terhadap fungsi dan pergerakkan seluruh tubuhku seperti yang sepatutnya.

Kemudian, ingatan aku pula mula beroperasi, macam televisyen yang baru dibuka…aku lihat cebisan-cebisan memori melintas laju di depan mata, bergerak secara rawak, tak tentu arah, melompat-lompat dari satu peristiwa ke peristiwa yang lain…kejap kisah masa aku kecil, kemudian aku di universiti, kemudian ketika aku di sekolah pula…kemudian ingatan pada SGE menjelma, kawan-kawan aku, keluarga aku…kemudian kisah dikampung pula menjelma…hish!…naik keliru juga aku! Dahlah dengan keadaan aku yang masih separuh sedar ni. Aku masih kebingungan, tidak mengetahui dimana aku sedang berada, hidup lagi ke aku ni atau…

Kisah perjalanan hidupku dan pengalaman yang aku alami seumur hidupku makin pantas tertera, macam video yang sedang di fast forward  pada 100 kali kelajuan.

Otak aku mula efisyen, mula aktif dan mula berfungsi dengan sempurna secara berperingkat...50%...75%...80%...macam sedang download dokumen dari Internet dan bila sampai pada tahap 100%, aku terdengar seperti bunyi siren yang kuat. Berdesing kepala otak aku!

“Ya Allah…!!” Aku berteriak.

Perkataan yang pertama yang aku ucap bila otak aku sedar sepenuhnya dan memori-memori aku tersusun dengan betul, mengikut turutan kejadian dan imbasan terakhir adalah pistol yang meledak di kepala aku.

Apa yang aku sangka mengambil masa berjam-jam lamanya, dari saat aku mula merasa haus hingga ke saat aku menjerit ni, sebenarnya, berlaku dalam jangkamasa tak lebih dari 1 minit.


Panjang lagi umurku rupanya!

No comments: