Aku kembali berjalan ke arah
The Mall.
Hari dah semakin gelap,
hampir nak malam. Sambil berjalan aku beli air mineral dan aku telan sebiji ubat yang baru aku beli tadi. Aku
habiskan air dalam botol tadi kerana teringatkan pesan taukeh ubat tu.
Sambil berjalan tu, ingatan
aku kembali kepada arwah Pakcik Lamin. Dia adalah abang sulong mak aku dan dia
yang mengajar aku dalam ilmu mempertahankan diri. Pakcik Lamin boleh dikatakan
jaguh dalam tomoi dan juga handal bermain pisau. Keting kaki dia, punyalah
keras, ketuk dengan besi pun dia tak rasa apa. Dialah yang melatih aku dalam
seni tomoi ni, hampir tiap tiap hari, dari aku umur 10 tahun.
Sejak aku kecil Pakcik Lamin
suka bercerita kepada aku tentang pengalamannya. Aku tertarik dengan
cerita-ceritanya. Kisah dia bergaduh, selamatkan anak dara orang, kisah dia
mengembara dan bertemu pelbagai perkara dan insiden yang aneh. Pakcik Lamin aku
anggap macam Indiana Jones ketika
itu.
Cerita-ceritanya memang
menarik dan yang paling aku gemar adalah cerita-cerita mistiknya. Ada juga yang tak masuk
akal tapi kat kampung aku tu kalau ada budak-budak kena rasuk atau
meracau-racau, Pakcik Laminlah yang orang kampung selalu panggil. Selalunya dia
nasihatkan bawa ke hospital dan bila begini aku rasa macam anti-klimaks jer.
Tapi ada juga masa yang dia akan minta beberapa perkara seperti kemiyan dan
sebagainya. Bila macam ni, aku teruja.
Depan mata aku sendiri aku
pernah saksikan bagaimana dia mengubat orang kena rasuk. Ish!, macam tak percaya, tapi benda-benda halus dan ghaib ni memang
ujud. Terpulanglah kepada penerimaan masing-masing.
Aku juga selalu pasang
telinga kalau dia dan pemuda-pemuda kampung (termasuk abang-abang aku) duduk
berkumpul. Pelbagai cerita yang aku dengar. Nak kata dia temberang, ramai yang
mengesahkan bahawa ilmunya memang tinggi dan apa yang dia cerita, dia boleh
buat.
Dia
juga tidak kedekut ilmu. Ramai rakan-rakan yang sebaya dengan abang-abang aku
yang menuntut dengannya. Tiga orang abang aku juga merupakan anak muridnya. Tak
hairanlah, aku juga mula mengikuti apa yang Pakcik Lamin ajarkan. Abang-abang
aku pada mulanya melarang tapi aku degilkan diri, aku keraskan hati. Aku ikut juga.
Akhirnya, dorang tak kisah dengan kehadiran aku.
Dari
aku sekolah rendah lagi sudah memulakan latihan tapi yang ringan dahulu, hingga
aku naik sekolah menengah, makin berat latihan latihan yang diberikan, hampir
tahap penderaan.
Aku
bermula dengan mengetuk keting kaki aku dengan serai, sebatang pada awalnya
sehingga hancur. Makin tahun meningkat makin banyak batang serai aku gunakan
hingga tahap secekak (mak aku punyalah mengamuk bila rumpun serai dia tanam habis
aku kerjakan).
Lepas
tu baru graduate ke batang pisang, kemudian tu punching bag
(karung guni sebenarnya) berisi pasir, lepas tu kayu beloti berbalut kain guni
dan last sekali, batang pokok kelapa
yang mengerutu tu.
Bukan
nak tunjuk tere la atau cakap besar, tapi pada tahap kemuncak diri aku
dengan berbekalkan ilmu yang aku pelajari, kayu beloti 4 inci kali 2 inci tu
boleh la patah dengan keting aku. Kalau aku bermain bolasepak pula, ramai
kawan-kawan yang mengetahui tak berani tackle
aku atau rebut bola 50-50 dengan aku.
Mereka tahu kalau berlaga dengan keting aku, mereka yang akan dipapah keluar
walhal aku tak rasa apa pun.
Ada
juga masa yang aku rasa aku memang jaguh, aku kuat, tapi bila aku mula nak
riak, salah seorang abang aku atau anak murid Pakcik Lamin yang lain, yang
lebih jaguh dari aku akan mengingatkan aku, secara lembut dan juga secara
kasar, bahawa jangan lupa diri dan jangan gunakan ilmu yang ada untuk
kepentingan diri sendiri.
Sukar
juga untuk aku menerimanya tapi akhirnya aku pelajari nasihat tersebut dengan cara
yang menyakitkan. Aku dibelasah oleh seorang budak yang lebih kecil susuk
badannya dari aku. Budak dari Siam yang tinggal di kampung yang berdekatan. Berpunca
dari perselisihan di padang bola dan terbawa ke luar padang.
Aku
tersilap cabar kerana marah sangat akibat kalah dalam perlawanan. Budak yang
sahut cabaran aku tu kecil je, aku siap gelak lagi. Aku ingat memang aku boleh
makan budak tu tapi pergerakkan dia memang licik, laju dan pantas. Aku tersilap
langkah. Aku yang kena belasah petang tu. Tiba di rumah, kena lagi pelempang
dengan abang aku dan juga tarbiyah yang panjang lebar. Baru aku tahu, saiz
bukan ukuran. Baru aku pelajari, diam ubi berisi dan baru aku faham, resmi padi
makin berisi makin tunduk.
Mulai
hari itu, aku menjadi berhati-hati. Aku belajar kawal kemarahan aku dan yang
paling penting, kawal perasaan bongkak dan riak di dalam diri.
Bila
aku pulang dari luar negeri selepas habis belajar dan sebelum aku berhijrah ke
Kuala Lumpur, aku sempat dapatkan saki-baki ilmu dari Pakcik Lamin, sebelum dia
meninggal dunia beberapa bulan selepas itu. Ketika tu aku rasa umur dia dah lebih
sembilan puluh tahun, tapi masih gagah, tak berkaca mata dan tak bertongkat pun
bila berjalan ke sana kemari.
Banyak
juga ilmu yang aku mintak tapi Pakcik Lamin hanya gelak sahaja. Dia cuma bagi
ilmu yang dia yakin aku dapat kawal dan gunakan untuk kebaikkan. Yang lain-lain
tu aku tak dapat kerana dia tahu aku tak mampu mengendalikannya dan dia takut
aku tersalah bawak. Macamlah aku ni jahat sangat tapi memang jahat pun masa tu.
Bila
aku merantau ke Kuala Lumpur dan masa aku jahat, aku terus mengamalkan latihan-latihan
dan senaman-senaman yang aku pelajari walau tidak sekerap yang patut, hanya
bila ada masa terluang sahaja. Tapi kerana kemahiran yang ada, aku tak gentar berhadapan
dengan sesiapa pun. Memang aku yakin dengan diri aku dan kerana skill-skill yang telah diperlajari tak
hilang, termasuk beberapa teknik-teknik kebatinan. Kederat sahaja kadang-kadang
tidak mencukupi. Cuma aku kawal diri aku untuk mengeluarkan apa yang ada untuk
mempertahankan diri sahaja. Aku takkan mulakan pergaduhan.
Bila
aku kerja di SGE, aku mula malas untuk berlatih dan bersenam. Sekali-sekala tu
adalah aku praktikkan balik serba sedikit. Itupun kerana kesihatan bukan
latihan dari segi mempertahankan diri lagi. Aku sangka dah tamatlah episod pertarungan
dan pergaduhan dalam hidupku. Lebih-lebih lagi aku dah tinggalkan bidang
mempertahankan diri ni agak lama juga. Tapi sekarang ni aku amat memerlukan
semula ilmu-ilmu yang Pakcik Lamin telah turunkan pada aku.
No comments:
Post a Comment