Friday, May 8, 2015

MASIHKAH ADA ALIA - Part 4, Chapter 40

Ubat sinseh yang aku baru saja telan tu adalah untuk menguatkan darah dan juga otot-otot. Pakcik Lamin selalu cakap, darah kalau sihat, badan pasti sihat, jadi jaga makan, makanan jadi darah dan daging. Ubat yang aku ambil tu kira seperti service semula darah aku dan memang, tidak lama setelah aku telan, berpusing dunia aku rasakan.

Jantung aku berdenyut laju. Segala pembuluh dan urat-urat aku terasa bagai terbuka luas untuk memberi laluan kepada perjalanan darah yang semakin lancar. Peluh mula keluar dari setiap liang rongga badan aku.

Aku kena rehat sebentar untuk memberi ruang bagi badan aku menerima proses baikpulih yang sedang dijalankan oleh ubat sinseh yang baru aku telan. Aku masuk McDonalds di The Mall dan terus memesan makanan.

Sambil menikmati makan dan minuman, aku perhatikan keadaan sekeliling dan dalam keadaan tenang tu otak aku pun mula menayang kembali imej-imej yang berlaku di dalam bilik hotel semasa aku dipukul dan hampir menemui maut tu.

Imbasan muka lelaki yang berdiri di depan pintu ketika aku membuka pintu sudah terpahat di dalam memori aku, tidak akan aku lupa muka lakhanat tu.

Memori aku beralih ke lelaki kedua yang menghempuk aku dengan kerusi tu dan kemudian akhir sekali, lelaki ketiga yang mengacukan pistol kea rah aku.

Otak aku berlegar agak lama pada imbasan tersebut. Aku fikir, aku kaji, aku renung dan aku fokus pada saat aku menerkam lelaki itu. Ada satu perkara yang tak kena pada tangan dia yang memegang pistol tu.

Aku ulang memori aku berkali kali, ada keganjilan pada tangan dia. Tidak, bukan tangan. Jari dia! Apa dia? Persoalan tu berulang. Cincin ke? Parut ke? Tattoo ke? Puas aku memikir.

Aku ulangan lagi ingatan tersebut, aku fokus pada jari-jari dia yang memegang pistol tu. Terlampau laju imbasan tu. Aku perlu perlahan sedikit. Aku tarik beberapa nafas panjang untuk mengawal minda aku. Aku perlahankan irama jantungku sebentar. Aku perlu bertenang. Ketenangan akan membawa ketajaman pemikiran. Aku pejam mata. Aku buangkan jauh-jauh bunyi-bunyi persekitaran yang boleh menggangu konsentrasiku. Perlahan aku mulakan imbasan imej-imej terakhir yang aku ingat. Kesemua butir-butir terperinci ada dalam otak aku, aku hanya perlu mencarinya.

Terdapat berbilion sel yang ada di dalam otak kita yang mencatit setiap peristiwa yang dilalui. Setiap satu merakamkan pengalaman yang kita tempuhi, terutama perkara yang membawa kesan mendalam keapada diri seseorang, dengan jelas bagai sekeping gambar.

Adalah satu fakta saintifik bahawa komputer yang paling berkuasa adalah otak manusia dan jika manusia dapat membina sebuah komputer yang dua kali ganda besarnya dari bangunan KLCC pun belum tentu dapat menandingi keupayaan pemprosesan otak manusia. Sekarang, aku kena semak satu persatu fail-fail di dalam komputer yang  terletak di dalam tengkorak aku ni. Proses yang agak rumit tapi tidak mustahil. Ada caranya.

Dalam aku memejamkan mata, aku mula ber-Istighfar, aku sebut nama Allah berulang kali dan aku minta agar diterangkan hati ini dan aku niatkan kesemua untuk kebaikkan dan demi menyelamatkan Alia.

Aku melalui semula saat dan detik ketika aku menerkam pemuda yang mengacukan pistol kepadaku. Mukanya, tangannya, jarinya dan kemudian…Cilakak! Dia tak ada jari manis! Jari kecil tangan kanannya yang memegang pistol tu kudung.

Padanlah gengaman pada pemegang pistol tak kemas dan ditambah dengan terkaman aku, dia boleh tersasar pada jarak yang sebegitu dekat.



Aku membuka mata dan kembali ke alam nyata semula. Aku tidak pasti entah berapa minit telah berlalu sejak aku memejamkan mata tadi. Orang di sekeliling yang perasan perbuatan aku tu pasti akan tertanya-tanya kenapa aku begitu. Tidur ke atau mereka akan menyangka aku mat gian tengah layan stone. Tak mungkin kut, tubuh sesasa aku ni, takkanlah orang boleh sangka aku mat gian. Mustahil!

Tanpa aku sedari, meja disebelah aku telah dihuni oleh satu keluarga. Sepasang suami isteri yang agak muda bersama seorang kanak-kanak perempuan berumur dalam lingkungan tiga tahun dan juga seorang bayi yang digendong oleh si isteri.

Bahagia nampaknya mereka. Si suami sibuk melayan keletah anaknya yang comel itu dan si isteri duduk dengan bayi yang tidur lena di pangkuannya.

Aku perhatikan si isteri tersebut, ibu muda, bertudung dan berwajah lembut. Terbayang kebahagian dari sinar matanya. Cara dia memerhatikan suaminya dan anaknya tu. Ishh! Bolehkah aku menemui kebahagian yang sama? Mampukah aku membahagiakan Alia sebegitu?

Alia…terpisah juga aku dengannya buat kali kedua. Kali ni dengan situasi yang amat berbeza dari pertama kalinya, lebih kritikal lagi keadaannya. Alia dalam bahaya dan aku pula bagaikan tidak mampu menolongnya. Tidak mungkin! Hatiku bertempik. Selagi aku bernafas, selagi itu aku akan berusaha mendapatkan Alia semula!

Sia-sia sajalah ilmu yang aku tuntut, kepandaian yang aku ada jika aku putus asa. Kalau arwah Pakcik Lamin masih hidup, pasti dia dah duku kepala aku kerana berfikiran negatif sebegitu.

Tidak…demi cinta, demi maruah dan demi masa depan aku dan Alia, aku tidak akan mengalah…tapi…masihkah ada Alia? Soalan bodoh apa yang aku tanya pada diri sendiri ni! Alia masih ada, aku yakin, aku pasti kerana tiada kesimpulan lain yang boleh aku capai…kerana Alia adalah segala-galanya padaku.

Otak aku mula mengkaji beberapa senario. Pertamanya, berapa kerat saja gangster di Kuala Lumpur ni yang ambil upah bunuh orang. Kedua, lelaki yang memegang pistol tu mungkin budak baru, kerana tidak menggunakan silencer (atau mungkin susah nak dapatkan silencer kat sini) dan cepat panik bila ada orang terjerit-jerit di luar bilik tu.

Tapi, bila aku fikirkan balik tentang motif mereka, aku merasa sangsi yang tujuan sebenar adalah untuk membunuh aku. Ada sesuatu yang tak kena. Harith tidak akan mendapat apa-apa kebaikkan kalau aku mati kerana dia pasti tahu, sebarang urusan kewangan, terutamanya jika melibatkan jumlah yang besar, perlu mendapatkan tandatangan aku dan Alia secara bersama. Tandatangan Alia atau aku berseorang sahaja tidak sah bagi sebarang urusan kewangan yang besar jumlahnya. Harith pun seorang graduan, pasti dia tahu serba sedikit hal-hal pengurusan kewangan.

Harith perlukan aku dan Alia hidup-hidup.

That’s it!

Aku pasti dengan fakta ini. Mereka yang datang tempuh hari mungkin diarahkan untuk mendapatkan aku dengan apa cara pun. Pistol yang dikeluarkan hanya untuk mengancam aku supaya aku mengikuti mereka tanpa banyak soal dan tidak melawan kemahuan mereka. Silap mereka tidak dapat mengawal keadaan dan mungkin silap aku juga memberikan tentangan habis-habisan.

Situasi yang aku sangka rumit kini semakin jelas. Ini menambah keyakinanku bahawa Alia tidak diapa-apakan buat sementara ini. Namun aku tidak ingin mengetahui apa yang Harith sanggup dan boleh buat jika dia tidak dapat apa yang dimahukannya.

Persoalannya sekarang, apakah tindakan selanjutnya bila dia dah dapat duit bapanya kembali. Adakah dia akan membiarkan kami hidup? Inilah soalan cepu mas yang aku tak perlukan tAlian hayat untuk mengetahui jawapannya. Aku yakin, bila dia dah dapat duitnya, dia pasti akan melenyapkan aku dan Alia dari dunia ini.

Aku perlu merangka strategi agar duit itu tidak kembali ke Harith dan aku mendapatkan Alia semula…dan tidak mustahil jika itu bermakna aku harus melenyapkan Harith dari muka bumi ini. Tidak mustahil tapi amat berat untuk aku lakukan. Mungkin ianya perkara yang mudah untuk dilakukan oleh Harith, dia ada orang suruhannya tempuh hari tapi tidak bagi aku. Dosa besar tu bunuh orang! Aku masih waras dan masih ingat Tuhan.

Fikiranku terganggu oleh tangisan bayi yang berada di dalam pangkuan ibunya.

Ibu muda itu mententeramkan bayi tersebut. Ianya diam dari tangisan dan kembali tersenyum. Wajahnya kelihatan aman dan selesa.

Aku juga ingin melihat semula wajah Alia kembali aman, tenang dan dalam keselesaan. Aku juga ingin merangkul Alia dan menyatakan padanya, dia selamat dan selagi aku berada disisinya, tiada apa pun yang dapat mengancam dirinya. Itu janji aku.

Aku sudah mendapat petunjuk terhadap masalah untuk mendapatkan Alia semula. Aku harus balik ke bilik untuk berehat lagi kerana malam nanti, aku akan mula bergerak.

Tapi, sebelum tu, aku ke cawangan Bank Bumiputra (nama lama) di PWTC, keluarkan sedikit duit. Di Kuala Lumpur ni, kena ada wang tunai, senang buat kerja dan bergerak. Aku mengambil keputusan untuk naik teksi sahaja malam nanti untuk memulakan usaha aku, susah kalau sewa kereta.


Bila tiba di bilik, aku buang semua ubat ubat dari hospital, tak perlu lagi pil-pil yang menggunakan bahan kimia yang aku tak tahu asal usulnya dari mana. Aku mandi dan solat sebelum merebahkan diri di atas katil dan aku lelap dengan cincin untuk Alia erat dalam gengaman.

No comments: