Alia hanya memulakan
proses penuntutan cerai dari Harith setelah aku berada di Mauritius. Proses
tuntutan ini amat rumit sekali kerana tiada hubungan secara lansung dengan
peguam Harith di Malaysia. Kami tidak mahu lokasi kami diketahui.
Kesemuanya, ada
tiga firma guaman yang kami pakai. Dari Mauritius, kami akan terbang ke Afrika
Selatan bagi menemui firma guaman yang pertama. Kemudian semua hal surat-menyurat
akan dihantar ke firma guaman di London. Firma ini akan berhubung langsung
dengan firma guaman di Malaysia yang mengendalikan kes cerai Alia. Fuh!
Jauh belitnya.
Bagiku, tiada jalan
lain untuk memastikan keselamatan aku dan Alia. Terpaksa aku lencong sana, kona sini supaya Harith tidak dapat
mengesan di mana kami berada.
Kesemua kesan dan
jejak perjalanan aku dan Alia telah ditutup rapi. Tidak siapa yang tahu di mana
lokasi kami. Apa yang diketahui adalah kami di luar negeri. Itu sahaja.
Keluarga terdekat Alia pun tidak diberitahu lokasi sebenar kami.
Aku tak risau
sangat pasal duit. Biar belanja mahal sedikit kerana memang berbaloi.
Keselamatan Alia dan aku adalah perkara yang paling utama. Walaupun kebarangkalian
bagi Harith untuk menjejak kami adalah kecil tapi aku tidak mahu ambil mudah perkara
ni.
Jika ada usaha
untuk mengesan Alia melalui urusan surat-menyurat yang dibuat, jejaknya akan
berakhir di London, sebab dari situ, semua urusan mula menggunakan forwarding company yang menawarkan
khidmat urusan secara sulit dan peribadi. Tiada rekod atau catatan apa pun yang
dapat dijejak.
Janji ada duit!
Beberapa kali juga
kami terpaksa berulang-alik ke Afrika Selatan untuk urusan penceraian Alia
dalam tempuh beberapa bulan kebelakangan ini.
Frust juga kadang-kali terutamanya bila sahaja hampir
untuk mendapatkan persetujuan dan tarikh mahkamah, ada saja permintaan atau
permohonan dari Harith yang menyebabkan penangguhan tarikh perbicaraan kes.
Sekali tu biasalah,
dua kali dah melebihi batas dan kali ketiga adalah cubaan memperlambatkan
perjalanan perbicaraan.
Aku mula merasakan
sesuatu kerana setiap kali Harith membuat tuntutan, ianya pasti dengan
permintaan untuk bertemu Alia bagi membincangkan perihal tuntutan itu. Kenapa
perlu bertemu?
Aku yakin Encik
Hashim, takpun Harith, memang menyimpan dendam terhadap aku dan Alia dan
berdasarkan jumlah wang yang terlibat. Tidak mustahil mereka ada merancang
sesuatu untuk membalas dendam. Apa yang aku dan Alia telah lakukan merupakan
satu tamparan hebat, baik pada perniagaan dan juga pada ego mereka.
Aku mencadangkan
kepada Alia supaya meminta Harith bersetuju terhadap tuntutan perceraian
dahulu. Kemudian baru cerita tentang segala tuntutannya yang lain, lagipun
segala perkara dapat dibincang di dalam Mahkamah Syariah dan dibangkitkan
ketika bicara cerai itu berlangsung nanti. Tak perlu untuk berjumpa sebelum
itu.
Bila aku fikirkan,
ianya pasti satu muslihat untuk menarik Alia keluar dari persembunyian.
Licik juga si Harith ni!
Mungkin dia merasa
tergugat. Merasa kelakian dan egonya tercabar dan dicalarkan oleh perbuatan Alia
terhadap bapanya. Mungkin juga dia telah dimarahi oleh bapanya kerana
keceluparan mulutnya telah menyebabkan segala rahsia terbongkar.
Pasti
dia tidak akan berdiam diri. Gerenti dia nak kembali duit tu atau yang paling
tidak, untuk membalas dendam! Aku rasa kalau perasaan benci dan marahnya pada Alia
sedang meluap-luap, macam manalah agaknya perasaan marah dia kat aku. Mahu dia
nak bunuh aku kalau dia dapat. Dahlah dia kena belasah dengan aku, kini
mengetahui aku juga telah menghilang seperti Alia.
Dalam
fikirannya, pasti aku sudah bersama Alia dan duit 12 juta! Tengah enjoy sakan kat memana.
Aku
rasa tak ramai lelaki boleh sabar dengan gambaran tersebut. Apa lagi lelaki
seperti Harith yang sombong, bongkak dan mempunyai ego sebesar gunung.
Aku
pula semenjak kebelakangan ni mula obses dengan soal-soal keselamatan sehingga
seluruh rumah, kawasan luar, halaman, tiang dan tembok telah aku pasang dengan
kamera litar tertutup. Aku menjadikan salah sebuah bilik sebagai pusat kawalan.
Dari
situ, aku memerhatikan dan memantau keadaan, terutama pada malam hari. Tak
cukup dengan itu, aku pasang juga motion
sensor di tempat-tempat tertentu. Siren dan alat penggera jangan cakaplah,
sentiasa aku pastikan kesemuanya berfungsi dengan baik. Asyik-asyik sistem check jer setiap minggu. Better safe than sorry – itulah
kata-kata yang aku pegang.
Duit boleh cari, Alia
mana aku nak cari ganti lagi!
No comments:
Post a Comment