Monday, February 3, 2014

MASIHKAH ADA ALIA - Part 3, Chapter 21

Mauritius.

Dalam banyak-banyak tempat dalam dunia ni, dalam banyak-banyak tempat peranginan, Alia pilih Mauritius.

Pulau yang terkenal sebagai pusat peranginan dan mempunyai persisiran-persisiran pantai yang amat menakjubkan. Mungkin kerana Alia memang gemar dengan pantai dan lautan atau mungkin ada sebab lain yang aku tidak ketahui. Tak mengapalah, Mauritius pun okey juga bagiku. Aku juga menyukai pantai dan laut, memancing, naik bot dan segala aktiviti yang berkaitan dengan laut. Nanti di Mauritius aku bertekad nak mencuba scuba diving dan snorkling pula. Bestbest…!

Tapi aku terpaksa mengharungi perjalanan yang panjang untuk ke sana. Mujur pesawat 747 yang dinaiki, lapanglah sedikit dan aku mendapat tempat duduk paling luar, senang untuk aku keluar masuk dan bergerak.

Sepanjang penerbangan aku tak senang duduk. Lama sangat. Letih aku tidur dan bangun dan aku tidur semula dan bangun lagi, tapi tak sesampai juga. Mulalah aku mundar mandir dalam kapalterbang, tapi yang paling jauh aku boleh pergi ialah ke tandas. Jadilah!, dapat juga aku strecth kaki aku yang dah naik kematu. Terasa macam naik bas ekspress ke utara pula!

Dalam penerbangan tu aku cuba membelek beberapa majalah yang ada tapi tiada satu pun yang menceritakan tentang destinasi yang ditujui. Patutnya letaklah beberapa risalah yang boleh dijadikan sebagai sumber rujukan dan panduan untuk penumpang. Ini tidak, yang ada majalah untuk jualan barangan yang tidak ada kena-mengena langsung dengan destinasi. Boring betul!

Bila bosan macam ni, aku mulalah naik rimas. Nak tidur dah tak boleh lelap sebab dari tadi aku asyik tidur saja. Aku mula rasa tak selesa, susah nak tidur dalam keadaan duduk sebegitu. Cabin pun gelap semacam jer dan penumpang-penumpang lain tidur dengan selamba jer. Ish! Jelesnya aku lihat mereka boleh tidur!

Aku cuba lelapkan mata. Daripada aku mundar-mandir dan mengganggu penumpang lain, elok juga kalau aku tidur-tidur ayam sambil membayangkan kawan-kawan dan kenalan yang aku tinggalkan. Ina, Rizman dan Yusuf terutamanya.

Aku tersenyum sendirian mengenangkan detik-detik persahabatan kami. Saat-saat manis apabila ada majlis-majlis keramaian, gathering, hari keluarga, annual dinner dan banyak lagi acara yang dianjurkan sepanjang aku berada di SGE. Rizman dengan lawak jenakanya, Ina dengan control ayu dan blur sotongnya, Yusuf pula, kematangannya dan nasihat serta buah fikirannya, tak lupa juga kejaguhannya bermain snooker!

Belum pun aku sampai, dah terasa kehilangan, terasa rindu pada mereka!

Angan-anganku itu berjaya membuai aku hingga terlena buat seketika dan aku melupai perjalanan yang amat panjang ni untuk sementara waktu.

Sehingga aku dikejutkan dengan pengumuman dari ketua pramugari. Pesawat akan mendarat tidak lama lagi dan penumpang diminta memakai tali pinggang keledar dan tegakkan tempat duduk. At last! Sampai juga akhirnya.

Pesawat mendarat dengan agak kasar juga, mungkin pembantu juruterbang yang melakukan pendaratan, masih belum mahir lagi agaknya. Ianya kemudian bergerak dengan perlahan menuju ke apron untuk menurunkan penumpang. Aku tak sabar-sabar nak keluar dari pesawat. Aku rasa macam nak turun ke bawah dan tolong tolak pesawat ni supaya ianya bergerak laju sedikit. Aku nak cepat bertemu Alia ni, mereka  pula macam nak melambatkan aku.

Akhirnya, pesawat tu berhenti di terminal yang ditentukan dan penumpang pun keluar satu persatu. Nasib ada dua tiga pintu, cepat sikit penumpang dapat turun. Ketibaan pesawat tu di Mauritius lewat dari apa yang diumumkan oleh pilot semasa dalam penebangan. Aku fikir MAS saja yang selalu tak ikut jadual, rupanya SIA pun sama juga. Serumpunlah katakan.

Aku melangkah keluar. Sampai juga aku di Mauritius ni. Macam mana agaknya rupa negeri ni, rakyatnya dan juga kebudayaannya. Apa yang aku tahu hanyalah dari pembacaan am aku, tidak mendalam, hanya maklumat luaran sahaja. Tak mengapa, bila dah tinggal lama, pasti aku akan mengetahui selok-belok kehidupan di sini.


Aku baca doa mententeramkan diri dan juga pendinding bila tiba di tempat orang. Aku mula menyedari yang aku berada jauh dari kampung halaman!

No comments: