Tuesday, February 4, 2014

MASIHKAH ADA ALIA - Part 3, Chapter 22

Pesawat yang aku naiki mendarat di Sir Seewoosagur Ramgoolam Airport, Mauritius ketika hari dah malam juga, sama macam masa aku berangkat dari Singapura. Lapangan terbang dia ni tidaklah secanggih airport kita di Sepang tu, lebih kurang seperti airport lama di Subang.

Selepas melalui pemeriksaan imigresen, aku berjalan keluar dari arrival hall dengan langkah yang laju sambil terjengah-jengah mencari Alia. Lupa pula nak tanya samada dia datang jemput aku sendiri atau akan menghantar orang lain. Aku berjalan keluar ke anjung utama di situ dan aku perhatikan tidak berapa ramai orang. Mungkin sebab hari dah hampir larut malam dan sekarang ni off-season, maka tak ramai tourists.

Aku cuba menghubungi nombor yang Alia gunakan semasa dia call aku di Singapura. Chiss!!, not in service.

Mana punya roaming system pula si Alia ni gunakan. Aku rasa kesal sedikit sebab bahagian perjalanan ni aku tak rancang dengan teliti.

Aku mundar-mandir di kawasan lapangan terbang tu. Dah macam kucing hilang anak. Kereta ada juga lalu-lalang tapi sebiji-sebiji. Aku ingat nak panggil teksi. Tapi aku nak naik teksi kemana? Bukan aku tahu di mana Alia berada di Mauritius ni. Lagi satu, macam mana rupa teksi di sini pun aku tak tahu. Kalau aku tersalah tahan, aku mungkin tertahan kereta persendirian pula dan kalau mereka menyangka aku nak merompak atau menyamun, tak pasal-pasal aku boleh dipenjarakan di sini!

Aku perhatikan ada beberapa orang pelancong yang menaiki pesawat sama dengan aku pun sedang menunggu di situ. Muka masing-masing menampakkan keletihan akibat perjalanan yang jauh dan panjang. Aku yakin mereka juga sedang menunggu orang untuk mengambil mereka ke hotel. Susah-susah aku ikut mereka saja nanti atau dapatkan panduan bagaimana nak ke hotel atau tempat penginapan yang mereka tuju.

Okey, hati aku rasa sedap sedikit sebab aku dah ada alternatif. Andaikata Alia tidak menjemput aku malam ni. Mungkin ada kesilapan teknik di mana-mana yang tak disengajakan atau jadual penerbangan yang telah ditukar oleh syarikat penerbangan. Banyaklah sebab yang aku boleh fikirkan. Aku yakin, takkanlah Alia akan membiarkan aku tiba di negara ni dan terkontang-konteng sendirian. Mesti ada sebab dia belum muncul. Tak guna aku pening kepala memikirkan. Lebih baik aku releks.

Aku nyalakan dunhill sebatang dan dah memang tinggal sebatang. Alamak!, ada ker jual Dunhill kat sini!? Tak mengapalah, aku rasa dah sampai masa aku berhenti hisap rokok pun, demi kesihatan dan demi Alia juga. Dari dulu lagi aku nak berhenti namun tak pernah berjaya. Kali ini pasti berjaya kerana aku yakin dorongan dari Alia akan menjadi sumber motivasi yang kuat untuk aku berhenti merokok.

Aku mengambil keputusan untuk menunggu seketika. Habis saja rokok yang aku hisap ni, aku akan pergi ke kumpulan pelancong dan bertanya kepada mereka bagaimana untuk pergi ke hotel yang berdekatan. Aku harap mereka tu boleh la cakap Inggeris.

Alia pasti akan menghubungi aku, malam ini juga atau mungkin esok pagi. Sementara tu, aku tak mahu jadi kutu rayau pula di negeri orang. Aku nak tidur atas tilam yang empuk dan bukan di atas bangku lapangan terbang. Jalan jauh-jauh takkanlah nak tidur atas bangku saja!

Ish…! Mana Alia ni!

Penat aku ke hulu ke hilir. Naik haus tapak kasut.

Rokok aku pun dah habis dan aku berjalan menuju tong sampah yang terletak di tepi sebatang tiang untuk membuang putung yang tinggal. Rokok aku yang terakhir. Sedih rasanya tapi mengenangkan masa depan, aku buang juga sambil berniat ianya sebagai rokok aku yang terakhir, semoga tiada lagi selepas ini.

Aku toleh ke arah pelancong tadi untuk mendapatkan maklumat yang aku perlukan, tetapi mereka dah tiada di situ. Aikss! Pelik! Bila mereka beredar? Ah! Sudah!, macam mana aku nak dapatkan maklumat ni!

Tiada cara lain lagi bagi aku selain menahan teksi walaupun aku terpaksa menahan semua kereta yang lalu disitu. Lapangan terbang tu pun dah semakin lengang dan sunyi.

Tak semena-mena, setelah aku membuang putung rokok ke dalam tong, bahuku ditepuk dari belakang. Aku toleh. Aku terkejut memerhatikan orang yang menepuk bahuku tadi, mak aii!!, punya besar orang!

Sekali pandang macam ahli gusti sumo. Aku rasa paling kurang pun dekat 200 kilogram juga berat mamat ni, tinggi pun hampir 6 kaki, aku hanya tinggi sedikit sahaja dari dia. Kepala dia bulat, betul bulat macam bola dan dengan badan dia yang bulat juga, bentuk potongan badannya sebijik macam snowman. Terkedu aku memerhatikan mamat tu.

Baju lengan pendek bercorak-corak yang dia pakai tu mengingatkan aku akan kain balut buah nangka. Pakai seluar bermuda pula tu, saling tak tumpah seperti macam beruang berbaju. Ha-ha-ha, jahat aku ni mengutuk sebegitu, tapi nak buat macam mana, aku bukan kutuk, aku menggambarkan kenyataan.

Dia senyum, pergghh!, langsung tak manis, gigi berkeladak, aku pun sengih juga menahan kegelian aku melihat tahap kebersihan giginya. Orang dah senyum kat kita, takkan kita nak buat muka bengis, nanti orang kata kita sombong.

Arrr ju monziur Ash?”

Mamat gergasi tu bertanya, pekat betul loghat bahasa dia. Nak kata French tak juga, ini mesti loghat Creole, salah satu loghat tempatan di sini dan digunakan dengan agak meluas.

Yes! And you are?” Aku tanya balik.

Ahhh! veeri guud, ai ahm Rodrigo, kamh kamh, forlo me, madamuzel haliah we goh si, shee waits ferr ju

Aku kelegaan bila dia menyebut haliah – susahnya dia nak menyebut Alia. Okey, aku dah faham situasi sekarang ni. Alia tidak datang atas sebab-sebab tertentu dan telah menghantar ahli gusti sumo untuk menjemput aku. Fuh, lega aku…! Taklah aku tidur di bangku airport malam ni.

Rodrigo terus membawa aku ke arah tempat letak kereta. Aku ikut dari belakang hingga Rodrigo berhenti bersebelahan sebuah kereta yang agak usang. Bukan usang lagi, tapi dah taraf antik, taraf parking kat tepi reban jer.

Boleh bergerak lagi ke kereta ni?

Aku menaiki kereta berkenaan bersama Rodrigo dengan rasa sangsi yang amat sangat. Kereta tu jenis Datsun (nama sekarang Nissan) model tahun 70an. Keadaannya amat menyedihkan, seakan nak roboh rupanya, berlubang sana dan sini serta keadaan cat yang telah tanggal di seluruh bahagian kereta tu. Jelas kelihatan keseksaan yang ditanggung kereta tu untuk membawa Rodrigo kerana apabila dia masuk, kereta tu mendap dengan mendadak. Kalau ianya seekor kuda, pasti dah patah tulang belakang.

Aku tak berapa kisah sangat akan jenis kenderaan, yang penting ianya boleh bergerak. Janji sampai jumpa Alia! Rodrigo menghidupkan enjin. Gegaran kuat melanda seluruh kereta dan aku tidak akan terkejut sedikit pun jika enjinnya tercabut. Namun, entah macam mana, kereta tu dapat meluncur keluar dari kawasan letak kereta.

Tidaklah meluncur, tersedak-sedak dan berhenjut-henjut dengan gegaran macam orang demam kepialu. Banyaknya dugaan aku di rantauan!

Aku sempat memerhatikan jam dalam kereta tu yang menunjukkan pukul 11.56 malam waktu Mauritius dan aku set jam tangan aku mengikut waktu tersebut.

Aku cuba berbual dengan Rodrigo sepanjang perjalanan tersebut tapi sia-sia sahaja. Aku tak faham sangat apa yang dia cakap dan dia pun menjawab lain dari apa yang aku tanya. Tingkap pula tak boleh tutup dan bunyi bising dari enjin tu juga menghalang pendengaran. Jadi perbualan aku dan Rodrigo amat terbatas, namun dari apa yang boleh aku faham, Rodrigo mengatakan rumah Alia atas bukit dan amat besar.

Untuk menghilangkan bosan, sepanjang perjalanan aku memerhati papan tanda dan iklan-iklan di tepi jalanraya yang sukar aku nak faham kecuali yang disertai perkataan Inggeris. Selang beberapa minit, kami mula menyusuri jalan yang agak sunyi. Tidak kelihatan bangunan atau rumah di kiri kanan jalan, lampu jalan pun tiada. Apatah lagi stesyen minyak atau bengkel baiki kereta, lansung tiada!

Bagaimana kalau kereta ni rosak dipertengahan jalan atau kehabisan minyak. Risau juga aku dan bila aku mengatakan kepada Rodrigo, dia hanya ketawa dan meminta supaya aku jangan risau.

Mana boleh aku tak risau, bertambah cuak lagi bila Rodrigo memandu ke arah yang makin ke pendalaman, aku tak nampak sebuah bukit pun seperti yang disebutkan di mana rumah Alia berada. Gelap gelita sepanjang jalan yang ditempuhi tu. Betul ke ni?! Tapi tak mungkin salah sebab bukan aku yang memandu, pasti Rodrigo tahu mana jalan. Ishk!

Rodrigo menerangkan bahawa perjalanan masih jauh, melalui kawasan pendalaman, merentas pulau hingga ke bahagian utara untuk menuju ibu negeri, Port Lois.

Minyak semua cukup, dia dah isi penuh dan buat anggaran dengan tepat. Hmm…apa jaminan yang tangki minyak tu tak bocor seperti bahagian lain kereta tu! Rodrigo gelak bila aku berkata begitu – “ju vorrie tu much!, monziur Ash,” katanya padaku. Mestilah aku risau!

Perjalanan diteruskan dengan senyap. Aku tidak lagi cuba berbicara dengan Rodrigo dan dia pun aku tengok memandu dengan tenang sahaja. Kepalanya bergoyang-goyang seolah-olah sedang menghayati siaran radio yang berkumandang di dalam kepalanya dan hanya dia sahaja yang dapat dengar.


Aku cuba congak berapa jam aku dalam kapalterbang, aku kira aku berlepas lebih kurang jam 9.00 malam dari Singapura, tolak, kali, campur, bahagi, darab, alih-alih aku lelap. 

No comments: