Aku
tersedar apabila kereta bergegar dengan lebih kuat dari biasa kerana terlanggar
lubang.
Aku
lihat jam di kereta tu masih pukul 11.56, tak bergerak. Aku tepuk dahi, jam
rosak daaa!
Aku
jengok ke luar dan mendapati kami sudah berada di kawasan bandar. Jalanraya
diterangi lampu dan terdapatnya bangunan-bangunan agak moden serta barisan rumah dan kondominium. Aku merasa
lega, kalau kereta nak rosak di sini, aku tak kisah sangat, kawasan bertamadun,
pasti ada kedai baiki kereta atau stesyen minyak atau hotel.
Aku terlihat signboard – Port Lois. Ah! Dah sampai.
Agaknya macam Port Klang kut
ibu negeri Mauritius ni.
Aroma air laut memenuhi ruang
dalam kereta tu dan ketika aku menyangka akan melihat kapal kontena dan kren pengangkut, mulut aku
ternganga apabila Rodrigo mengambil selekoh dan kereta tersebut berdepan dengan
sebuah dermaga yang dilimpahi cahaya. Jelas di hadapanku sekarang ni sebuah permandangan
yang berbeza dengan apa yang aku bayangkan.
Dermaga di situ dipenuhi
beratus-ratus yatch dan kapal mewah
yang berbagai rupa, dari sekecil kecilnya sampai yang lebih besar dari rumah. Trimaran, catamaran, yatch, super yatch, mega yatch, single hull, double hull dan berbagai rekabentuk lagi
yang aku tak tahu namanya, semuanya ada. Itu yang aku nampak di kawasan yang
diterangi lampu. Di sebalik kegelapan malam dan berada jauh sedikit, memang
terdapat bayang-bayang ratusan lagi kapal layar, yatch dan kapal mewah sedang berlabuh. Memang syurga dunia bagi
mereka yang gemar belayar.
Ianya bagaikan kesemua pemilik
kapal-kapal mewah di dalam dunia sedang berkumpul di Mauritius dan
masing-masing cuba memperagakan kehebatan, keunikkan dan juga kecanggihan kapal
milik masing-masing. Aku teringat kepada kapal mewah Encik Hashim yang berharga
12 juta ringgit tu. Kalau berada di dermaga ini sekarang, layak duduk di kelas tiga
atau kelas empat sahaja, tak perlulah dia nak berlagak.
Rodrigo memandu
keluar dari pesisir pantai menuju ke pendalaman arah kawasan yang agak berbukit
bukau. Aku dah risau, ni Alia sewa rumah
setinggan ke apa di sini? Tapi
Rodrigo telah memberitahu bahawa rumah Alia besar, jadi takkanlah rumah
setinggan pula.
Tapi mungkin
Rodrigo bergurau dengan aku, tengok sajalah kereta yang dipandunya, mungkin Alia
menumpang di rumah setinggan Rodrigo. Bercelaru juga fikiran aku!
Perlahan Rodrigo
memandu di jalanan yang mendaki dan mendaki itu. Aku nampak beberapa bunglow
yang menghadap laut bertenggek di lereng lereng bukit. Sayup-sayup lampu
berkelip-kelip dari jauh. Di kiri kanan jalan aku memerhatikan dan mengesahkan
tiada kelompok rumah setinggan.
Perkara yang paling
ketara adalah pintu gerbang-pintu gerbang laluan masuk ke kawasan rumah persendirian
yang tersorok jauh dari pintu masuk. Kalau pintu gerbangnya sahaja dah dekat 20
kaki tinggi, bayangkanlah berapa besar rumahnya pula.
Memang betullah apa yang Rodrigo kata, dia tak
memperdaya aku.
Kereta tetap
mendaki lagi, seperti hendak naik Genting Highlands pula dan setelah hampir 20
minit juga melalui jalan yang berliku liku, Rodrigo secara tiba-tiba
menghentikan kereta. Kami dah sampai di penghujung jalan. Sudah sampai ke
puncak bukit yang di daki tadi.
Di hadapan kereta
kami, berdiri sebuah pintu gerbang yang besar. Macam pintu nak masuk istana.
Pagar dari besi keluli yang berkerawang dan berukir-ukir yang hampir 20 kaki
tinggi dan diapit oleh tembok naked
bricks yang seakan rupa bangunan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Rodrigo menekan butang
kawalan di tangannya dan pintu pagar di gerbang tu terbuka luas. Kami melalui
bawah gerbang tu dan terus masuk satu halaman yang besar dan dengan tiba tiba
halaman itu dilimpahi lampu. Terang benderang keadaan sekitar.
Aduhai…, keseluruhan halaman itu bermandikan lampu dan
dapat aku saksikan reka bentuk French
Renaissance Garden, punyalah besar, aku rasa halaman tu saja dah 1 ekar
luasnya. Berhadapan halaman tersebut tersergam sebuah rumah. Warna putih, yep!, macam White House kediaman rasmi Presiden Amerika tu.
Woah…! Alia got good taste.
Rumah reka bentuk colonial lama dengan barisan tiang-tiang
Roman pillars sebesar 1 pemeluk dan
15 kaki tinggi beratur depan rumah tu.
Aku berdebar. Debaran yang
biasa aku alami bila merasai kehadiran Alia.
Rodrigo
memandu kereta terus ke hadapan pintu utaman rumah tu. Pintu tu pun besar ya amat. Bapak pintu ni! Aku meneka
ianya dibuat dari kayu mahogany atau
mungkin meranti atau kayu jati…entahlah, aku main sebut jer sebab ianya begitu
berkilat memancar kemerah-merahan.
“Pliz kamh…kamh een, monziur.” pelawa
Rodrigo sambil membuka pintu kereta untuk aku melangkah keluar.
“Merci…”
Cewahh, aku pun cakap French la konon, padahal ucapan terima kasih tu saja yang aku tahu.
Ada anak tangga
untuk ke pintu utama, tak ubah seperti tangga
melaka, cuma di sini warnanya putih, diperbuat dari marmar dan amatlah
besar dan panjang. Ada empat anak tangga naik ke atas.
Aku naik tangga dan
tercegat depan pintu tu. Aku berpaling ke arah Rodrigo untuk bertanyakan di
mana Alia, namun dia dengan pantas telah kembali ke kereta dan memandu keluar
dari halaman itu menuju ke arah belakang. Kereta itu hilang dari pandangan aku.
Aku tercegat
seorang diri depan pintu yang amat besar tu.
Mana Alia?
Tiba-tiba aku
teringat yang mungkin Rodrigo tersalah jemput orang di airport agaknya. Mungkin
aku sudah silap dengar apa yang dikatakan di sebalik loghatnya yang pekat tu.
Mungkin dia sepatutnya mengambil atau menjemput orang lain, tapi terjemput aku.
Alamak! Betul ke aku sepatutnya berada di sini atau Agaknya Alia
tengah tunggu aku di airport? Rumah siapa pula yang aku tengah nak masuk ni?
Aku berpeluh.
Nak bagi
salam ke ni…?
Dalam
aku berdilema tu, pintu terbuka dengan perlahan dan seorang wanita separuh umur
menonjolkan diri.
“Bonjour
monziur Ash, welkahm, pliz, kamh in”
dia ushar aku, sama saja loghat
percakapannya seperti Rodrigo.
Aku
melangkah masuk dengan perlahan. Masih ada rasa sangsi dan malu dalam diriku
untuk memasuki rumah yang agak asing ni. Cuak pun ada juga kerana aku tak tahu
lagi aku berada di tempat yang betul atau tidak. Hatiku masih tertanya-tanya.
Benda
pertama yang aku terperasan adalah chandelier
diperbuat dari kristal yang bertingkat-tingkat dan berlapis-lapis seperti di
dalam sebuah ballroom di hotel
bertaraf 5 bintang. Siling di ruang tamu itu juga amat tinggi. Manakala
lantainya adalah dari kayu yang telah digilap berkilat!
Kemudian
baru aku perasan keseluruhan ruang tamu itu.
Warna asas adalah putih,
seputih-putihnya. Dari dinding hingga ke siling. Aku rasa mau kena sapu
cat 3 kali setahun untuk memastikan warna putih tu tak pudar dan dibersihkan
selalu agar tidak kelam diliputi oleh habuk. Susah nak maintain rumah macam ni, mau kena ada 5 hingga 10 orang pekerja
untuk menjaga kebersihan sahaja, belum lagi kerja-kerja menggilap, mengecat,
lap habuk dan kotoran.
Secara
keseluruhan, ruang itu bertemakan Neo-Classical,
lengkap dengan lukisan potrait cat minyak yang besar-besar, wall carpets, tapestries, cermin besar serta brass
and silver finishings.
Ada
tangga disebelah kanan. Aku yakin bahawa ruang yang aku sedang berdiri sekarang
ni hanya tempat menyambut tetamu atau kawasan tempat tetamu bersantai dahulu
sambil berbual-bual kosong sebelum dibawa ke dewan makan. Mungkin juga,
berdasarkan keluasannya, lantai kayunya dan siling yang tinggi, ruang ini
pernah menjadi dewan tarian pada satu ketika dahulu.
Pandangan pertama
aku adalah macam masuk lobi hotel dan bukan masuk sebuah kediaman. Mungkin ini hanya
getaran yang aku rasai kerana kali pertama menjejak kaki ke sini. Agaknya, bila
dah lama nanti, aku pasti merasakan getaran yang berbeza, getaran yang lebih
ceria yang boleh membuat aku merasa diterima di sini.
Aku pandang persekitaran
sekeliling dan cuba mencari wanita yang mempelawa aku masuk tadi. Sudah tidak
kelihatan kelibatnya, cepat betul dia bergerak dan menghilangkan diri.
Manalah dia pergi, kalau iapun bawalah kopi atau
air untuk aku minum dulu, lepas tu barulah pergi, kenapalah dia biarkan aku
sendiri begini!
Tanda-tanda
jet lag sudah muncul. Aku mula merasa
serba tak kena dan cepat marah. Kalau aku tahu mana dapur, memang aku dah pergi
ambil sendiri!
Aku ingin
bertanyakan tentang Alia juga, mana Alia, di mana boleh aku berjumpa Alia!!?
Aku mula naik geram. Dahlah tadi aku tak sempat nak bertanya dengan Rodrigo,
kini wanita tadi tu pun menghilang diri juga!
Aku kekeliruan
sekarang ni, tak dapat nak memikirkan apa lagi yang akan mendatang dan
menyediakan diriku untuk menghadapinya. Aku macam dah give up, aku seakan putus asa dan tak larat lagi untuk bergerak,
rasa macam nak tidur kat situ juga, lantai pun lantailah. Aku dah tak peduli
kerana semenjak aku tiba hinggalah sekarang ini tak habis-habis dengan kejutan
demi kejutan yang membuat aku tidak keruan. Penat kepala otak aku!
Tiba-tiba,
ada suara menjerit,“Asmara…!!!”
Suara Alia! Ahh…, lega aku. Melonjak hati dengar penuh keriangan bila mendengar
something familiar in this foreign land.
Sekarang, sah yang aku tidak tersalah tempat dan Rodrigo tidak tersalah orang.
Memang aku patut berada di sini.
Aku menoleh ke arah
Alia yang berada di lantai atas. Anggun dan ayu. Sejuk hati melihatnya di situ.
Perjalanan jauhku semakin aku rasakan berbaloi sekali.
Tak
ubah macam babak dalam filem hindustan pula bila Alia berlari turun tangga
untuk mendapatkan aku. Aku pun jatuhkan beg yang aku sandang dan terus
mendapatkan Alia.
Lama
aku peluk Alia, Alia peluk aku, macam tak jumpa 8 tahun.
Banyak
perkara nak aku cerita dan banyak perkara yang aku inginkan Alia bercerita
padaku. Tak tidor lagilah aku jawabnya.
Aku
bangun pagi esoknya tu dalam keadaan mamai. Masih disorientated lagi. Hampir beberapa minit baru otak aku berfungsi
100% dan baru aku ingat aku berada di mana dan apa jadi malam sebelumnya.
Aku termenung
seketika atas katil. Otak aku memainkan ulang tayang babak pertemuan aku dan Alia
malam tadi.
Lama aku berborak
dengan Alia, gelak sakan dia bila aku cerita tentang air muka bapak mertua dia
semasa aku tender resignation. Tapi,
bila aku cerita pasal aku belasah si Harith, dia macam tersentuh jer, berubah
juga airmuka dia. Namun setelah aku membuat lawak bodoh dua tiga kali, Alia
kembali ceria dan kami meneruskan bicara dalam keadaan riang, walau mata dah
berat dan masing-masing dah menguap hampir beratus kali.
Aku tanya Alia
istana siapa dia dah beli ni. Punyalah besar.
Alia gelak, dia
kata dia belum beli lagi, dia hanya menyewanya. Dulu kediaman Bristish Commissioner dan sebelum tu French Ambassador. Kediaman ini telah dibina sejak abad 18 lagi dan
masih bertahan sehingga sekarang.
Kebanyakkan perabut,
peralatan dan perhiasannya pun dah berumur lebih dari satu abad. Siul!, mengermang bulu roma aku, rumah
lama macam ni sahih ada hantu!.
Alia mengucapkan terima kasih
padaku kerana menjayakan operasi penipuan ke atas Encik Hashim. Aku tidaklah
berbangga sangat sebab mak aku ajar, tak elok kita menipu dan mencuri. Berdosa beb!. Namun, aku pendam perasaan
tu dan hanya mampu melemparkan senyuman tawar. Aku lakukan semuanya kerana aku
sanggup berkorban apa saja untuk Alia.
Memang kelemahan aku adalah Alia,
aku tak tahu kenapa tapi memang dari dulu lagi, her wish is my command! Alia perlu sebut jer sesuatu yang dia mahu
dan selagi mampu, apa yang disebutnya akan aku dapatkan untuknya. Nasib baiklah
Alia bukan jenis yang suka mengambil kesempatan, kalau tidak, masak aku!
Alia terlihat senyumanku yang
tawar tu, dia tahu aku menyelindungi perasaan sebenarku dan dia juga tahu, aku
memang tak gemar mengambil sesuatu yang bukan milikku. Aku takkan lupa
hujah-hujah yang dibentangkan oleh Alia berkenaan duit RM12 juta tu. Memang
mantap hujahnya, memang pintar kata-katanya dan penerangan yang diberikan telah
membolehkan aku menarik nafas lega.
Alia menerangkan, sebenarnya,
duit RM12 juta yang kita orang sebat tu, secara teknikal bukan duit SGE dan bukan
duit Encik Hashim, duit itu adalah duit bapa Alia. Jadi, secara tak langsung, Alia
juga berhak terhadap duit itu.
“You can’t be stealing something that is rightfully yours!? Betul tak?” Kata Alia,
hujahnya itu membuat aku teruja mendengar.
Jika sesuatu itu adalah hak
kita pada awalnya dan telah diambil secara penipuan atau paksaan, tak salah
kalau kita berjuang dan berusaha mendapatkannya kembali. Kenapalah Alia tak buat kursus undang-undang dahulu masa di kampus,
memang ada tokoh dan berbakat jadi peguam!
Semasa menjadi menantu Encik
Hashim, Alia mula menghidu penipuan yang dilakukan oleh Encik Hashim terhadap
bapanya. Si Harith yang buka tembelang. Bila dia mabuk
dan Alia tegur dengan lembut, dia akan naik angin dan mula cakap merapu,
menengking dan mengherdik Alia.
Harith
begitu sombong dengan status keluarganya yang kaya raya, tapi terlupa
keluarganya jadi begitu hasil ehsan dan pertolongan ikhlas bapa Alia. Sedap
mulut saja dia mencaci keluarga Alia dan berkata betapa bodohnya bapa Alia dan
betapa pandainya bapanya sendiri. Pandai
membelit adalah!
Kata-kata kesat Harith pada
mulanya tidak diendahkan oleh Alia yang hanya mampu memendam rasa, namun secara
perlahan cacian dan kata-kata perli serta cebis-cebis umpatan dari Harith bagai
memberikan pembayang dan petunjuk terhadap penipuan yang dilakukan oleh Encik
Hashim kepada bapa Alia.
Rasa curiga Alia mula menebal bila dia mengingati perbualan dengan
bapanya mengenai SGE. Pada mulanya, perbualan adalah sembang kecil di meja
makan dan tidaklah serious, namun
apabila kata-kata Harith mula menyakitkan hati, Alia mula membincangkan perihal
SGE dengan lebih mendalam dengan bapanya. Dari situ Alia akan membandingkan
kata-kata bapanya dengan apa yang Harith sampaikan. Apa yang didapati adalah
fakta-fakta dari Harith dan bapanya amat jauh berbeza. Ada sesuatu yang tak kena.
Ianya seperti menyelesaikan jigsaw
puzzle. Cebisan maklumat yang Harith berikan kepadanya secara tidak sedar
itu dikumpul dan dikaji oleh Alia. Kemudian, maklumat dari bapanya pula dikaji
dan perbandingan dibuat secara teliti. Dari situ Alia berjaya mendapatkan
gambaran. Namun gambaran itu masih samar dan untuk mendapatkan maklumat serta
butiran yang boleh menjelaskan gambaran tersebut, Alia perlu bekerja dengan
SGE. Di situ semua maklumat boleh didapati. Otaknya pantas dan cekap merangka
strategi.
Secara perlahan dan halus perancangan Alia untuk bekerja di SGE
berhasil. Dia berjaya masuk ke SGE dan ini membuka ruang baginya untuk
menyiasat dan mencari bukti terhadap kata-kata si Harith. Siapa nak marah menantu Chairman, kan ? Geliga otak Alia. Lebih-lebih lagi
kalau berada dalam Jabatan Audit Dalaman, memang kerja mereka memeriksa segala
rekod, maklumat serta sistem yang ada.
Hasil siasatan Alia, memang
terdapat banyak bukti dari rekod-rekod syarikat yang Encik Hashim selalu dan
kerap kali memutarbelitkan fakta dan penyata-penyata kewangan sesuatu projek di
dalam laporan yang diserahkan kepada bapa Alia. Adakalanya, langsung tiada
laporan diberikan.
Jika sesuatu urusniaga itu
membawa keuntungan 10 juta, hanya 3 juta sahaja akan diberitahu kepada bapa Alia
dan 3 juta ini pula yang akan dibahagi dua setelah ditolak cukai koperat, kos
dan perbelanjaan pengurusan.
Jadi berapa yang tinggal
untuk bapa Alia walhal selebihnya Encik Hashim dah bedal. Partner makan partner.
Bapa Alia, yang amat lurus
orangnya serta senang mempercayai insan yang lain, tidak pernah bertanya atau
sangsi terhadap laporan-laporan yang diterima dari Encik Hashim. Kalau projek
dikatakan rugi, maka dianggap rugilah projek itu tanpa usul periksa. Geram juga
Alia dengan perangai bapanya tapi nak buat macam mana, dah begitu pula
pegangannya. Kenalah turutkan.
Tapi Alia degil. Degil dan
juga ingin membalas dendam pada Harith. Mulut Harith yang cabul tu perlu diajar
dengan apa cara pun. Itulah motivasi sebenar Alia. Memang dia marah sungguh dan
dia amat berkecil hati dengan Harith kerana mempersendakan nama keluarganya
sebegitu.
Mana boleh jadi! Jantan dayus
yang berani pukul bini mana boleh dibiarkan berkelakuan sesuka hatinya, lagilah
dia naik kepala. Lagilah dia ingat dia berkuasa, dia kuat dan tiada apa yang
boleh menggugat keutuhannya. Kalau beradu tenaga memanglah Alia tidak dapat
menandingi kudrat Harith, tapi Alia yakin, kalau beradu akal fikiran, dia ada
peluang untuk membalas perbuatan Harith.
No comments:
Post a Comment